Monday, 31 October 2022

PH akan mansuhkan tol Lebuhraya Utara Selatan jika menang PRU15



Pakatan Harapan (PH) sedia memansuhkan tol di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) jika mereka diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Memetik laporan China Press, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, ketika menerajui kerajaan selama 22 bulan, PH telah berjaya mengurangkan bayaran tol sebanyak 18 peratus.


Menurut bekas Menteri Kewangan itu, PH boleh menghapuskan tol lebuh raya itu jika diberikan tempoh mentadbir selama lima tahun.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam satu majlis makan malam di Jelapang pada malam Ahad.


Janji keenam dalam manifesto PH pada PRU14 lepas antara lain menyatakan gabungan itu akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuh raya dan berunding untuk mendapatkan harga terbaik bagi mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.


Kerajaan pimpinan PH sebelum ini mengumumkan diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban - Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth - Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.


Sumber: Sinar Harian



Sumber : CiteMalaya

Nama dipancung, Shahidan & Annuar tiada dalam senarai calon PRU15?



Penyandang kerusi parlimen Arau, Shahidan Kassim, malam ini mengejutkan ramai apabila mengumumkan semua bilik gerakan BN di kawasan itu ditutup.


Tidak cukup dengan itu dia - yang dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini - memberitahu semua bendera parti diturunkan pada "malam kesedihan yang teramat sangat" itu.


"Malam ini malam kesedihan yang teramat sangat.


"Semua bilik gerakan BN di parlimen Arau telah ditutup dan bendera telah diturunkan.


"Kali pertama dalam sejarah," umumnya di media sosial.



Meskipun tidak dinyatakan dengan jelas, dipercayai langkah tersebut diambil Shahidan terkait dengan pemilihan calon untuk bertanding dalam PRU akan datang.


Sebelum ini ada khabar angin mendakwa bekas menteri besar Perlis itu adalah antara nama yang tidak dicalonkan semula oleh Umno dalam PRU pada 19 Nov ini.


Sementara itu seorang lagi anggota kabinet yang dilihat selalu tidak sehaluan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, turut menyatakan rasa kurang senangnya terhadap perkembangan semasa parti itu.


Bekas setiausaha agung Umno itu berkata bakal calon BN sudah dibawa menandatangani dokumen dan aku janji tertentu sejak dua hari lalu. Ia, katanya, mendorong tercetusnya pelbagai khabar angin.


Penyandang kerusi parlimen Ketereh itu turut membayangkan dia tidak termasuk dalam kalangan bakal calon yang dibawa membuat ikrar tersebut.


Nampaknya, walau perlembagaan (Umno) menghuraikan dengan jelas skop dan kaedah pemilihan calon, nampaknya sekali lagi ia tidak diendahkan.


"Dijanjikan juga top five diberi kuasa merundingkan (calon) bagi pihak majlis kerja tertinggi yang berkuasa memilihnya, namun ahli top five mengesahkan list (senarai) itu ditapis lagi oleh high up (pihak atasan).


"Proses sedang berjalan," katanya dalam hantaran di media sosial malam ini.


Pembangkang - khususnya Pakatan Harapan - sudah mula mendedahkan barisan calon mereka untuk pelbagai peringkat, khususnya melibatkan pemimpin kanan masing-masing.


Parti yang lebih kecil seperti Gerakan Tanah Air juga tidak terkecuali.


Bagaimanapun BN dijangka mengumumkan calon masing-masing pada malam esok.


Boleh berkubur dua kali


Annuar adalah antara penyandang kerusi parlimen yang dilihat kritikal terhadap kepemimpinan Presiden Umno merangkap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.


Untuk rekod, untuk membolehkan seseorang ahli parti menjadi calon, individu terbabit perlulah mendapakan watikah daripada presiden parti.


Sejak sehari dua ini, tersebar khabar yang mendakwa Annuar adalah antara nama yang tidak lagi dicalonkan oleh Umno.


Menurut Annuar, janji Umno untuk mengutamakan calon yang memiliki ciri-ciri Wali (winnable atau boleh menang, acceptable atau boleh diterima dan likeable - disukai) tidak lagi diendahkan.


"Namun kedengaran di sana sini banyak sudah winners dipancung, terutama yang dekat dengan PM (Ismail Sabri Yaakob). Tapi itu rumours yang tidak semestinya tidak berasas," katanya lagi.


Secara berlapik, Annuar juga mengingatkan partinya agar berhati-hati menyusun langkah serta adab seseorang yang tidak boleh meminta-minta untuk dicalonkan.


"Tak perlulah melobi-lobi. Ia satu amanah, tanggungjawab untuk memenangkan cukup kerusi bagi parti.


“Jika tidak, (parti) berkubur dua kali," katanya.



Sumber: MalaysiaKini



Sumber : CiteMalaya

Ditegur hisap vape, wanita muda ini balas 'Habistu takkan nak hisap kot*?'



Tindakan seorang wanita muda memuat naik video dirinya menghisap vape mengundang rasa kurang senang netizen yang kemudian bertindak membuat teguran. 


Malangnya, setiap teguran itu dibalas dengan angkuh seolah-olah dirinya tidak akan mengalami sebarang masalah kesihatan daripada tabiatnya itu. 



"Dik, jangan duk bangga hisap pod. Kalau tak nak rasa menyesal dada kena tebuk macam aku ni pod punya hal. Sayang badan dik oi, muda lagi," kata Cikboss. 


"Takpe bang, yang tanggung sakit saya. Yang jaga saya, mak bapak saya dengan tunang saya, bukan abang. Saya takde susahkan abang okeh. Thank you beri nasihat," balas wanita itu. 


"Aik? Perempuan Islam hisap vape," kata Syasya. 


"Habis tu takkan nak hisap k***? Ramai je perempuan hisap pod," balasnya. 






Difahamkan, ibu bapanya juga mengetahui tabiatnya menghisap vape dan tiada halangan untuk dirinya berbuat demikian.




Menurut pakar perubatan, kesan penggunaan rokok elektronik (vape) akan memberi kesan pada paru-paru, menimbulkan masalah pada saluran darah dan menyebabkan penyakit jantung. 


"Kesan vape akan terus dirasai oleh penghisap, misalnya degupan jantung dan tekanan darah meningkat serta kesan jangka panjang seperti serangan jantung.


“Ada pesakit yang mendapat masalah popcorn lung dan Evali (penyakit berkaitan paru-paru akibat vape) dalam tempoh kurang setahun,” katanya.


Sumber: Instagram, Sinar Harian



Sumber : CiteMalaya

KPJ mohon maaf, staff rosakkan hiasan 'kolam' telah digantung kerja



KPJ Healthcare Berhad membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia khususnya kepada masyarakat kaum India berhubung video tular yang melibatkan salah satu premisnya. 


Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, KPJ menegaskan pihaknya sentiasa menyantuni dan menghormati kepelbagaian budaya di negara ini. 


"KPJ ingin memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada masyarakat kaum India. 


"Kami ingin menyatakan dengan jelas bahawa KPJ Healthcare tidak membenarkan tindakan sedemikian dan sama sekali tidak mencerminkan budaya, nilai atau amalan kami. 


"Kami kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu ini dan pihak terbabit telah digantung kerja sementara menunggu siasatan lanjut. 


"Kami juga telah membuat laporan polis mengenai insiden tersebut dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa berkaitan perkara ini," kata kenyataan itu. 




Sebelum ini media melaporkan, dua kakitangan hospital swasta itu dan perakam video tersebut telah direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.


Sumber: KPJ Healthcare Berhad



Sumber : CiteMalaya

Pijak & rosakkan hiasan perayaan Deepavali, 3 suspek termasuk perakam video direman 3 hari



Terkini, polis menahan reman tiga individu yang terbabit dalam video tular memijak hiasan perayaan Deepavali, untuk membiasa siasatan. 


Menurut sumber, tiga individu terbabit merupakan kakitangan hospital swasta direman selama tiga hari bermula hari ini. 


"Dua kakitangan hospital yang merosakkan kolam berkenaan dan orang yang merakamnya ditahan reman tiga hari bermula hari ini," katanya. 



Terdahulu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan kes video tular berkenaan dan telah memanggil suspek untuk hadir ke IPD Klang Utara untuk memberi keterangan. 


Dalam video tular itu, lelaki berusia 24 tahun terbabit memijak, berjalan dan sengaja merosakkan hiasan rangoli di premis hospital tersebut. 


KPJ Healthcare Berhad menegaskan pihaknya sedang menjalankan siasatan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kakitangannya selepas selesai siasatan. 


Sumber: Mohd Redzuan Abdul Manap (Media Prima Berhad)



Sumber : CiteMalaya

Sunday, 30 October 2022

(Video) 'Sakan kau pukul anak orang!' - Netizen menyirap tengok remaja perempuan dipukul lelaki disyaki kekasihnya



Tular di media sosial video seorang remaja perempuan dipukul oleh lelaki yang dipercayai kenalannya, mengundang kemarahan netizen.


Dalam kejadian yang tidak dinyatakan lokasi itu menunjukkan, mangsa dipukul di bahagian kepala dan pinggangnya diterajang tanpa belas kasihan. 


Tidak cukup dengan itu, suspek mengambil selipar lalu memukul bahagian belakang kepala mangsa bertubi-tubi dan mangsa hanya mampu menangis menahan kesakitan yang dialami. 


Kejadian itu turut dirakam oleh rakan suspek yang sesekali tertawa melihat mangsa dipukul. 


Berdasarkan video, kejadian itu membabitkan pasangan berbangsa Cina dan sehingga kini masih belum dikenal pasti lokasi sebenar kejadian itu berlaku. 


Di media sosial, netizen termasuk beberapa selebriti tempatan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ia berlaku di Malaysia. 


"Jantan macam ni dengan perempuan je berani tunjuk hebat. Dengan sesama lelaki, telur kecut ke dalam. Kalau kenal, sila pijak muka dia," kata Yuyu. 


"Parent budak tu penat besarkan anak dia elok-elok, hang budak hingusan boleh sepak terajang sesedap rasa je? Tengok la kalau dapat kat abang budak tu, makan selipar depan mak pak hang orang kerjakan," kata Imma. 


"Kalau berlaku depan aku, bukan setakat sepak terajang, smackdown aku bagi kat jantan tu. Gunakan kaki untuk tampar muka dia, baru dia kenal erti penyesalan yang abadi. Jenis macam ni dengan mak bapak pun tak ada adab," kata Adam. 





Sumber: Twitter

Sumber : CiteMalaya

Rakyat B40 & asnaf digalak tanam nanas untuk tambah pendapatan - Timb Menteri Pertanian



Kerajaan menggalakkan golongan B40 dan asnaf negara menceburi bidang pertanian iaitu dengan menanam nanas sama ada secara individu atau berkumpulan bagi menjana pendapatan. 


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ini kerana pendapatan bulanan penanam nanas boleh mencecah setinggi antara RM5,000 hingga ke RM8,000 sehektar berdasarkan permintaan tinggi dari luar negara. 


"Eksport nanas negara dijangka berkembang pada kadar lima peratus setiap tahun berikutan peningkatan permintaan bagi nanas segara dan produk nanas dalam tin. 


"Dengan itu, kami menggalakkan kumpulan B40 dan asnaf menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana kami mahu memberi mereka latihan mengenai kaedah penanaman dan tangkai nanas percuma untuk penanaman," katanya. 


Dalam pada itu juga, Nik Muhammad Zawawi berkata, untuk industri nanas di Kelantan, sejumlah RM10,000 telah diberikan kepada lima peserta di bawah Projek Transformasi dan Pengurusan Teknologi Penanaman Nanas. 


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

(Video) 'Dah bagi minyak free 5 tahun sekali, ingat rakyat akan pangkah BN ke?' - Netizen



Tular di media sosial video menunjukkan sekumpulan ahli Barisan Nasional (BN) memberi petrol percuma kepada penunggang motosikal di lokasi yang tidak dinyatakan. 


Dalam video itu, beberapa ahli BN turut menggesa rakyat mengundi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan jaminan akan terus memberi bantuan berkekalan kepada rakyat sekiranya diberi mandat yang penuh. 


Dalam masa yang sama, mereka turut mengingatkan lebih 900 pengguna TikTok yang menonton 'live' itu tentang kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang hanya mampu mentadbir kerajaan selama 22 bulan sahaja. 



"Mana orang-orang PH, mana orang-orang PKR. Mana? Kata nak memperjuangkan rakyat, ini semua kerja BN.. macam mana? Ey... tak boleh pakailah," kata ahli pemuda wanita BN. 


"PH jelas sekali gagal. 22 bulan (mentadbir) dia tamatkan segala bantuan kepada mahasiswa, bantuan kepada nelayan, harga minyak naik, harga barang tak jaga. 


"22 bulan PH buat apa? Yang dia buat, dia kata kerajaan tak ada duit tak boleh bantu rakyat.


"Kita BN bagi rakyat BR1M sehingga RM2,500! PH bagi RM500! RM30 kepada golongan bujang sedangkan di zaman BN kita bagi orang bujang RM500! PH bagi berapa tuan-tuan? RM30! Apa yang diorang boleh buat dengan RM30? 


"Bila diorang (pemimpin PH) dapat jawatan, diorang kata tak ada duit, tak boleh bantu rakyat. Ini semua sembang retorik! Kita tak boleh bagi diorang (menang PRU15). 


"Anwar Ibrahim kata dia tak pernah menjadi perdana menteri. Tapi kena ingat, kabinet dia (jika menang) akan jadi kabinet yang sama. Mungkin Mat Sabu akan jadi timbalan perdana menteri. Mat Sabu, orang yang tak ada sijil pelajaran. Boleh ke orang yang tak ada sijil pelajaran nak jadi timbalan perdana menteri? 



"Ingat peristiwa 22 bulan, kita kena kencing, kena tipu," kata pemuda BN berkenaan.


Bagaimanapun berlainan pula reaksi netizen di Twitter yang rata-rata menyelar kenyataan pemuda BN berkenaan. 


"Boleh dapat hari-hari (free petrol) ke macam mana? Atau hanya ketika masa mengundi saja baru dapat gula-gula ini?" kata Noname. 


"Ni orang panggil gula-gula. Budak-budak seronoklah dapat gula-gula. Berapa sen sangat modal tu berbanding yang telah disakau yang jumlahnya berbilion. Orang gila dan bangang saja yang tak nampak benda ni," kata Naza Nadzir. 


"Kalau dapat hari-hari macam ni tak apalah juga. Ini lima tahun seali je dapat merasa. Ingat kami ni senang termakan dengan gula-gula?" kata HAL. 


"Agak-agak minyak yang diisi tu boleh tahan lima tahun ke? Entah-entah lima jam dah habis. Kalau macam tu, sokong BN setakat lima jam cukuplah kot," kata Zack. 





Sumber: Twitter Geng Utara

Sumber : CiteMalaya

'Mereka dua beradik hanya bergurau' - Ibu bapa tampil nafi dakwaan anak buat perkara tak senonoh dalam surau



Dua lelaki yang didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh dalam sebuah surau di Pekan Banting baru-baru ini dilaporkan adalah adik-beradik. 


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Salleh berkata, dua beradik berkenaan berusia 14 dan 21 tahun itu menetap di Seremban, Negeri Sembilan. 


Baca: (Video) 'Yang besar tu nak buka seluar, keluarkan k***' - JAIS siasat video 2 lelaki buat onar dalam surau di Pekan Banting 


Siasatan awal mendapati, dua beradik itu datang ke Banting bersama dengan keluarga untuk bercuti dan makan di sebuah restoran di pekan Banting pada jam 4.30 petang, Selasa lalu, sebelum menunaikan solat di surau tersebut. 


Selepas selesai solat, dua beradik itu bergurau tanpa menyedari perbuatan mereka dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV), yang kemudian ditularkan di media sosial. 


Menurut keterangan ibu bapa dua beradik itu, si abang bergurau dengan adiknya dan dalam masa sama cuba memperbetulkan kedudukan seluar adiknya. Bukannya berniat untuk melakukan perbuatan tidak senonoh dalam surau. 


Polis telah merakam keterangan empat individu berkenaan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. 


Sumber: Harian Metro




Sumber : CiteMalaya

2 isteri orang dicekup berkhalwat dengan 2 lelaki Bangladesh di Kulim

Foto Berita Harian


Dua wanita dicekup berkhalwat dengan dua lelaki warga Bangladesh dalam dua bilik berasingan di sebuah rumah tumpangan di Lunas, dalam serbuan yang dilakukan Pejabat Agama Daerah Kulim, semalam. 


Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, serbuan itu dilakukan dengan bantuan dari pihak polis selepas pihaknya mendapat maklumat awam mengenai kegiatan dua pasangan terbabit. 


Pemeriksaan yang dilakukan pada jam 11.30 pagi di bilik pertama menemui seorang wanita berstatus isteri orang yang mempunyai empat anak, berdua-duaan dengan seorang lelaki Bangladesh. 


Wanita berusia 38 tahun itu yang menetap di Kulim berkata, dia memaklumkan kepada suaminya bahawa dia keluar untuk mengambil lesen kenderaan. 


Pemeriksaan di bilik kedua pada jam 12.45 tengah hari pula menemui seorang wanita berusia 26 tahun berkhalwat dengan lelaki Bangladesh berusia 35 tahun. 


Wanita terbabit juga sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak, memberi alasan kepada suaminya untuk keluar mengambil lesen kenderaan bersama rakan.


Kedua-dua wanita terbabit bekerja di sebuah kilang plastik dan mengenali lelaki Bangladesh berkenaan melalui aplikasi WeChat. 


Mereka ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM30,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Lunas untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Thursday, 27 October 2022

Azmin: 'Saya nak terus berkhidmat untuk orang Gombak' - Tetapi 96% orang Gombak tolak Azmin yang didakwa banyak mungkir janji sejak PRU13

Foto The Star


Dua hari lalu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali mengeluarkan kenyataan bahawa dia mahu terus berkhidmat untuk orang Gombak, sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 


"Saya bersedia untuk terus berkhidmat untuk orang Gombak," katanya dalam wawancara bersama Astro Awani baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, Azmin juga mengalu-alukan pencabarnya dan menyerah kepada pengundi untuk mengundi calon pilihan masing-masing. 


Bagaimanapun di Twitter, seorang wanita yang dipercayai penduduk Gombak mendakwa Azmin gagal menunaikan janji-janjinya sejak PRU13. 


"Khidmat apa Azmin Ali? Dari PRU13 janji nak settle jalan jam MRR2 nak masuk Greenwood, nak besarkan jalan sampai tiga lane. Last-last yang besar lubang **** kau je," kata Farhana Iskandar. 




"Tapi orang Gombak nak buang kau, saman kau sebab mengkhianat. Itu pun kau masih berani bertanding di Gombak?" kata Saratuya.


"Saya salah seorang pengundi di Gombak. Saya tidak akan sesekali mengundi kamu lagi. Kamu 100 peratus perlu disingkirkan," kata Fadhli Rahim. 


"Kami orang Gombak tak nak jemin katak sebagai MP. Sudah-sudahlah berangan jemin oii. By the way, tak payah datang ke taman aku, semak je. Time nak PRU baru nampak muka," kata Timmy Morgan. 


Undian secara online yang melibatkan 491 responden juga menunjukkan, 96.1 peratus menolak untuk mengundi Azmin di PRU15 ini. 


Sumber: MalaysiaKini, Twitter @mkini_bm



Sumber : CiteMalaya

Tampar & letak cekodok panas di tangan nenek, penganggur dipenjara 12 bulan

Foto Harian Metro


Mahkamah Majistret Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang penganggur yang didapati bersalah atas pertuduhan memukul dan mencederakan neneknya.


Tertuduh, Nazri Zol, 34, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Izwan Mohamed Noh yang kemudian menjatuhkan hukuman tersebut. 


Mengikut pertuduhan, Nazri didapati sengaja menyebabkan kecederaan terhadap neneknya, Halimah Hassan, 83, dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.20 pagi 21 Oktober 2022 di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam, Melaka Tengah. 


Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan. 


Menurut fakta kes, tertuduh telah menolak mangsa dan menyuruhnya keluar dari rumah sebelum berlaku pertengkaran di antara suspek dan ibunya. 


Tertuduh kemudian secara tiba-tiba menampar belakang badan dan muka neneknya, serta mengambil cekodok panas lalu diletakkan di tangan mangsa. 


Akibat dari perbuatannya itu, mangsa disahkan mengalami kecederaan pada tisu lembut yang membawa kepada penahanan tertuduh pada jam 10 malam, 21 Oktober lalu. 


Tertuduh bagaimanapun merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dirinya menganggur. Tetapi Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius. 


"Nasihat saya, jangan kita bakar jalan kita ke syurga. Kamu beruntung pada usia 34 tahun masih ada nenek. Tolong jaga perangai dan minta maaflah kepada nenek kamu, bukan pada saya," kata Majistret Izwan.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap pada 21 Oktober 2022. 


Sumber: Kosmo Online, Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Wednesday, 26 October 2022

Anak menangis teresak-esak dihadapkan ke mahkamah kerana curi gelang emas ibunya bernilai RM9,000



Padah mencuri gelang emas, seorang wanita berusia 27 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. 


Tertuduh, Insyirah Afikah Norazri, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di depan Majistret Azureen Shahira Saufee Afandi. 


Mengikut pertuduhan, Insyirah Afikah didakwa mencuri seutas gelang emas bernilai RM9,000 milik ibunya, Nor Rihan Talib, 51, di kediamannya di daerah Melaka Tengah pada jam 8 malam, 12 Oktober lalu. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali. 


Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam kelihatan sugul ketika menunggu kesnya disebut dan sebaik berdiri selepas namanya dipanggil, dia tiba-tiba menangis dan sesekali menoleh ke arah ibu dan keluarganya di galeri awam. 


Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengadu berkeinginan untuk menarik semula laporan itu, tetapi masih belum membuat laporan polis. 


Beliau memohon kes itu disebut semula esok untuk pengadu mengemukakan laporan polis dan menawarkan jaminan RM500 kepada tertuduh dengan seorang penjamin. 


Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan dan menetapkan esok untuk pengurusan kes itu. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

'Beri saya peluang' - Ayahanda Rani Kulup umum bertanding di Port Dickson



'Ayahanda' Abdul Rani Kulup Abdullah, 67, mengumumkan dirinya akan bertanding di Parlimen Pot Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini mewakili Parti Barisan Penyatuan Nasional (BPN). 


Abdul Rani yang terkenal dengan gelaran Raja Report itu dijangka akan bersaing dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun - Pakatan Harapan (PH) dan pengarah Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri - Gerakan Tanah Air (GTA). 


Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) itu berkata, dirinya sudah lama menyimpan hasrat untuk bertanding di PRU sejak PRU14 dan memilih Port Dickson sebagai tempat pertamanya untuk bermula berjuang di peringkat lebih tinggi. 


"Port Dickson adalah Bandar Tentera Darat dan saya mahu di sini juga wujudnya Kampung Tentera Darat kerana di sini lahirnya pahlawan negara. 


"Kalau ikutkan hati, saya mahu bertanding di semua kerusi parlimen, namun saya perlu bermula di sini. 


"Saya bekas tentera yang berpencen sejak 1995 selepas berkhidmat selama 22 tahun dan saya percaya boleh membantu bukan saja warga tentera tetapi juga orang awam. 


"Selama ini saya banyak bergerak mewakili NGO berjumpa wakil rakyat untuk membantu orang ramai dan kini sampailah waktunya saya berkhidmat sebagai wakil rakyat. 


"Sebelum ini saya berjumpa dengan orang ramai di bawah pokok dan jujurnya saya ikhlas memperjuangkan nasib masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. 


"Port Dickson sudah dikenali sebagai Bandar Tentera Darat dan saya percaya semua warga tentera akan menganggap Port Dickson adalah 'kampung' mereka. 


"Saya akan berkampung di Port Dickson sebaik penamaan calon pada 5 November ini sehingga hari terakhir pengundian nanti. Kalau boleh, pengundi berilah peluang untuk saya berkhidmat kerana saya pasti banyak perkara yang saya boleh bantu masyarakat mealui sidang Parlimen. 


"Saya tidak peduli siapa lawan saya atau parti politik mana dan pangkat terakhir ialah Rejimen Sarjan Mejar yang pastinya dapat membantu dalam mentadbir sebaik mungkin," katanya. 


BPN adalah parti politik baharu ditubuhkan oleh sekumpulan ahli perniagaan dan akan bertanding di 160 kerusi parlimen pada PRU15 ini. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

(Video) 'Ya Allah, maafkan kakak, jangan benci kakak, kakak tak sengaja' - Ibu ceritakan kejadian sebenar, nafi 2 anaknya berebut kerusi



Remaja perempuan berusia 18 tahun yang didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya tanpa niat mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, hari ini. 


Juga tular di media sosial, kenyataan ibu (43 tahun) remaja berkenaan yang mendakwa anaknya tidak sengaja berbuat demikian dan menafikan laporan media sebelum ini yang mendakwa pergaduhan itu berpunca dari kes berebut tempat duduk dalam kereta. 


"Saya ambil kakak (suspek) di sekolah Gelang Patah, kemudian baru ambil arwah dan adiknya di Nusajaya. Masa mereka masuk, arwah tanya kenapa lambat dan saya kata ambil kakak. Kemudian dia senyap. 


"Mereka bukan berebut kerusi, kerusi itu dia (suspek) jatuhkan (ke belakang) dan kemudian dia (mangsa) kata naikkan. Lepas tu dia macam marah, "Kakak, kakak pekak ke?". Mereka kemudian bergaduh mulut. "Lain kali kalau kakak minta tolong, kita tak nak tolong kakak lagi", dia macam dah sedih.


"Kemudian berlaku provokasi dan saya leraikan, mereka semua senyap," katanya. 


Dalam temubual bersama wartawan TV3, wanita itu menjelaskan apabila mereka sampai di rumah dia membunyikan hon untuk memanggil anaknya yang keempat untuk dihantar ke sekolah agama. 


Pada masa yang sama dua beradik terbabit masih bertengkar sehinggalah anaknya yang ketiga keluar dan memaklumkan kepadanya bahawa mangsa mengalami pendarahan yang banyak. 


"Anak saya yang ketiga keluar dan kata 'Ibu! Ibu, abang dah berdarah banyak ni.'. Saya segera tanya kakak apa yang dia telah lakukan. Dia pun kelihatan panik dan kata, 'Ya Allah, maafkan kakak, maafkan kakak, ibu maafkan kakak, jangan benci kakak.. kakak tak sengaja. Ibu, nanti kakak masuk neraka seorang-seorang ke? Kita tak bersama dekat syurga ke? Kakak tak sengaja'," katanya. 


Dalam pada itu, wanita berkenaan menafikan suspek mengalami sebarang tekanan dan yakin perkara itu berlaku tanpa sengaja. 


"...minggu ini (minggu kejadian) dia menghadapi peperiksaan. Saya rasa nak kata benda ini (kejadian) disebabkan tekanan pun tidak, saya rasa dia tak sengaja sebab pisau itu memang ada di situ. Saya rasa dia tercapai pisau. Kalau dia capai buku, mungkin dia ketuk kepala adiknya dengan buku ke, remote ke," katanya.


@mek_ainalieya Ibu cerita kisah yang berlaku kakak dan adik .. kakak tidak sengaja 😭 salam takziah #fypã‚· #masukberanda #alfatihah ♬ Yasir Lana - arief akdw


Sumber: TikTok Mek Ainalieya, 999



Sumber : CiteMalaya

6 remaja lelaki didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di kedai makan Bachok

Foto Harian Metro


Enam remaja lelaki berusia 15 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Bachok semalam atas 15 pertuduhan merogol seorang pelajar tingkatan dua dalam kejadian yang berlaku di Tawang antara Ogos hingga September lalu. 


Kesemua tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa. 


Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun di sebuah bilik di kedai makan di Jelawat, Bachok antara jam 12.30 tengah malam hingga jam 2.30 pagi pada pertengahan Ogos hingga September. 


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. 


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hakimie Ab Hadi, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Norizaidah Abdul Salam. 


Mohd Hakimie sebelum itu tidak menawarkan jaminan, manakala Norizaidah pula memohon jaminan ditawarkan atas sebab kesemua tertuduh masih bersekolah dengan sebahagian keluarga pula adalah orang susah. 


Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,000 untuk setiap pertuduhan dan menetapkan 13 Disember untuk sebutan semula kes. 


Sementara itu, dua lagi tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tiga pertuduhan merogol mangsa pada tarikh dan lokasi yang sama. 


Kedua-dua tertuduh berusia 18 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.


Mahkamah kemudian membenarkan seorang daripada tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala seorang lagi tertuduh tidak dibenarkan jamin. 


Mahkamah menetapkan 23 November ini untuk tarikh sebutan semula kes. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Friday, 21 October 2022

Terberak atas tilam, budak 4 tahun didera bapa angkat



Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disyaki didera oleh bapa angkatnya kerana berang dengan mangsa yang membuang air besar di tilam, selain tidak mahu makan, dalam kejadian yang berlaku di sebuah pangsapuri di Ampang Jaya. 


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang saksi iaitu remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga adik ipar lelaki terbabit yang tinggal bersama dengan suspek sejak sebulan lalu. 


Siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 30 tahun itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dikatakan telah memukul mangsa sejak September dan kali terakhir pada jam 7 malam kelmarin. 


Difahamkan, saksi terdahulu menegur kakaknya dan suspek memarahi mangsa sehingga tercetus pergaduhan. Saksi mendakwa, dia pernah melihat suspek memukul mangsa. 


"Mangsa dijaga oleh kakak pengadu sejak berusia lima bulan yang diserahkan oleh seseorang yang tidak dikenali secara sukarela. 


"Mangsa mengalami kecederaan di badan, kaki serta kesan luka di bahagian kemaluan, dipercayai didera dengan menggunakan tangan oleh suspek. Mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Ampang," katanya. 


Bertindak di atas laporan yang diterima, polis telah menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam lima petang semalam. 


Keputusan ujian saringan air kencing suspek adalah negatif dan suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau. 


Suspek direman selama lima hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Thursday, 20 October 2022

'Kenapa Anwar boleh tapi Najib tak boleh?' - Nooryana pertikai tindakan Jabatan Penjara tak benarkan bapanya 'berkempen' dari Penjara Kajang



Jabatan Penjara Malaysia semalam mengeluarkan kenyataan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak dibenarkan memberi sebarang kenyataan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 


Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara Malaysia, Supri Hashim berkata, mana-mana banduan yang sedang menjalani hukuman penjara adalah tidak dibenarkan berbuat demikian. 


Bagaimanapun, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, mempertikaikan kenyataan itu dan turut mempersoalkan mengapa Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim ketika dipenjara pada tahun 2015, dibenarkan berbuat demikian. 


"Kenapa Anwar boleh, tapi Najib tak boleh? Adakah sebab namanya Najib?" tulisnya pada hantaran yang dimuat naik di akaun Instagramnya semalam.



Pada hantaran itu, Nooryana turut menyertakan gambar tangkap layar berita mengenai 'Anwar kempen dari penjara' yang mesejnya disampaikan melalui peguamnya, Latheefa Koya, yang meminta rakyat mengundi isterinya sebagai calon PKR pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 2015. 


Berbanding berita mengenai bapanya, Najib, yang langsung tidak dibenarkan berbuat demikian. 


Disebabkan kenyataan Nooryana, Jabatan Penjara kini menerima kecaman teruk dari netizen yang mendakwa jabatan berkenaan berat sebelah dan tidak berlaku adil terhadap Najib. 





Sumber: Instagram Yana Najib

Sumber : CiteMalaya

'You help me, I help you' - Ismail berjanji akan luluskan semua permohonan penjaja & peniaga kecil jika dilantik semula sebagai PM selepas BN menang PRU15

Foto Kosmo Online


Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 5 November dan pengundian pada 19 November depan. 


Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), banyak parti-parti politik sudah mula berkempen di kawasan masing-masing dan menabur pelbagai janji-janji untuk meraih pengundi.


Tidak terkecuali, Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan menabur janji untuk meluluskan semua permohonan penjaja dan peniaga kecil sekiranya dia dilantik semula sebagai perdana menteri selepas Barisan Nasional (BN) menang PRU15. 


Berucap di hadapan ribuan penjaja dan peniaga kecil dalam Majlis Pelancaran Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka semalam, Ismail menggesa komuniti itu membantunya apabila tiba gilirannya meminta bantuan mereka. 


"Penjaja sentiasa dekat di hati saya. Saya juga pernah menjadi penjaja waktu saya sekolah rendah lagi. Saya menjadi penjaja jual limau di kaki lima, jual ikan di pasar minggu pekan sehari termasuk Temerloh. 


"Apa yang penjaja bangkitkan, saya faham. Sebab saya pernah menjadi penjaja. Hidup saya sama dengan penjaja. Apa yang penjaja rasa, saya dah melalui dulu sebab itu setiap permohonan yang dibuat penjaja pasti saya luluskan," katanya. 


Ismail memaklumkan baru-baru ini juga dia ada menerima surat daripada persatuan penjaja yang memintanya menjadi penaung. Ismail bersetuju dan akan membantu persatuan penjaja. 


"Saya dengan ini bersetuju menjadi penaung Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia. Selaku penaung, kita akan jumpa dengan persatuan, akan bantu persatuan penjaja. 


"Saya cuma minta, kalau saya pohon bantuan, tolong bantu saya. Terima kasih, warga penjaja akan gunakan hak mereka pada 19 November ini dengan memberi kepercayaan kepada parti yang boleh bantu dan membela nasib penjaja," katanya. 


Ismail bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci mengenai jenis bantuan yang dia minta daripada komuniti itu dan menyerahkan kepada orang ramai mentafsir kenyataan itu sendiri. 


Ketika ditanya jika ia boleh ditafsirkan sebagai 'Saya tolong awak, awak tolong saya', Ismail menjawab "Yalah, you help me, I help you okaylah. Terserah kepada mereka untuk membuat atau beri pandangan mereka apa maksud itu," jelasnya. 


Sumber: MalaysiaKini



Sumber : CiteMalaya

Bunuh bayi lelaki berusia tiga bulan, petani mengaku tidak bersalah



Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang di sini, awal bulan lepas. 


Muhammad Nasyran Zamzury, 28, didakwa membunuh anaknya, Muhammad Annas, di rumah berkenaan di antara jam 9 malam 4 Oktober 2022 hingga 1.30 tengah hari, 10 Oktober 2022. 


Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 


Muhammad Nasyran didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. 


Selain itu, tertuduh turut menghadapi tiga lagi pertuduhan di mahkamah sama dan mengaku salah terhadap satu daripada pertuduhan iaitu memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam dirinya sendiri, tanpa kebenaran pihak berwajib. 


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar pada kira-kira jam 7 malam, 10 Oktober lalu. 


Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember ini, sementara menunggu laporan patologi. 


Bagi satu lagi pertuduhan, Muhammad Nasyran mengaku tidak bersalah mencederakan bekas teman wanitanya di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra, di sini kira-kira jam 7 pagi, 5 Mei 2019. 


Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 November depan. 


Untuk pertuduhan terakhir, Majistret Siti Norhidayah menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22, di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Mukim Padang Hang, kira-kira jam 5 petang, 4 Oktober 2022. 


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama. 


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurfatin Mastura Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Zuriyah Mohd Nordin basgi pertuduhan mencederakan isterinya. 


Bagaimanapun, tertuduh tidak diwakili peguam bagi tiga lagi pertuduhan. 


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

Wanita sarat mengandung maut ketika cuba mengelak ular tiba-tiba melintas



Seorang wanita sarat mengandung dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dalam kejadian di Kilometer 29, Kampung Charuk Padang, Jalan Jeniang Sik-Pedu, semalam.


Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 4.30 petang itu yang membabitkan sebuah motosikal Honda Wave Alpha dan kereta Perodua Axia. 


Mangsa, Nor Hidayah Abdullah, 27, menunggang motosikal bersama seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dari arah Sekolah Menengah Sik menghala ke rumahnya di Bandar Baru Beris Jaya. 


Tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan cuba mengelak seekor ular yang melintas secara tiba-tiba di bahu kiri jalan menyebabkan motosikalnya memasuki laluan bertentangan lalu berlaku pelanggaran dengan bahagian sebelah kiri Perodua Axia dipandu oleh seorang wanita berusia 61 tahun. 


Akibat dari kejadian itu, pembonceng motosikal mengalami calar di tangan kanan, manakala ibu hamil berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu Axia pula tidak mengalami sebarang kecederaan. 


Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan. Mayat Nor Hidayah disahkan mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk mukanya sebelum dihantar ke hospital sama untuk menyelamatkan bayinya. 


Sebaik saja bayi mangsa berjaya diselamatkan, bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut. 


Mayat ibunya kemudian diserahkkan kepada Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya
Powered by Blogger.