Friday, 30 September 2022

Pemandu lori rogol, seks luar tabii & cabul anak perempuannya dalam lori



Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan mencabul anak perempuannya, dua minggu lalu.


Pemandu lori berusia 55 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid.


Tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 23 tahun 10 bulan di tempat duduk belakang sebuah lori di Jalan Sungai Besi di sini antara 2.30 petang sehingga 3.30 petang pada 18 September 2022.


Dia dituduh mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.


Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa melakukan persetubuhan aturan tabii serta mencabul kehormatan mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama.


Bagi kesalahan persetubuhan aturan tabii, dia dituduh mengikut Seksyen 377C KK yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, manakala untuk kesalahan mencabul, pendakwaan mengikut Seksyen 354 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan bersalah.


Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub tidak menawarkan jaminan atas alasan mangsa dikatakan tinggal bersama isteri kedua tertuduh (bukan ibu mangsa), namun jika jaminan diberikan ada risiko tertuduh akan mendekati anaknya kerana mereka tinggal di Kuala Lumpur.


"Dalam pertuduhan hari ini, ada kesalahan merogol anak kandung dan untuk keselamatan mangsa, jaminan tidak ditawarkan," katanya.


Peguam Mona Anak Leonard Lubon yang mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya kerana tertuduh tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, selain memberi kerjasama dengan pihak polis sejak ditahan Sabtu lepas.


"Anak guam saya berjanji tidak akan mengganggu anak kandungnya itu dan dia juga setuju jika ada syarat lain dikenakan seperti melaporkan diri di balai polis setiap bulan," kata peguam.


Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan kes.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

Terima ancaman bom, pesawat komersil Singapura diiringi 2 jet pejuang



28 September, pihak berkuasa Singapura menerima maklumat mengenai ancaman bom dalam pesawat Singapore Airlines SQ33, yang berlepas dari San Francisco ke Singapura. 


Seorang penumpang didakwa telah menyerang kru kabin dan mendakwa bagasinya mengandungi bom. Walaupun suspek telah ditahan, penerbangan tetap diteruskan ke destinasi (Lapangan Terbang Changi) sebelum diiringi oleh dua jet pejuang F-16C/D Tentera Udara Singapura. 


Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan ancaman bom yang diterima itu adalah palsu.


26 September 10.05 malam (Pacific Daylight Time) / 27 September, 1.05 petang (waktu Singapura)


Pesawat SQ33 berlepas dari San Francisco pada jam 10.05 malam Isnin untuk memulakan penerbangan yang mengambil masa selama 16 jam ke Singapura. Pesawat Airbus A350-941 berkenaan membawa seramai 253 penumpang. 


28 September, 2.40 pagi (waktu Singapura)


Selepas 12 jam penerbangan, Polis Singapura dimaklumkan mengenai ancaman bom dalam pesawat berkenaan. Singapore Airlines diberitahu, ada penumpang telah bertindak menyerang seorang pramugari. Suspek berusia 37 tahun itu juga mendakwa bagasinya mengandungi bom menyebabkan dia terus ditahan. 


28 September, 4.30 pagi (waktu Singapura)


Flightradar24 menunjukkan, pesawat SQ33 melakukan beberapa pusingan di kawasan Laut China Selatan sebelum meneruskan perjalanan. 


28 September, 5.42 pagi


Pesawat SQ33 membuat pusing di Pulau Batam.


28 September, 5.51 pagi


Pesawat SQ33 yang diiringi oleh dua jet pejuang F16C/D Tentera Udara Singapura,  selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi dan diarahkan melakukan pemeriksaan keselamatan dan para penumpang diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. 


Pasukan dari Kumpulan Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan Tentera Singapur dan Polis Lapangan Terbang melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan ancaman itu adalah palsu. 


Suspek telah ditahan kerana membuat ancaman palsu dan disyaki mengambil dadah terkawal. 


29 September


Suspek didakwa melakukan kesalahan menggunakan kata-kata ugutan yang menimbulkan kegusaran di kalangan penumpang. 


Siasatan awal mendapati, suspek menjerit bahawa terdapat bom di dalam pesawat. Suspek juga mengambil bagasi penumpang lain dari tempat penyimpanan bagasi dan menyerang salah seorang kru kabin yang cuba campur tangan dan menahannya. 


Menurut siasatan Biro Narkotik Pusat, keputusan ujian air kencing lelaki itu juga didapati positif dadah terkawal.


Sumber: Channel News Asia



Sumber : CiteMalaya

Thursday, 29 September 2022

Lelaki maut tertusuk besi selepas terjun dari tingkat 8, sempat bunuh teman wanita



Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas terjun dari tingkat lapan pangsapuri Taman Kilangin di George Town, petang semalam. 


Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, siasatan awal mendapati suspek sebelum itu bertindak menikam teman wanitanya yang juga warga Myanmar sebelum terjun.


Polis mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. 


Menurut saksi kejadian, mangsa wanita sebelum itu baru pulang dari kerja dan didatangi suspek yang memeluknya secara tiba-tiba dan menutup mulutnya. Suspek kemudian menikam mangsa di bahagian perut beberapa kali menggunakan pisau. 


Saksi cuba menyelamatkan mangsa, tetapi dihalang oleh suspek yang kemudian terjun dari tingkat lapan pangsapuri tersebut dan bahagian depan badannya tertusuk besi. Mayat mangsa wanita pula ditemui tertiarap berlumuran darah di tingkat tersebut. 


Sumber: Astro Awani



Sumber : CiteMalaya

Azi berjaya diselamatkan, telah dibawa pulang ke Malaysia



Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, atau Azi, 36, yang diculik sekumpulan lelaki di rumahnya di Wakaf Bharu, Kelantan pada 13 September lalu, telah berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Menurut laporan Harian Metro, Aziz diselamatkan di Thailand dan telah dibawa pulang ke Malaysia, hari ini. 


Lokasi mangsa berjaya dikesan PDRM dengan kerjasama Polis Thailand yang melakukan siasatan dan risikan. 


"Mangsa berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa negara berkenaan dan dibawa pulangg ke Malaysia," katanya. 


Setakat ini seramai tujuh suspek warga tempatan telah ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur untuk membantu siasatan. Polis turut merampas kenderaan yang digunakan suspek dalam kejadian itu. 


Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. 


Dalam kejadian 13 September lalu, Azi diculik sekumpulan lelaki berkenaan yang datang ke rumahnya sebelum dibawa menaiki bot ke Thailand. 


Penculikan mangsa itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket dadah yang membawa kepada penahanan suaminya bersama dua lagi suspek termasuk wanita berusia 35 dan 47 tahun untuk membantu siasatan lanjut. 


Sumber: Harian Metro




Sumber : CiteMalaya

(Video) 'Nak detect perempuan dah banyak lelaki pakai, test dia buka pintu supercar' - TikToker dikecam teruk oleh netizen



Tular di media sosial sejak semalam, video seorang lelaki 'berkongsi' ilmu bagaimana cara mengesan wanita yang sudah 'dipakai' oleh banyak lelaki, mengundang pelbagai reaksi netizen. 


Sejak dimuat naik dua hari lalu, video tersebut telah ditonton lebih dari 351 ribu kali dengan 1,425 komentar dari netizen. 


Menurut TikTokers, Aliff Awang berkata, tujuannya berkongsi ilmu itu adalah sebagai peringatan kepada pemilik-pemilik kenderaan mewah daripada menjadi mangsa wanita sedemikian. 


Berdasarkan video berdurasi 32 saat itu, Aliff berkata cara untuk mengenal pasti wanita yang telah digunapakai oleh banyak lelaki adalah memerhati caranya membuka pintu kenderaan mewah. 


"Kalau korang nak tahu macam mana nak detect seorang  perempuan yang dah banyak 'lelaki pakai', simple je. Kau kena ada supercar. 


@aliff_awang I’m back ! Jauhi perempuan camni wahai geng geng kereta mahal 🥹 #confirmfyp ♬ Einaudi: Experience - Ludovico Einaudi & Daniel Hope & I Virtuosi Italiani


"Bila kau ada supercar ni geng, senang je. Kita test dia pandai buka pintu ke, tak pandai buka pintu. Kalau dia boleh buka pintu supercar kau, tanpa bertanya macam mana nak buka, maksudnya dia dah pernah keluar dengan ramai lelaki yang kaya-raya.


"Tetapi semua lelaki kaya tu, tak nakkan dia. Guys, kalau lelaki itu kaya kenapa lelaki tu tak nakkan dia? Kena fikir eh? Masalah tu kat perempuan tu, bukan masalah kat lelaki tu," katanya. 


Bagaimanapun netizen tidak bersetuju dan menegaskan bahawa ada banyak video di media sosial yang berkongsi mengenai spesifikasi kenderaan mewah termasuklah cara membuka pintu. Contohnya, saluran YouTube Supercar Blondie, milik selebriti Australia, Alexandra Mary Hirschi. 



"Habis tu, sales girl kereta macam mana bang? Kami pandai je buka pintu kereta supercar, perlu dipandang keji juga ke?" kata Nurul. 


"Macam mana pula nak detect kalau lelaki yang dah banyak pakai macam-macam perempuan plak? Laki yang tahu ayat manis? Tahu book hotel untuk check in? Tahu buka bra? Bukan apa, boleh perempuan nak berjaga-jaga juga dengan lelaki jenis macam ni. Kenapa perempuan tak nak dekat lelaki macam tu? Masalah tu dekat lelaki tu. Kena fikir," kata Pika. 


"Aku jem, entah dari mana dia dapat tips ni. Buat palatao je. Pintu buka tepi macam tu, kereta lain pun sama. Lainlah kalau demo guna lambo hat bukak kot atas tu," kata Zani. 


"Ini namanya memalukan diri sendiri. Acah terpaling savage. No point at all atau dia nak menunjuk supercar? Sekarang ni ramai bersepah pakai supercar, tak hairan dah. Lalu tepi pun buat tak tahu je," kata Nurnadhilah. 


"Zaman sekarang video review kereta berlambak ye bro. So kalau perempuan tu pandai buka pintu, auto assume dia banyak keluar dengan lelaki? Kesian ek pemikiran singkat macam baju crop top!" kata Kayla. 


"Sometimes i wonder apa yang diorang fikir sebelum bercakap? Memang before post TikTok ni ada draf apa-apa tak? Contoh, harini aku nak tunjukkan kebodohan aku kat khalayak ramai, jom buat content!" kata Alia. 


Sumber: Twitter Tuai Rumah Kita, TikTok Aliff Awang



Sumber : CiteMalaya

Deejay kenduri kahwin yang punyai 2 isteri, didakwa merogol anak tiri berusia 13 tahun



Seorang lelaki berusia 39 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan merogol anak tirinya berusia 13 tahun, dua minggu lalu. 


Tertuduh yang memakai baju hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai Deejay kenduri kahwin itu didakwa merogol mangsa di dalam bilik di kediaman mereka di Yan pada jam 11 malam, 14 September 2022.


Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan. 


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zulfadly Hassan, manakala tertuduh diwakili Peguam Nur Izzatul Amirah Zawawi. 


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh yang mempunyai dua isteri itu diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tidak mendekati atau mengganggu mangsa. 


Hakim Roslan Hamid menetapkan tarikh 15 November depan untuk sebutan semula kes. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

60% jalan persekutuan rosak & perlu dibaiki dengan peruntukan RM3 bilion - Menteri

Foto hiasan semata-mata | Kosmo Online


Kira-kira 60 peratus Jalan Persekutuan di negara ini sudah rosak atau luput tempoh hayatnya dan perlu diperbaiki dengan keperluan peruntukan kira-kira RM3 bilion, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau berkata memandangkan peruntukan yang tinggi diperlukan, pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan syarikat konsesi selain mendapatkan maklum balas dari semua kementerian mengenai hala tuju pembinaan dan pembaikan semula jalan yang sudah luput tempoh hayat itu.


“Sebab itu, kita nak bekerjasama dengan beberapa pihak dan pendekatan kita adalah pelbagai namun yang penting kita kena bina baharu (jalan) supaya keselesaan serta keselamatan jalan itu terjamin kepada pengguna,” katanya kepada pemberita di Puncak Alam hari ini.


Terdahulu Fadillah menghadiri majlis tawaran cabutan kerja undi bagi Kerja-kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen Di Bawah Kontrak Penyenggaraan Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia 2022.


Mengenai majlis yang diadakan hari ini, beliau berkata sejumlah RM130 juta peruntukan tambahan telah diluluskan Kementerian Kewangan bagi Kerja-kerja Penyenggaraan Berkala Pavemen Di Jalan Persekutuan seluruh negara secara one-off pada 13 Sept lepas.


Katanya kelulusan peruntukan tambahan ini adalah bukti komitmen kerajaan Persekutuan yang prihatin dalam isu berkaitan penyenggaraan infrastruktur negara, khususnya jalan raya seterusnya membuka peluang perniagaan kepada kontraktor kecil khususnya gred G1 hingga G4.


Beliau berkata semua peruntukan telah selesai ditawarkan kepada kontraktor di negeri semenanjung melalui 180 kerja bernilai RM113 juta dan RM17 juta lagi disalurkan kepada kontraktor di Sabah, Sarawak dan Labuan melalui 17 kerja.


“Kesemua kerja-kerja ini dianggarkan dapat disiapkan dalam tempoh sebulan setengah atau pada November depan,” katanya sambil mengingatkan para kontraktor khususnya dalam kalangan bumiputera dari gred G1 ke G4 agar tidak bergantung harap kepada kontrak kerja atau projek kerajaan semata-mata.


“Kalau kita melihat konteks di negara kita, lebih banyak sebenarnya adalah kerja-kerja yang disumbangkan pihak swasta berbanding di peringkat kerajaan yang tidak sampai 30 peratus daripada pembangunan keseluruhan projek pembinaan di negara kita.


Justeru katanya Kementerian Kerja Raya melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan memastikan para kontraktor tersebut diberi latihan dan dihubungkan dengan pihak swasta supaya mereka diberi peluang perniagaan.


Selain itu, beliau berkata pihaknya juga sedang melihat sistem agihan kerja yang pelbagai bagi memastikan semua kumpulan kontraktor dapat merasai peluang yang diwujudkan kerajaan.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

Wednesday, 28 September 2022

Gara-gara putus cinta, gadis maut selepas terjun dari tingkat 6



Seorang wanita berusia 20 tahun dilaporkan maut selepas terjun dari tingkat enam dalam kejadian di Blok F Pangsapuri Seri Nilam, Jalan Wawasan Bandar Baru Ampang, kelmarin. 


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa yang juga pelajar kolej itu dipercayai mengalami masalah putus cinta yang mendorongnya untuk bertindak membunuh diri. 


Difahamkan, mangsa tinggal di pangsapuri itu bersama dengan ibu dan tiga beradiknya. 


"Mangsa disyaki telah naik ke tingkat enam pangsapuri yang sama lalu terjun ke bawah melalui balkoni," katanya. 


Mayat mangsa kemudian ditemui oleh orang awam dalam keadaan yang masih berpakaian lengkap, tetapi cedera parah berikutan kepalanya pecah, kaki dan tangannya patah. 


Mayat mangsa telah dibawa ke Forensik Hospital Ampang untuk dibedah siasatan dan kes disiasat di bawah laporan mati mengejut. 


Sumber: Kosmo Online



Sumber : CiteMalaya

'Dia beri kerjasama yang baik' - Kes pengkid pakai ihram ketika mengerjakan umrah, sudah selesai



Kes seorang wanita berperwatakan lelaki (pengkid) yang memakai irham lengkap ketika mengerjakan umrah, dilaporkan telah diselesaikan secara baik di luar mahkamah, sejak hampir sebulan lalu. 


Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, wanita itu datang ke Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Perak Tengah, bersama dengan ibu bapanya, serta menjalani sesi kaunseling. 


"Kes sudah selesai hampir sebulan lalu selepas pihak kita mengambil keterangan serta semua maklumat berkaitan dengan kehadiran bersama ibu bapanya. Alhamdulillah mereka berikan kerjasama amat baik. 


"Insya-Allah kita ada cara tersendiri bagaimana hendak menangani kes seumpama ini," katanya memetik laporan Harian Metro, Rabu, 28 September 2022. 


Mohd Yusop berharap, wanita itu sedar dan insaf dengan perbuatannya itu. Beliau juga menyifatkan kehadiran wanita itu secara sukarela mungkin kerana rasa bersalah dan menyesal dengan perbuatan tersebut.


Ogos lalu, kes wanita terbabit tular di media sosial selepas didedahkan oleh bekas pasangannya, Aliya, di mana wanita berkenaan pernah mengajaknya berkahwin. Malah ada beberapa wanita lain turut menjadi mangsanya. 


LAPORAN BERKAITAN



Sumber : CiteMalaya

Pelajar junior dakwa diliwat oleh 'Gemuk' selama 2 jam dalam bilik asrama



Seorang pelajar asrama berusia 16 tahun di sebuah pusat pengajian di Langkawi mendakwa telah diliwat oleh pelajar senior dalam kejadian Ahad lalu. 


Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1 pagi di mana mangsa telah dipanggil datang ke bilik suspek berusia 19 tahun.


Sebaik saja mangsa masuk ke dalam bilik, suspek terus meliwat mangsa selama dua jam. 


"Hasil siasatan awal mendapati, mangsa membuat laporan berhubung kejadian kerana mahu kejadian menimpa dirinya diambil tindakan oleh polis selain untuk pemeriksaan di hospital. 


"Mangsa dalam laporan itu turut mendakwa kejadian itu (liwat) berlarutan sehingga dua jam," katanya. 


Bertindak di atas maklumat, polis telah menahan suspek pada jam 8.15 Isnin lalu untuk disiasat mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Remaja maut dipanah petir ketika berdua-duaan dengan kekasihnya dalam khemah



Tular di media sosial sepasang kekasih disambar petir ketika sedang berdua-duaan di dalam khemah dalam kejadian yang berlaku di Bukit Waruwangi, Kabupaten Serang, Indonesia. 


Menurut pihak berkuasa, kejadian itu berlaku pada Jumaat, 23 September lalu yang telah menyebabkan salah seorang mangsa maut serta-merta di lokasi kejadian. 


Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Ikhwanul Mu'minin, 19, manakala identiti teman wanitanya masih belum diketahui. 


Difahamkan semasa kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pasangan berkenaan memasang khemah di lokasi sebelum hujan turun dengan lebat dan disusuli dengan petir di sekitar kawasan itu. 


Pasangan berkenaan kemudian berteduh di dalam khemah berukuran 2 x 2 yang disewa dari pihak pengurusan pusat pelancongan tersebut.


"Kira-kira jam 11.30 pagi, terdengar bunyi dentuman petir di sekitar tempat pasangan itu mendirikan khemah. Ketika dihampiri, keadaan khemah itu rosak dan kedua-dua mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.


"Saksi yang menyaksikan kejadian itu terus meminta bantuan dan membawa mangsa ke hospital berdekatan," katanya. 


Bukit Waruwangi merupakan salah satu destinasi pelancongan di Kabupaten Serang. Dengan keluasan kira-kira 100 hektar, Bukit Waruwangi yang mempunyai keindahan panorama yang cantik menjadi tumpuan orang ramai untuk datang bercuti sejak tahun 2019. 



Sumber : CiteMalaya

Pekerja stesen minyak & scalper dikesan jual kad NFC TnG dengan harga Yahudi



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan kegiatan penjualan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go (TnG) di platform pasaran dalam talian pada harga berlipat kali ganda.


Kad NFC TnG dijual pada harga RM10 di lokasi stesen minyak terpilih atau menerusi transaksi dalam talian menggunakan aplikasi TnG. Penjualan kad itu sejak April tahun ini bagaimanapun dilaporkan mengalami bekalan yang terhad di saluran berkenaan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP telah menerima empat aduan rasmi mengenai kad NFC TnG dan mengesan 13 iklan jualan kad berkenaan membabitkan beberapa platform dalam talian.


Beliau dalam satu kenyataan hari ini mendedahkan berdasarkan siasatan awal, penjualan kad NFC TnG itu turut membabitkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak. 


“Individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC TnG yang asalnya berharga RM10 tanpa ada sebarang kredit di dalamnya pada kadar lebih lima kali ganda, menerusi platform pasaran dalam talian,” katanya.


Nanta berkata berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes berkenaan.


Beliau berkata sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut maklum balas atau penjelasan rasmi dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP. 


“Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya.


Nanta berkata pihak KPDNHEP dijangka mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG minggu ini bagi mendapatkan status kaedah semasa penjualan kad NFC TnG dan status isu kekurangan bekalan kad NFC TnG.


Kad NFC TnG membolehkan pengguna membuat tambah nilai pada bila-bila masa dan di mana-mana saja daripada aplikasi Touch 'n Go eWallet yang terdapat di peranti mudah alih. Malah, pengguna kad dan perkhidmatan itu juga tidak dikenakan sebarang surcaj apabila tambah nilai dilakukan.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

Tuesday, 27 September 2022

Influencer TikTok maut ditembak selepas terima panggilan misteri yang meminta dia keluar sekejap dari rumah

Karla Pardini


Seorang influencer TikTok popular di Mexico, maut ditembak selepas menerima panggilan telefon lewat malam yang individu yang tidak dikenali. 


Menurut Pendakwa Raya Sinaloa, Sara Bruna Quinone berkata, mangsa, Karla Pardini, 21, dikatakan menerima panggilan itu pada jam 10.30 malam pada 20 September lalu yang meminta dia keluar dari rumah seketika dan  tidak pernah kembali selepas itu.


"Menurut maklumat yang diberi oleh ibunya, Karla menerima panggilan lalu keluar dan ketika itulah dia diserang," katanya kepada Jam Press. 


Pejabat Peguam Negara Sinaloa mendedahkan, Karla telah diserang hendap dan ditembak beberapa kali berdasarkan pemeriksaan pada mayatnya yang ditemui di depan rumah keluarganya.




Saksi kejadian memaklumkan, dia ternampak sekumpulan individu bersenjata berkeliaran di kawasan itu sebelum serangan tersebut berlaku. Namun, identiti penyerang Karla masih belum diketahui dan polis belum membuat sebarang tangkapan setakat ini.


Siasatan sedang giat dijalankan dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan wanita kerana mangsa terdedah dalam keadaan tidak berdaya ketika serangan itu berlaku. 


Difahamkan, Karla mempunyai lebih 90,000 pengikut di TikTok. Dia meraih popularitinya di laman itu kerana sering memuat naik video tarian dan berkongsi mengenai kehidupan sehariannya dengan peminat. 


Video terakhir yang juga dimuat naik pada hari kejadian telah ditonton lebih dari 1.5 juta pengguna dan ramai peminatnya yang membanjiri ruangan komen untuk mengucapkan takziah. 


Sumber: Daily Star



Sumber : CiteMalaya

Lelaki warga emas 'ratah' anak tiri sejak usia 12 tahun ketika tinggal berdua di rumah



Polis menahan seorang lelaki berusia 64 tahun yang disyaki merogol anak tirinya berusia 17 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Batu Anam, Segamat, Johor. 


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, suspek ditahan pada jam 8.05 malam 21 September lalu selepas perbuatannya dibongkar oleh mangsa yang mengadu kepada ibunya, sebelum mereka membuat laporan polis. 


Selepas menerima laporan itu, polis menahan suspek dan siasatan awal mendapati, suspek mula melakukan perbuatan keji itu sejak mangsa berusia 12 tahun, dari tahun 2017. 


Suspek kerap melakukan serangan seksual tersebut di tempat yang sama ketika hanya tinggal berdua dengan mangsa. 


Suspek turut mengugut mangsa untuk tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa atau berdepan dengan akibatnya. 


Suspek direman selaman seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak kurang lapan dan tidak lebih 30 tahun, serta hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

'Kita bagi dia bisnes Servis2Go' - Cara Caprice bantu rider GrabFood yang dianiaya pelanggan, dipuji netizen



Baru-baru ini seorang penghantar makanan, Grab Food, digantung kerja dan gaji kerana terbabit dalam video viral di mana dirinya dimarahi oleh kakitangan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST). 


Meskipun dalam kejadian itu Mohd Yusof tidak bersalah, dia telah dikenakan tindakan drastik dan kini hanya melakukan kerja-kerja menyelenggara motosikal secara kecil-kecilan, sekadar cukup untuk menyara perbelanjaan keluarganya. 


Baca: (Video) 'Kau nak hilang kerja? Guna otak!' - Rider Grab digantung kerja selepas dimarahi staff MUST kerana lambat hantar pesanan


Tatkala para pemimpin politik sedang sibuk dengan urusan kepartian, nasib rakyat marhaen sebegini amat jarang sekali didengari. Disebabkan itu, selebrti Caprice atau nama sebenar Aziz Ramli, sanggup turun padang mengambil insiatifnya sendiri untuk membantu Mohd Yusof. 


Mengetahui anak muda itu mempunyai kemahiran dalam menyelenggara motosikal, Caprice telah membuat satu aplikasi khas yang dinamakan sebagai Servis2Go, bagi memudahkan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan itu untuk menghubunginya. 


"Cap ada buat satu branding for you, iaitu Servis2Go. Cap nak bantu Yusof bangkit balik. Kita akan war-warkan (aplikasi Servis2Go) di media sosial. 


"Ini bisnes baru awak, servis motor on the go. Siapa-siapa yang ada masalah motosikal (tayar pancit, bearing pecah, servis minyak hitam d, WhatsApp je Abang Yusof, team-team Abang Yusof di seluruh Malaysia akan bantu untuk servis," katanya. 


Selain itu, Caprice juga akan membuat baju khas dan box motor untuk menampakkan lagi perkhidmatan Servis2Go itu lebih profesional. 


Mohd Yusof yang kelihatan sebak dan speechless itu, menerima bantuan tersebut dan berharap dirinya dapat mengusahakan perniagaan barunya itu dengan lancar. 



Sementara itu, netizen memuji tindakan pantas Caprice bukan sahaja memberi bantuan tetapi juga memberi 'joran' kepada Mohd Yusof untuk terus memulakan perniagaannya sendiri. 


"Yes! Bagi joran, bukan bagi ikan semata-mata. InshaAllah boleh bangkit!" kata Momento Duo. 


"Rezeki tak pernah salah alamat! Hilang satu, Allah ganti berganda. Semoga dipermudahkan urusan," kata Faten. 


"Bijak Cap wujudkan bisnes servis macam ni. Betul nikmat Allah, dalam rezeki kita ada rezeki orang lain. Tahniah! Tahniah! Semoga Allah terus memberkati usaha anda dan abang rider," kata Fizie Nasir. 




Sumber: Instagram Caprice

Sumber : CiteMalaya

Mangsa enggan buat laporan polis kerana menganggap dirinya 'orang kecil', manakala Ebit Lew 'orang besar' - Saksi



Pendakwah Ebit Lew atau nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, berdepan dengan 11 pertuduhan gangguan seksual terhadap seorang wanita dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke telefon bimbit mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021, mula menghadapi perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.


Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan. 


Dalam perbicaraan hari ini, individu yang dikaitkan dengan kes tersebut dikatakan enggan membuat laporan polis pada awalnya kerana menganggap dirinya hanyalah 'orang kecil', berbanding tertuduh yang dianggap sebagai 'orang besar'.


Saksi pertama pendakwaan, Mohd Fairuz Abu yang juga pakar motivasi berkata, sebelum ini dia menerima puluhan mesej di WhatsApp daripada individu yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual termasuk yang dilakukan tertuduh. 


"Salah seorang individu yang menghubungi saya adalah (identiti tidak boleh didedahkan) pada jam 11.04 malam 26 Julai 2021. Ada juga mangsa lain yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual Ebit Lew, tetapi mereka tidak meletakkan nama mereka kerana takut dan tidak berani tampil ke depan. 


"Pada awalnya pengadu bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam posting di Facebook. Bila saya menyebut berkaitan Ebit Lew, maka pengadu terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengan beliau.. juga menghantar gambar (lucah) yang diberikan oleh Ebit Lew melalui WhatsApp," katanya. 


Mohd Fairuz berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani. 


Fairuz menjelaskan, dia kemudian menasihatkan pengadu untuk membuat laporan polis. Tetapi pengadu enggan berbuat demikian kerana menganggap dirinya orang kecil, manakala Ebit Lew orang besar. 


Tetapi Fairuz menjelaskan kepada pengadu bahawa ruang dan peluang itu perlu diambil kerana jika tiada tindakan awal, lebih ramai lagi yang akan menjadi mangsa gangguan seksual. 


Bagaimanapun, peguam mewakili Ebit Lew, Ram Singh, membantah jawapan itu yang dikatakan bersifat tuduhan tanpa bukti dan tidak boleh direkodkan melainkan saksi mempunyai bukti laporan polis. 


Zahida membalas bantahan itu dengan menyatakan, apa yang dikatakan oleh saksi itu adalah perbualan antara dia dengan pengadu di mana pengadu juga akhirnya membuat laporan polis dan dipanggil untuk memberi keterangan. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

'Ibu tiri' paksa remaja lakukan hubungan terlarang dengan anjing kerana enggan buat kerja rumah



Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang enggan melakukan kerja-kerja rumah yang ditetapkan oleh teman wanita bapanya, telah dipaksa melakukan hubungan terlarang dengan anjingnya sebagai hukuman, menurut polis. 


Ibu kepada remaja itu menyedari ada sesuatu yang tidak kena berlaku selepas melihat perubahan mangsa yang kemudian menceritakan kejadian itu dan wanita itu terus membuat laporan polis terhadap suspek berusia 41 tahun. 


Suspek ditahan di bandar Rionegro di timur laut Colombia pada Jumaat, 23 September 2022. 


Menurut Pegawai Polis Metropolitan Bucaramanga, Komander Jose Jaramillo, suspek didakwa telah memaksa mangsa melakukan hubungan seksual dengan anjing peliharaannya.


"Kes itu terbongkar selepas mangsa mula menunjukkan perubahan tingkah laku yang pelik dan ibunya terus membuat laporan kepada kami. 


"Pegawai penyiasat kanak-kanak dan remaja berjaya mendapatkan semua bahan bukti dan waran tangkap terhadap suspek berusia 41 tahun itu juga telah ditahan. 


"Menurut mangsa, dia telah didera berkali-kali ketika di bawah jagaan ibu tirinya," 


Sumber: Daily Star



Sumber : CiteMalaya

'Pinjam duit alasan tak cukup duit nak bayar bil bini bersalin konon' - Ramai dah jadi mangsa scammer ni di hospital/klinik di Kota Bharu

Foto ihsan Siti Nurul Salsabila


Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an didakwa sedang giat melakukan penipuan di sekitar pusat kesihatan di Kota Bharu, Kelantan dengan menjaja cerita sedih kononnya dia memerlukan wang untuk membiayai kos rawatan isterinya yang bersalin. 


Lapor Harian Metro, suspek dikesan melakukan kegiatan itu sejak beberapa bulan lalu dan ramai yang telah menjadi mangsanya. 


Difahamkan, suspek menggunakan modus operandi menjaja cerita tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar bil isterinya bersalin. Untuk menyakinkan mangsa, suspek akan berpura-pura bersedih dan menangis. 


Dalam kejadian terbaru, pengusaha butik pengantin, Siti Nurul Salsabila Mohd Zaki, 27, berkata, adik lelakinya telah menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit. 


"Kejadian dua minggu lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. Ketika itu kami sedang menunggu adik ipar bersalin dan didatangi oleh lelaki terbabit yang ingin bercakap secara bersendirian dengan adik di satu penjuru. 


"Berasa tidak sedap hati, saya menghampiri mereka beberapa minit kemudian dan melihat adik sedang memegang telefon bimbit serta baru selesai memindahkan wang sebanyak RM190. 


"Sambil menangis, lelaki itu memberitahu dia tidak cukup wang untuk membayar bil isterinya bersalin dan berjanji akan membayar semula pada petang keesokan harinya," katanya. 


Bagaimanapun cubaan mereka menghubungi suspek pada keesokan hari, gagal. Menyedari telah ditipu, mangsa membuat laporan polis. Pihak polis juga memaklumkan, sudah ramai yang menjadi mangsa penipuan suspek. 


Ekoran kejadian itu, kakak mangsa memuat naik gambar suspek berserta dengan salinan laporan polis yang telah dibuat di Facebook, agar orang ramai tidak menjadi mangsa lelaki itu.


"Siapa kenal lelaki ini? Kepada waris atau kawan-kawan dia, minta dia call nombor orang yang dia pinjam duit semalam, sebelum jam 8 malam. Sebab kita cuba call tapi tak dapat. 


"Dia janji nak bayar balik duit yang dipinjam tapi senyap pula. Pinjam duit dengan alasan nak bayar bil isteri bersalin, tak cukup duit konon," kata Siti Nurul Salsabila.


Susulan penularan itu, ada beberapa mangsa yang tampil memaklumkan mereka pernah menjadi mangsa kepada lelaki terbabit di sekitar HUSM, perkarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) dan klinik-klinik di sekitar tanah jajahan itu.


Sumber: Facebook Siti Nurul Salsabila, Harian Metro




Sumber : CiteMalaya

Monday, 26 September 2022

Wanita dirogol 6 lelaki secara beramai-ramai di depan suami



Seorang wanita di India dirogol enam lelaki durjana selama empat jam di depan suaminya sendiri dalam kejadian yang berlaku pada malam Sabtu lalu di sebuah bukit, Kampung Bakoria-Bhalwahi. 


Selepas kejadian itu, mangsa dan Kumar meminta bantuan penduduk kampung dan dibawa ke Balai Polis Manika untuk membuat laporan polis. 


Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan dua suspek iaitu Bhola Ram dan Dharmendra Ram, manakala suspek lain yang terbabit dalam kejadian itu sedang diburu. 


Mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan. 


Difahamkan, mangsa terdahulu bertengkar dengan mentuanya di Kampung Sutha dan membawa diri ke rumah ibunya di Kampung Rewat dengan berjalan kaki. 


Mentuanya kemudian datang untuk memujuk dan membawanya pulang. Tetapi wanita itu menolak dan tidak mahu mengikutnya pulang. 


Mentuanya akur dan meminta anaknya iaitu suami wanita itu untuk menemaninya supaya dia selamat sampai ke rumah ibunya. 


Lelaki itu menghubungi abang iparnya, Naresh Kumar, untuk menghantar mereka ke rumah mentuanya. Apabila mereka bertiga tiba di Bhaluahi kira-kira jam 8 malam, mereka ditahan oleh enam lelaki yang bertindak membelasah dan merampas telefon bimbit mereka. 


Suspek bertindak merogol mangsa kira-kira empat jam, manakala suaminya dan Kumar dipegang suspek lain. 


Selepas merogol mangsa secara beramai-ramai, suspek memaksa mangsa dan Kumar menaiki basikal mereka dan membawa mereka ke tempat lain serta meninggalkan suami wanita itu.


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Kapal NASA akan cuba rempuh asteroid untuk selamatkan planet bumi

Foto hiasan


Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) akan menghentam dengan sengaja asteroid menggunakan kapal angkasa tepat jam 7.14 malam ini (waktu tempatan) (7.14 pagi Selasa waktu Malaysia) iaitu misi pertama bertujuan melindungi bumi.


Projek yang dipanggil Ujian Pengalihan Asteroid Berganda (DART) dengan sengaja akan merempuh angkasa lepas untuk melihat sama ada batuan angkasa pada suatu hari nanti boleh mengelak daripada dimusnahkan oleh kesan berpotensi bencana daripada asteroid.


"Ini adalah permainan billiard kosmik yang sangat rumit. Apa kita mahukan ialah menggunakan sebanyak mungkin tenaga (yang kita boleh) dari DART untuk menggerakkan asteroid," kata ahli pasukan penyiasat DART NASA, Alan Fitzsimmons dalam satu temu bual, menurut Anadolu Agency (AA).




Misi DART dilancarkan pada November tahun lalu dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.


Hari ini, pegawai misi akan menyerahkan kawalan angkasa lepas untuk membawanya sendiri ke angkasa lepas kira-kira 10.5 juta kilometer dari bumi dengan kamera khas dari luar kapal itu akan merakamkan gambar pelanggaran kosmik yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.


"DART mengubah fiksyen sains menjadi fakta sains dan menjadikannya bukti proaktif dan inovasi NASA untuk manfaat semua. Ujian ini akan membantu membuktikan satu cara yang berdaya maju untuk melindungi planet kita daripada asteroid berbahaya sekiranya ia pernah ditemui yang menuju ke bumi," kata Pentadbir NASA, Bill Nelson dalam satu kenyataan.


Matlamat utama NASA adalah untuk melihat sama ada ia boleh melencongkan asteroid secara manual daripada menyerang planet sekiranya saintis melihat lebih awal asteroid berada di laluan pelanggaran dengan bumi.


"Perkara yang menjadikan bencana alam ini berbeza ialah jika kita melakukan persiapan, kita sebenarnya boleh mencegahnya," kata Bruce Betts, ketua saintis di Planetary Society dalam satu temu bual.


"Itu adalah perbezaan yang besar berbanding dengan banyak bencana alam berskala besar lain."


Kapal angkasa DART akan menyasarkan batu angkasa gergasi (diameter 160 meter) yang dikenali Dimorphos pada kelajuan 24,140 km sejam.




NASA berkata, matlamatnya bukan untuk melenyapkan asteroid tetapi untuk melihat sama ada perlanggaran itu boleh mengubah orbit batu angkasa.


Menurut agensi angkasa Amerika Syarikat, tiada asteroid yang diketahui lebih besar daripada 137 meter menghentam bumi dalam tempoh 100 tahun akan datang.


Oleh itu, walaupun misi DART gagal, saintis akan dapat mengekstrak maklumat penting daripada eksperimen yang boleh melindungi planet suatu hari nanti.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

Kes gangguan seksual Ebit Lew terhadap wanita berumur 41 tahun, dibicara esok



Perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew berkait gangguan seksual akan bermula esok hingga 30 Sepember di Mahkamah Majistret Tenom.


Lew, 37, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.


Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Majistret Nur Asyraf Zolhani akan mendengar kes itu manakala pendakwaan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari.


Barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye akan mewakili Lew.


Pada Februari lepas, Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.


Tenom merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah terletak kira-kira 145 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

(Video) 'Kau nak hilang kerja? Guna otak!' - Rider Grab digantung kerja selepas dimarahi staff MUST kerana lambat hantar pesanan



Khamis lalu tular di media sosial video seorang lelaki memarahi penghantar makanan yang didakwa lambat menghantar pesanannya. 


Menurut Mohd Yusuf, 27, pelanggan berkenaan yang merupakan kakitangan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) turut mengugut akan memecatnya berikutan majikannya mempunyai kerjasama dengan syarikat p-hailing tersebut. 


"Dia bagi salah location dengan GrabFood. Aku dah sampai location, dia cakap kau tak pandai cari sendiri ke? Aku dah cari satu jam. 


"Dia sampai-sampai je, dia marah aku depan orang ramai. Dia ingat aku tak ada hati ke apa? Lepas dia nak cakap, dia boleh buat aku hilang kerja pula tu," katanya. 


@minyakhitamjalanan

Dia bagi salah location dgn grabfood.. Aku dah sampai location dia cakap kau tak pandai cari sediri ke.. Aku dah cari satu jam.. Dia sampai2 je dia marah aku depan org ramai dia ingt aku takde hati ke ape... Lepas dia nak cakap dia boleh buat aku hilang kjer plk tu..

♬ bunyi asal - minyakhitamjalanan


Dalam video itu, pelanggan itu berkata, "Kau tahu tak kitorang partner dengan siapa? Kitorang partner dengan Grab, kau nak hilang kerja? Guna otak!". 


Ekoran kejadian itu, Mohd Yusuf telah membuat laporan polis pada 13 September lalu untuk tindakan lanjut. 


"Tak salah pun. Kalau dah salah tu, minta maaf. Ni tidak, dimarahnya aku. Sampai cakap dia boleh buat aku hilang kerja. Yang aku tak puas hati sangat, dia marah aku depan orang ramai. Itu je. Ingat, rider pun ada hati bro," ujarnya. 


Disebabkan kejadian itu juga, Mohd Yusof telah digantung kerja. Namun dia reda dan menganggap apa yang berlaku itu adalah ujian kerana Allah masih sayangkan dia. 


"Dah tiga hari saya digantung kerja. 10 tahun saya buat kerja menghantar makanan. Saya dah buat sebaik mungkin untuk customer. Tetapi majikan saya tetap dengar cakap customer. 


"Gaji saya pun digantung. Dah nak hujung bulan, duit rumah nak kena bayar, susu anak nak beli dan macam-macam lagi," katanya yang juga meminta orang ramai menghargai golongan penghantar makanan yang kerap dihina. 


@minyakhitamjalanan Ya allah kau mudahkan kjer dunia aku #fypã‚·゚ #minyakhitamjalanan ♬ original sound - XTRA


Sementara itu, pihak pengurusan MUST tampil memohon maaf kepada Mohd Yusuf dan telah mengambil tindakan disiplin terhadap kakitangannya yang terbabit dalam kejadian itu. 


"Kami memohon maaf kepada semua pihak yang terbabit dalam tindakan yang menyinggung perasaan dan memalukan ini. Kami percaya tidak seharusnya mana-mana pihak mengambil tindakan dalam mengugut atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesiapa. 


"Pihak pengurusan universiti berdiri teguh mengutuk perbuatan individu tersebut dan kami telah mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap beliau," kata kenyataan itu. 




Dalam kenyataan itu juga, MUST menafikan dakwaan kakitangannya yang mengatakan mereka mempunyai kerjasama dengan Grab. 


Sumber: MUST, Berita Harian, TikTok Mohd Yusof



Sumber : CiteMalaya

Sunday, 25 September 2022

Tular memo arahan kutipan sumbangan RM30 sempena perkahwinan anak ketua polis



Sebelum ini, Ahli Parlimen Bachok dikritik netizen kerana memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan kerusi meja dan hiasan bunga untuk majlis perkahwinan anaknya pada 24 September. 


Namun, pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) mengesahkan menerima surat permohonan dari anak bekas menteri besar Kelantan itu, tetapi enggan mengulas lanjut. 


Dua hari kemudian, tular memo dari kutipan sumbangan sempena perkahwinan anak Ketua Polis Kuala Lumpur di mana setiap seorang pegawai kanan ditetapkan menghulur sumbangan sebanyak RM30.00.


Berdasarkan sumber, memo itu dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (KBIPS) Putrajaya kepada semua ketua bahagian pada 1  September 2022. 


Semua pegawai kanan IPD Putrajaya ditetapkan menghulur sumbangan sebanyak RM30 kepada pegawai yang ditugaskan mengutip sumbangan itu selewat-lewatnya jam 5 petang, 1 September 2022. 


Hal itu mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial. Ada mendakwa, kutipan tersebut adalah sebagai hadiah perkahwinan tersebut dan tidak ramai pegawai kanan di IPD Putrajaya. 


"Biasanya kutipan seperti ini adalah untuk hadiah perkahwinan tersebut. Berapa orang je pegawai kanan di IPD Putrajaya dan kutipan melalui memo atau emel. Ini supaya nilai hadiah sama rata (RM30 seorang). Cubalah bersangka baik. Korang kat office tak kutip untuk majlis ahli pejabat ke?" soal Elkeffan. 


"Sumbangan tapi dah fixed RM30? Itu bukan sumbangan namanya, tapi macam yuran sekolah yang pelajar wajib bayar setiap tahun,"kata Divager. 


Sehingga kini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut. 


Sumber: Twitter Syed Faris, The Vocket



Sumber : CiteMalaya

'Kalau nak kahwin tapi duit tak berapa nak ada, buat doa selamat je dah cukup dik' - Pasangan pengantin didakwa tak bayar katerer RM26,000



Seorang wanita meluahkan rasa kesalnya terhadap sepasang suami isteri yang didakwa tidak melunaskan bayaran perkhidmatan katering milik keluarga mertuanya, walaupun sudah 10 bulan mendirikan rumah tangga. 


Menurut pengadu, pada awal perbincangan, mereka ada meminta bayaran pendahuluan dari pasangan itu beberapa kali. Tetapi pasangan berkenaan memberi alasan tidak dapat berbuat demikian, namun berjani akan melunaskan pembayaran penuh selepas habis majlis.


Dari maklumat yang dikongsikan, antara menu yang dipilih pasangan itu adalah seperti, dua ekor kambing golek, makanan untuk 1,850 tetamu, makanan beradab pengantin, dome set - 5 set, air minuman oren jenama F&N untuk 1,000 botol dan kesemua itu berjumlah RM26,000+. 




Selesai majlis raja sehari, pihak katering menerima pembayaran berbentuk cek. Malangnya, pihak bank tidak dapat menunaikan cek tersebut (cek tendang). Pasangan itu meminta diberikan tempoh selama dua bulan untuk menyelesaikan pembayaran. Tetapi sehingga ke hari ini, tiada satu sen yang diterima oleh pihak pengadu. 


Keculasan mereka membuatkan pengadu tiada pilihan dan terpaksa menularkan kes tersebut di media sosial untuk mendesak mereka melunaskan hutang sebanyak RM26,000. 


"Akak nak nasihat dik, korang kalau nak kahwin tapi duit tak berapa nak ada, buat mihun goreng dan doa selamat je dah cukup dik. Nak lagi jimat, buat je kenduri tu selepas Subuh. Tak payah nak menu beriya noh bersusun dari Perak sampai ke Johor. 


"Makeup kau tepek je bedak nyonya tu. Lipstik pinjam jiran sebelah. Kerusi sanding kau ambil je kerusi rumah mak kau. Ini menu bukan main mewah uols! Tak nak kalah, siap minta tolong belikan F&N Fanta botol untuk bagi tetamu. Hujung-hujung dia bagi cek tendang. 


"Kita ni bukan tak minta deposit, dah minta.. sampai sehari majlis dah minta depo. Tapi tak ada, sebab fikirkan kesian esok diorang tak ada makanan dan dah janji nak bayar full selepas majlis. Kita proceed saja sebab orang kampung dan ada bau-bau bacang sikit. 


"Sebelum ini pun mostly penduduk Kampung Selabak baik tau, tak pernah tak bayar katering. Dia ni je entah sesat mana, tak reti membayar. 


"Minta tempoh dua bulan nak bayar selepas kantoi bagi cek tendang. Tapi dah nak masuk bulan 10, masih sendu ya. Siap ugut kalau viral, tak nak bayar. Eh kau pahal? Siapa hutang siapa?" kata pengadu. 




Difahamkan, ada beberapa lagi individu yang turut menjadi mangsa penipuan pasangan terbabit. Pihak pengadu telah membuat laporan polis dan akan memfailkan tindakan undang-undang bagi menuntut hak mereka. 


Sumber: Facebook Komuniti Kuantan



Sumber : CiteMalaya
Powered by Blogger.