Wednesday, 30 November 2022

(Video) 'Kau blah sekarang, aku tak nak jual kat kau!' - Peniaga halau pelanggan ketika live di TikTok



Tular di media sosial baru-baru ini video 'live' seorang peniaga wanita dilaporkan menghalau pelanggannya dalam kejadian yang dipercayai berlaku di ibu kota, mengundang pelbagai reaksi netizen. 


Difahamkan, peniaga berkenaan yang dikenali sebagai Dina terdahulu membuat teguran terhadap seorang pelanggan wanita yang didakwa menyentuh makanannya dengan jari, sedangkan dia telah menyediakan penyepit makanan. 


"Minta maaf, jangan pegang guna tangan. Gunalah penyepit. Saya berniaga, jangan pegang.. jangan pegang. Sebab kita berniaga makanan kak. 


"Haa elok-elok sikit perangai nah," katanya. 


Bagaimanapun, pelanggan terbabit mempersoalkan mengapa Dina tidak meletak penyepit di situ. Tambahan, kata-kata terakhirnya itu mengundang rasa tidak puas hati pelanggan berkenaan. 


"Nak tegur, tak payahlah cakap elok-elok perangai. Saya tahulah saya salah tapi.." balas pelanggan itu sebelum video terhenti seketika. 


Tidak puas hati mendengar teguran balas itu, Dina menghalau wanita itu dan mengancam akan membuat panggilan polis. 


"Kau blah, kau blah sekarang. Aku tak nak jual kat kau!" kata Dina. 


Pelanggan itu turut mempersoalkan mengapa Dina bertindak merakam video dirinya. Bagi Dina, dia berhak berbuat demikian kerana wanita itu katanya telah melakukan provokasi terhadapnya. 


"Takpe, itu hak aku. Kau datang provok kedai aku.  Telefon polis. Jap, telefon polis. Kau dah provok kedai aku," katanya. 


Enggan memanjangkan hal tersebut, wanita itu kemudian memohon maaf. Malangnya, Dina tidak menerima permohonan maaf itu dan sekali lagi bertegas mahu menghubungi polis. 


"Takde, takde. Aku report polis sekarang. Kau blah! Kau blah! Kau tak payah minta maaf," katanya. 


@mingggggggggg_ dina sound pelanggan #dinaamarahpelanggan #marahmarah ♬ original sound - minggg - mimingggggggggggggg
@mingggggggggg_ dina marah pelanggan #peniagasoundpelanggan #fyp #fyppppppppppppppppppppppp ♬ original sound - mimingggggggggggggg


"Mula-mula kita okey je dengan customer. Tiba-tiba perempuan ini saja tau. Dari awal tanya soalan entah apa-apa. Pastu dia berkali-kali dan berulang pegang ayam goreng. Salahkah saya warning dia?" kata Dina. 


Sementara itu di media sosial, netizen kesal dengan sikap yang ditonjolkan oleh peniaga berkenaan. 


"Ya Allah, orang itu dah meminta maaf secara baik, nak settlekan secara baik. Nada kita menegur itu penting kak. Saya pun berniaga makanan, memang kita akan rasa nak marah bila sediakan penyepit, tetapi ada juga yang nak pegang dengan tangan. Tapi menegur itu biarlah kena dengan nada tegurannya," kata Peniaga Nasi Kerabu. 


"Rajin pula polis nak melayan aduan dia? Polis pun pening nak terima aduan," kata Achi. 


"Macam tu kau layan pelanggan? Dia tak sedar ke dia sedang menutup periuk nasi dia sendiri?" kata Spencer.



Sumber : CiteMalaya

'Amerika akan dilanda mega tsunami pada 15 Mei 2023' - Time Traveller



Seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya pengembara masa dari tahun 2,671 memberi amaran bahawa akan berlaku banyak peristiwa besar di bumi dalam tempoh enam bulan akan datang, termasuk 'mega tsunami' yang akan melanda Amerika Syarikat. 


Eno Alaric, yang juga dikenali sebagai @theradiantimetraveller, mempunyai lebih 122,000 pengikut di aplikasi tersebut memuat naik amaran mengenai peristiwa yang akan berlaku pada masa depan. 


Sebelum ini, Alaric pernah mengeluarkan amaran tentang planet berkembar dengan Bumi, kedatangan makhluk asing dan juga kewujudan portal ke dimensi lain. 


Tetapi kini, Alaric mengeluarkan amaran tentang lima peristiwa besar yang akan berlaku antara sekarang sehingga Mei 2023 membabitkan kes kehilangan pesawat dan bencana alam. 


"Ramai di antara anda yang masih tidak percaya bahawa saya adalah pengembara masa yang benar. Ingatkan lima tarikh utama ini. 


"14 November 2022, 10 orang akan menerima kuasa daripada tenaga matahari yang melampau. 30 November 2022, Teleskop James Webb menemui planet yang menyerupai Bumi. 


"12 Disember 2022, pesawat penerbangan yang dilaporkan hilang 12 tahun lalu akan muncul kembali dan tiada penumpangnya yang berusia. 


"6 Februari 2023, sekumpulan empat remaja menemui runtuhan purba dan peranti yang akan membuka pintu portal ke galaksi lain. 15 Mei 2023, mega tsunami 750 kaki (The Great Wave) akan melanda California, terutamanya San Francisco," katanya. 






Pendedahan individu itu mengundang pelbagai reaksi di media sosial. Namun majoriti netizen mendakwa Alaric terlalu banyak menonton televisyen. 


Sumber: TikTok



Sumber : CiteMalaya

Kuil ditinggalkan kosong selepas semua sami disahkan positif dadah

Foto hiasan sahaja


Sebuah kuil Buddha di Thailand telah ditinggalkan kosong tanpa sami selepas kesemua mereka gagal melepasi ujian saringan dan disahkan positif dadah, menurut seorang pegawai tempatan, semalam. 


Empat sami termasuk seorang ketua rahib di sebuah kuil di daerah Bung Sam Phan, wilayah Phetchabun, didapati positif dadah jenis methamphetamine pada Isnin, kata pegawai daerah, Boonlert Thinapthai kepada AFP. 


Difahamkan, kesemua sami berkenaan telah dibawa ke klinik kesihatan untuk menjalani pemulihan dadah. 


"Kuil itu kini tidak mempunyai sami dan penduduk kampung berhampiran bimbang mereka tidak boleh meneruskan sebarang aktiviti keagamaan (menyembah, menderma makanan kepada rahib sebagai perbuatan baik)," katanya. 


Tambah Boonlert lagi, lebih ramai sami akan dihantar ke kuil berkenaan bagi membolehkan penduduk kampung mengamalkan kewajipan agama mereka. 


Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah, Thailand adalah negara transit utama bagi pengedaran dadah jenis methamphetamine yang turut berleluasa di beberapa lokasi di Myanmar dan Laos. 


Bahan terlarang itu juga dikesan dijual di tepi jalan di mana pil dijual kurang daripada 20 baht (RM2.54). 


Sumber: AFP



Sumber : CiteMalaya

Tuesday, 29 November 2022

Penduduk Kelantan gagal bayar bil air sebanyak RM28.5 juta - AKSB



Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan diberitahu, Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) melaporkan sebanyak RM28.5 juta bil air gagal dibayar oleh penduduk negeri itu setakat 30 Sept lepas.


Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Nor, berkata faktor utama tunggakan adalah daripada pengguna domestik yang masih tinggi berjumlah RM18.4 juta dan kutipan sedikit perlahan kerana pengguna masih dalam peringkat pemulihan pasca-Covid-19.


“Tunggakan bil pengguna (aktif) AKSB hingga 30 Sept 2022 adalah RM28,543,688 dan ia telah jauh berkurangan berbanding dengan akhir 2021 (31 Dis 2021) yang berjumlah RM33,212,268,” katanya.


Beliau menjawab soalan Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) yang ingin tahu jumlah tunggakan bil pengguna AKSB dan penyebab kepada tunggakan tersebut berlaku pada Persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim.


Menurut Azami, bagi meningkat hasil kutipan, AKSB telah menjalankan aktiviti penguatkuasaan kutipan secara berterusan di seluruh jajahan terutama yang tiada masalah bekalan air bersih pada tahun ini dan menyediakan pelbagai medium kutipan termasuk melalui bank dan ejen kutipan.


Menjawab soalan tambahan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) yang bertanyakan sama ada kerajaan mahu memberi bekalan air percuma kepada asnaf di Kelantan, beliau berkata pihaknya sentiasa membantu penduduk yang memerlukan.


“Kita menyediakan 30 lori sewa khas yang bersedia untuk mengagihkan bekalan air percuma kepada asnaf di semua kawasan sejak April 2020 hingga Julai tahun ini dengan perbelanjaan berjumlah RM11.5 juta dan ini satu daripada tanggungjawab sosial kita,” katanya.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

'Jijik betul replies!'



Berkongsi mengenai aktiviti harian atau kesukaan di media sosial sama ada dalam bentuk gambar, video dan cerita sudah menjadi satu perkara biasa pada zaman ini. 


Baru-baru ini, seorang pengguna TikTok, Fienajeeha, berkongsi video dirinya sedang menikmati sushi di sebuah restoran makanan Jepun. 


Tiada apa yang luar biasa, tetapi ada beberapa lelaki memuat naik komen yang menjijikkan. 


Berdasarkan gambar tangkap layar yang ditularkan, lebih kurang lapan lelaki yang memuat naik komen berbaur lucah tanpa rasa bersalah, apatah lagi memikirkan kesan daripada memuat naik komen seperti itu. 







"Aku malu untuk kaum lelaki Melayu yang komen public macam ni. Bengap. Tak sedar ke yang baca itu mungkin anak perempuan sendiri, mak mertua atau isteri atau boss dia?" kata SLick. 


"Jijik betul replies. Yang terpaling sembang lucah ni la yang biasanya paling worst," kata Chujakucen. 


"Sebelum jalin hubungan dengan mana-mana lelaki, periksa replies dan likes mereka di media sosial. Lelaki macam ni tak layak dijadikan sebagai pasangan. Sungguh biadab dan menjijikkan!" kata Zac. 


"Video makan pun jadi masalah. Whats wrong with these men. I pernah kena lebih kurang macam ni dan stalk TikTok diorang. Cari ID gf diorang dan tag them dekat comment BF diorang yang sexualize things," kata Reen. 


Menyedari video itu mengundang komen-komen berbaur lucah, wanita berkenaan telah menyahaktifkan ruangan komen. Malah dia mengakui dirinya trauma dengan komen-komen seperti itu.


"Secara jujurnya, semua komen-komen itu membuatkan saya berasa trauma," katanya. 



Sumber: Twitter Sof3ass



Sumber : CiteMalaya

Menteri disarankan tak ambil gaji seperti PM Anwar Ibrahim



Selesai dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, sebagaimana yang telah dijanjikannya ketika berkempen di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. 


Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri berpendapat, menteri yang bakal dilantik dalam Kabinet kerajaan baharu turut disarankan untuk tidak mengambil gaji. 


Sekiranya mereka semua bersetuju untuk berbuat demikian, jutaan ringgit hasil daripada gaji menteri itu dapat digunakan untuk membantu rakyat. 


"Kalau cabaran telah dibuat oleh Perdana Menteri, maka kabinetnya bagaimana? Sudah tentu menteri juga perlu melihat ia sebagai satu contoh. 


"Kalau keseluruhan menteri tak ambil gaji, adalah sangat baik dan berapa banyak juta duit itu dapat disalurkan seperti membina lebih banyak sekolah di Sabah dan Sarawak," katanya memetik laporan dari Sinar Harian. 


Bagaimanapun di media sosial, saranan itu mengundang pelbagai reaksi netizen. 


"Gaji mereka dibayar sesuai dengan tanggungjawab yang mereka pikul. Kalau mereka benar-benar buat kerja, mereka layak mendapat gaji. Yang rakyat tidak suka ialah, menteri yang makan gaji buta. Jangan nafikan hak orang, zalim namanya tu," kata YJN. 


"Terima gaji pun bukan salah. Apa yang penting adalah buat kerja, amanah dan bertanggungjawab. Gaji pun sebagai motivasi. Aku tak kisah pun diorang dapat gaji, asalkan jangan makan rasuah," kata Azzah. 


"Cadangan yang membawa rebah. Kerja mesti ada upah, melainkan orang itu wang simpanannya cukup untuk keluarga. Usah mengikut cara Anwar melulu, ukur baju sendiri. Anwar dah cukup simpanannya. Anak dia pun dah ada kerjaya sendiri. Anwar memang minta dikecualikan (gaji) khas buat dirinya sahaja. Biarlah yang lain ambil gaji setara dengan perkhidmatan. Mereka ada tanggungan keluarga," kata Rosdi. 


Sumber: Sinar Harian



Sumber : CiteMalaya

'Adik ipar selalu cemburu, saya bermanja dengan suami pun dia tunjuk muka tak puas hati'



Hasrat bermanja dan meluangkan masa dengan pasangan yang baru dinikahi tergendala dek adik ipar yang dikatakan menaruh perasaan cemburu sehingga sanggup mengganggu hubungan mereka. 


Pengadu memaklumkan, suaminya ada menegur perbuatan adiknya itu tetapi reaksi yang diterima tidak masuk dek akal. 


SAYA baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan suami saya, dua bulan lebih. Suami ada seorang adik perempuan yang belum berkahwin lagi. 


Masalahnya, adik dia selalu cemburu tak tentu pasal dengan saya. Contohnya, bila suami pegang tangan saya atau bermanja dengan saya, menolong mengambil makanan atau minuman untuk saya, adik ipar akan menjeling dan tunjuk muka tidak berpuas hati terhadap saya. 


Kalau naik kereta bersama-sama dengan adik dia pula, mesti dia insist duduk di depan dan saya terpaksa duduk di belakang. Walaupun suami dah menasihatkan dia, mesti dia berkeras juga dan kemudian merajuk, tarik muka. 


Bila adik ipar tahu suami belikan barang-barang atau bawa saya bercuti, nanti mesti dia akan request benda sama dekat suami saya.


Saya kasihan dengan suami saya yang terpaksa melayani permintaan dia. Sedangkan adik dia bekerja. 


Hari itu semasa keluarga suami buat family day, adik ipar sanggup tak datang sebab saya ada. Kalau balik kampung rumah nenek suami saya, mesti dia nak tidur di tepi suami saya. 


Rasa macam dah hilang privasi. Saya faham dia adalah adik kepada suami saya, tetapi sebagai seorang isteri saya rasa macam hilang privilege seorang isteri. 


Doakan saya kuat menghadapi dugaan ini. - Pengadu


Membaca luahan itu, netizen berasa pelik dengan sikap adik ipar pengadu yang dilihat seolah-olah tidak menjaga batas.


"Lain macam adik ipar kau. Dalam adik beradik pun kena jaga batas. Syaitan itu ada di mana-mana. Dia kisah apa adik beradik ke tak. Boleh je dia hasut untuk ada perasaan sesama adik beradik," kata Shiee. 


"Kalau kena kat aku, memang deep je aku tanya. Kau dengan abang kau ni ada hubungan terlarang apa-apa ke? Tanya direct tetapi berlapik, pandai-pandailah. Janji kau kena cakap," kata Sushi. 


"Dulu kakak aku pun macam adik pengadu ni juga, masa abang aku baru kahwin. Bila mak aku nampak, terus bawak hanger, terus kakak aku insaf. Peranan ibu bapa itu penting," kata Amar. 


Walaupun begitu, ada juga yang berpendapat dua beradik itu berkemungkinan rapat sejak dari kecil lagi sehingga si adik menganggap abangnya sebagai pelindung. 


"Itu sebabnya dia jadi cemburu dengan kakak ipar sendiri. Dia rasa kedudukan atau priority abang dia dah berubah sejak ada orang baru dalam keluarga. Tak tahulah nak nasihatkan macam mana, cuma boleh cakap macam tu je," kata Abex. 


Apa pandangan korang? Macam mana nak handle situasi seperti ini? Tak semua benda kena bagi Caprice selesaikan. 


Sumber: ConfessTweetMY



Sumber : CiteMalaya

'Nak report (polis), report lah' - Hadi Awang



Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat fitnah atau mengeluarkan kenyataan keterlaluan yang boleh mengancam keharmonian negara. 


Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Penarangan PKR, Fahmi Fadzil yang mendedahkan perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Presiden PH semalam. 


Umum tahu pada PRU15 yang lalu, ada sesetengah pihak yang memainkan sentimen kaum dan agama untuk mendapatkan undi rakyat. Antara isu yang dibangkitkan ialah, kononnya tragedi 13 Mei akan berulang sekali lagi sekiranya PH diberi mandat untuk menjadi kerajaan. 


Portal MalaysiaKini melaporkan, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia di negara ini. 


Dakwaan itu dibuat susulan penyokong dan pemimpin PH membuat laporan polis terhadap kenyataan kebencian yang didakwa disebarkan oleh ahli dan penyokong Pas secara online semasa dan selepas PRU15. 


16 November lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa PH adalah ejen Yahudi dan Kristian, yang ingin menjajah Malaysia. Muhyiddin bagaimanapun mendakwa kenyataannya itu telah dipetik di luar konteks. 


Terkini, Hadi Awang menjelaskan dia tiada masalah untuk dipanggil ke Bukit Aman susulan kenyataannya itu. 


"Nak report (polis), report lah. Saya sedia pergi Bukit Aman, tak apa," katanya. 


Tinjauan di media sosial mendapati, ramai netizen yang mula meluat dengan kenyataan-kenyataan pemimpin Pas yang didakwa tidak habis-habis menyerang PH, sedangkan PRU15 sudah berakhir 10 hari lalu. 


"Tak habis-habis lagi dia ni. Move on la.. cerita apa yang kita boleh sumbang untuk rakyat pula. 


"Lebai kedaung ni makin lama makin parah bila hilang kuasa. Kerjanya 24 jam meratib DAP tu je dalam benak dia. Langsung tak fikir keamanan untuk negara yang berbilang kaum atau ekonomi rakyat. Sepanjang hidup dia ni memang suka tengok negara kucar-kacir, rakyat bersengketa sepanjang masa," kata netizen. 


"Yang pelik, sejak sebelum PRU15 lagi DAP dah lama low profile. Jarang sangat buat statement. Entah kenapa lebai ni obses sangat dengan DAP dari dulu sampai sekarang. PRU dah habis pun masih DAP DAP DAP. 


"Kecewa tak dapat bentuk kerajaan pusat bersama BN. Kalau BN bersama PN, maka berkuburlah UMNO. Tapi BN bersama PH, berkuburlah Bersatu senasib dengan Semangat 46. 


"Dia sedang mainkan persepsi supaya rakyat termakan dengan hasutan dan naratif yang dibawa. Bila rakyat dan akar umbi termakan segala dakyah ini, pemimpin akan tertekan dengan isu-isu yang diputarkan dan dimainkan secara berulang serta berkemungkinan mengakibatkan peristiwa Langkah Sheraton terjadi lagi," tambah netizen lain. 




Sumber: MalaysiaKini, Twitter Utusan Malaysia

Sumber : CiteMalaya

'Kalau dia tak salah, mengapa minta pengampunan? - Hadi pertikai kredibiliti Anwar sebagai PM



Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempersoalkan kredibiliti Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada Jumaat lalu, sama ada Ahli Parlimen Tambun itu hanya sekadar cukup syarat atau sebaliknya untuk menjawat jawatan penting itu. 


Menurut Hadi, Anwar sebelum ini pernah menjalani hukuman penjara selepas mahkamah mendapati dia bersalah dan meminta pengampunan diraja selepas Pakatan Harapan (PH) menang PRU14. 


"Kita tak tahulah yang jadi ketua kerajaan minoriti ini cukup syarat ke tidak, tak tahu, bekas dihukum oleh mahkamah kerana kesalahan-kesalahannya dan diminta pengampunan. 


"Kalau dia tak salah, mengapa minta pengampunan? Ini boleh jadi ketua negara?


"Kemudian dalam ucapan-ucapannya pula nak tentang rasuah, nak tentang salah guna kuasa, nak tentang itu dan ini. Nak tentang perompak harta negara, tetapi sekarang ini cuba bersekongkol dengan mereka yang macam itu dalam kerajaan kerana nak mencukupkan jumlah. 


"Ini satu penipuan terhadap rakyat, rakyat mesti balas penipuan ini jangan biarkan. Ini satu kemungkaran yang besar. Kita mesti lawan," katanya memetik laporan dari Utusan Malaysia. 


Hadi berkata demikian semasa menyampaikan ceramah umum sempena PRU-15 DUN Tioman di Kampung Mentara, semalam. 


Dalam ceramahnya itu, Hadi turut mendakwa Kerajaan Perpaduan akan dikuasai oleh DAP di mana ada ahli UMNO yang tidak menyokong keputusan UMNO/BN menyertai kerajaan perpaduan sehingga tercetusnya kekecohan di kalangan ahli-ahlinya di seluruh negara. 


Sumber: Utusan Malaysia



Sumber : CiteMalaya

Isteri ajak anak bunuh & kerat mayat suami 22 bahagian kerana disyaki curang



Seorang lelaki dibunuh dengan kejam oleh isteri dan anak tirinya sebelum mayatnya dipotong 22 bahagian, lalu disimpan dalam peti sejuk sebelum dibuang ke beberapa kawasan berhampiran. 


Ketua Polis Jenayah Khas, Yadav berkata, pihaknya terdahulu menerima laporan dari orang awam pada 5 Jun yang memaklumkan penemuan anggota badan manusia di kawasan terpencil.


Bertindak di atas maklumat, sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui beberapa lagi anggota badan di kawasan itu seperti dua paha, lengan dan tengkorak.


Semakan kemudian mendapati, anggota badan yang ditemui itu adalah milik mangsa lelaki bernama Anjan Das. 


Susulan penemuan itu, polis telah memeriksa video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan menahan isteri mangsa, Poonam dan anak tirinya, Deepak untuk membantu siasatan.


Siasatan awal mendapati, Anjan Das telah hilang kira-kira enam bulan lalu dan kehilangannya tidak pernah dilaporkan oleh ahli keluarganya. 


Poonam dan Deepak kemudian mengaku telah membunuh Anjan kerana mengesyaki lelaki itu menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain. 


Selain itu, Poonam mendakwa keadaan rumah tangga mereka bertambah buruk apabila Deepak telah berkahwin dan Anjan dikatakan mempunyai niat jahat terhadap menantunya sendiri. 


Dua beranak itu kemudian memberi minuman keras yang dicampur dengan ubat tidur kepada Anjan pada 30 Mei. Sebaik saja tidak sedarkan diri, dua beranak itu mengelar leher mangsa dan ditinggalkan begitu sahaja sehingga darahnya berhenti mengalir. 


Mayat mangsa kemudian dikerat kepada 22 bahagian  dan disembunyikan dalam peti sejuk beku. 


Selepas mendapat pengakuan suspek, polis kembali mencari saki baki anggota badan mangsa. Namun, mereka hanya berjaya menemui enam bahagian anggota badan Anjan. 


Pada 2017, Anjan telah mendirikan rumah tangga berssama Poonam selepas kematian suaminya pada 2016 . Deepak merupakan anak kepada Poonam, hasil dari perkahwinan sebelum ini. 


Terdahulu, Anjan juga pernah mendirikan rumah tangga dan mempunyai lapan anak. 


Sumber: News Room Post



Sumber : CiteMalaya

Monday, 28 November 2022

Baru selesai tukar tayar, kontraktor maut, anak parah dirempuh lori



Malang tak berbau, seorang kontraktor dilaporkan maut dirempuh lori selepas selesai menukar tayar kereta di Kilometer 179.3 Lebuhraya Utara-Selatan, pagi semalam. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.30 pagi itu, mangsa, Khaidzir Zainuddin, 59, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan, manakala anak bongsunya, Muhammad Ashraf, 22, parah dan tulang rusuknya patah. 


Siasatan awal mendapati, dua beranak itu dalam perjalanan ke Pengerang, Johor dari Kuala Lumpur atas urusan kerja. Namun, tayar kereta Mercedes yang dinaiki mereka pancit dan terpaksa berhenti di lokasi tersebut untuk menukar tayar. 


Selesai menukar tayar ganti, kedua-dua mereka berkemas dan tiba-tiba sebuah lori tunda yang berhenti di belakang kereta mereka dilanggar sebuah lori yang datang dari arah sama. 


Pelanggaran itu menyebabkan lori tunda itu melanggar dua beranak terbabit yang ketika itu berada di bonet kereta dan tercampak ke tepi lebuhraya. 


Pemandu lori tunda turut mengalami kecederaan apabila terperosok ke bawah lori berkenaan. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Tangkak, Johor untuk tindakan lanjut. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Saturday, 26 November 2022

Anwar dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada jam 2 petang ini



Kemelut pembentukan kerajaan persekutuan baharu bakal ditamatkan dengan pelantikan Perdana Menteri baharu yang akan diumumkan beberapa jam lagi. 


Menurut laporan Berita Harian, beberapa Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dikatakan telah bertemu dengan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn pagi ini. 


Pertemuan itu dipercayai bagi memuktamadkan kerjasama di antara dua gabungan itu di mana Ahli Parlimen BN akan menandatangani akuan bersumpah untuk menyokong PH membentuk Kerajaan Persekutuan baharu. 


Difahamkan, pembentukan kerajaan baharu itu akan menggabungkan 82 kerusi yang dimenangi PH bersama 26 wakil dari BN, diikuti 3 wakil dari Warisan dan dua dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia. 


Dalam pertemuan pemimpin PH dan BN di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur semalam, beberapa pemimpin BN menegaskan mereka enggan bekerjasama dengan PH kerana tidak menggemari DAP. 


Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, 26 daripada 30 Ahli Parlimennya akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan persekutuan. 


Anwar dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 2 petang ini. 


Sumber: Berita Harian



Sumber : CiteMalaya

Thursday, 10 November 2022

'Saya yang kena cari sendiri kerusi untuk bertanding' - KJ dakwa pucuk pimpinan tinggalkannya begitu saja



Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, mengakui dia terpaksa mencari sendiri kerusi untuk bertanding kerana dia ditinggalkan begitu sahaja.


Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mendedahkan, Khairy sendiri yang meminta bertanding di kerusi itu meskipun tahu kawasan itu merupakan kubu kuat PKR. 


Baca: 'Dia (Khairy) yang minta bertanding di Sungai Buloh' - Zahid Hamidi nafi dakwaan UMNO cuba tamatkan karier politik KJ


Menurut Khairy, dia tidak mempunyai pilihan memandangkan pucuk pimpinan parti tidak memberi sebarang isyarat kepadanya untuk pergi ke mana-mana kawasan, selepas kerusi yang disandangnya di Parlimen Rembau, terpaksa diserahkan kepada Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan yang mahu menukar anginnya ke Parlimen. 


"Saya yang kena usaha sendiri untuk dapatkan kerusi (Parlimen) sebab sudah tiada kerusi lain yang kosong. 


"Saya tiada lagi pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tidak memberi apa-apa isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan dan saya ditinggalkan begitu saja. 


"Saya tahu saya kena keluar dari kawasan Parlimen Rembau. Jadi, pada waktu itu saya kena buat sesuatu untuk diri sendiri dengan ambil inisiatif berjumpa dengan Noh Omar, memandangkan bilangan kerusi kosong sudah tidak banyak. 


"Hasil perbincangan dengan Noh Omar, beliau mengesyorkan saya datang ke Selangor dan berjumpa dengan Presiden MIC untuk minta tukar memandangkan Sungai Buloh ini dulu kawasan MIC. 


"Untuk kata saya minta (kerusi Sungai Buloh), dalam konteks itu ya tetapi saya yang kena usaha sendiri untuk mendapatkannya sudah tidak ada kerusi lain," katanya. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

(Video) ‘Beza orang buat content berilmiah berbanding tiada pengisian’ - Netizen banding beza cara 2 Nurul berkempen di media sosial



Trending di Twitter Malaysia di mana netizen sedang hangat membincangkan mengenai dua personaliti politik yang juga merupakan anak kepada presiden parti politik. 


Nama Nurul Izzah Anwar, 42, trending di platform Twitter di mana netizen memuji kempen politiknya di Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15) kali ini di media sosial yang menyentuh  mengenai isu semasa dan kepentingan rakyat turun mengundi. 


Dalam masa sama, netizen juga membanding-bezakan cara Nurul Izzah dengan Nurulhidayah Ahmad Zahid, 43, berkempen. 


Dalam video yang dikongsikan, Nurulhidayah dilihat memilih menggunakan lagu Haqiem Rusli - Mimpi, yang merujuk kepada mimpi indah bersama Barisan Nasional (BN) berbanding mimpi ngeri bersama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).


Berbeza dengan Nurul Izzah, beliau menjelaskan pentingnya rakyat turun mengundi kali ini kerana kos sara hidup yang semakin meningkat tidak setara dengan gaji yang diterima, menuntut sistem pendidikan yang lebih baik, menuntut perlindungan hak dan kebajikan pekerja serta beberapa lagi isu-isu lain. 



REAKSI NETIZEN


"Berbeza orang buat content berilmiah dan mencapai objektif berbanding yang tiada pengisian. Saya komen dari perspektif ilmiah, bukan politik," kata Ikhazimin. 


"Maaf cakap. Serius try nak tengok habis video anak Zahid. Tapi baru start part tangan kat muka tu terpaling menyirap pula rasanya. Beza tau orang ada ilmu dengan orang tak ada akal," kata Nurul Ain. 


"Nak undi Nurul Izzah je because she's briliant. Nurul yang lagi satu tu how I wish you can live in a year in bottom B40 salary, in Kuala Lumpur without the help from your parents," kata Anne Nazrin. 


"Dia rupanya. I never really pay attention dengan benda-benda cringe, so aku flash-scroll je. The Nurul Izzah one worth my time to watch," kata Paina. 




Apa pandangan anda?


@dnznurul Pleaseee.. tak nak mimpi lagi ⚖️💙 #fyp #fyppppppppppppppppppppppp #barisannasional #bagandatuk #p075bagandatuk ♬ Mimpi - Haqiem Rusli
@n_izzah_anwar Kenapa anda perlu mengundi? 🇲🇾 #VersiTehTarikGolek #fyp #fypã‚· #KitaBoleh #BalikUndi ♬ SWIPE - ALYPH

Sumber: Twitter



Sumber : CiteMalaya

Wednesday, 9 November 2022

'Dia (Khairy) yang minta bertanding di Sungai Buloh' - Zahid Hamidi nafi dakwaan UMNO cuba tamatkan karier politik KJ



Sejak diletakkan sebagai Calon UMNO untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, ramai yang meramalkan tindakan UMNO itu dilihat sebagai usaha untuk mematikan karier politik Khairy Jamaluddin kerana kawasan itu merupakan kubu kuat PKR. 


Tidak dinafikan juga, ramai yang terkejut dan menjangka bekas penyandang kerusi Parlimen Rembau itu akan mengalami kekalahan teruk pada 19 November ini. 


Pada PRU14 yang lalu, calon PKR di Sungai Buloh berjaya mendapatkan lebih 26,000 majoriti dan sekali gus memberi isyarat bahawa penduduk di Sungai Buloh lebih percaya kepada perjuangan parti yang diketuai oleh Anwar Ibrahim. 


Baru-baru ini, Khairy memohon penduduk di kawasan itu mengundinya pada PRU15 ini dan jika menang, Sungai Buloh akan diwakili oleh dirinya yang bakal menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri di masa akan datang, tanpa memberikan garis secara jelas. 


"Kalau saya menang di sini, kalau orang Sungai Buloh menangkan saya, Sungai Buloh bukan hadnya. Saya akan bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti kita pimpin Malaysia, insya-Allah. 


"Satu hari nanti saya nak pimpin UMNO, satu hari nanti saya nak jadi perdana menteri anda. Tetapi bukan sekaranglah, umur saya 46 tahun, boleh tunggu," katanya. 


Hasrat Khairy itu diketahui oleh Ismail Sabri Yaakob yang juga tidak menafikan bahawa pemimpin muda itu sememangnya layak menjadi PM satu hari nanti. Tetapi bukan pada masa ini. 


Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, turut yakin dengan kepimpinan Khairy itu yang dilihat mampu memimpin UMNO ke arah yang lebih baik dan seterusnya menjadi perdana menteri. 


Bagaimanapun, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, keputusan untuk meletakkan Khairy sebagai calon di kerusi Parlimen Sungai Buloh adalah atas permintaan Khairy sendiri.


"Dia (Khairy) yang minta. Dia meminta kerusi (Parlimen Sungai Buloh) itu diberikan kepadanya. Sebab itu saya sokong dia ke Sungai Buloh."


Kenyataan Zahid itu sekali gus menyangkal dakwaan kononnya UMNO mahu mematikan karier politik pemimpin muda berkenaan walaupun tahu kawasan itu merupakan kubu kuat pembangkang.



Dalam masa sama, Zahid enggan menggulas mengenai dakwaan yang mengatakan dirinya bakal menjadi Perdana Menteri jika BN berjaya memenangi PRU15 ini. 


Media: "As a future prime minister..." 


Zahid: "Aaahhhh! Itu bergantung dengan pilihan raya umum yang seterusnya..." 


Sumber: MalaysiaKini, MyNewsHub



Sumber : CiteMalaya

'Mereka bunuh cucu saya depan mata kami!' - Wanita ditembak mati oleh polis sebanyak 17 kali



Seorang wanita di North Caroline berusia 22 tahun maut ditembak 17 kali di depan mata datuk,  nenek, dan anak perempuannya berusia dua tahun, selepas anggota polis bertindak balas terhadap panggilan kecemasan yang melaporkan kemungkinan berlaku kes pecah rumah.


Mangsa, Jada Johnson juga disahkan positif dadah pada waktu kejadian  pada 1 Julai lalu, menurut laporan bedah siasatan dan toksikologi yang dikeluarkan pada Selasa. 


Salah satu peluru dilaporkan telah menembusi bahagian kanan kepala mangsa, menyebabkan kulit kepalanya cedera,  otak dan tengkoraknya, dedah laporan itu. Selain itu dia turut mngalami beberapa kesan luka tembakan di lengan kanan, lengnan kiri, bahu, pinggul dan badan kanannya. 


Laporan tersebut mengesahkan bahawa Johnson mati akibat dibunuh. 


Laporan toksikologi turut mendedahkan Johnson berada di bawah pengaruh 0.32 mg dadah jenis methamphetamine dan memiliki pil yang tidak diketahui jenisnya yang ditemui dalam beg plastik dalam dirinya. 


Mengikut kronologi kejadian, pada jam 10 malam 1 Julai 2022, anggota polis Fayetteville tiba di rumah tersebut yang terletak di Colgate Drive. 


Anggota polis dimaklumkan bahawa berkemungkinan rumah itu baru saja dipecah masuk oleh penjenayah. 


Datuk mangsa, Rick Iwanski memaklumkan, cucunya menghidap penyakit mental dan baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital selepas mengalami krisis kesihatan mental. 


"Johnson fikir mereka (anggota polis) berada di sini untuk membunuhnya dan akhirnya mereka betul-betul membunuh cucu saya di depan mata kami," katanya yang kecewa. 


Jelas Iwanski lagi, Johnson cuba memulihkan dirinya selepas hubungannya bersama  teman lelaki mengalami masalah. Pada malam kejadian, cucunya percaya bekas teman lelakinya cuba masuk ke dalam rumah itu untuk membunuhnya. 


"Dia fikir bekas teman lelakinya datang untuk membunuhnya," katanya. 


Bagaimanapun, anggota polis yang berada di lokasi menganggap sebaliknya dan terus menahan dan memukul Johnson, manakala seorang lagi rakan setugasnya menembak Johnson beberapa kali di hadapan keluarganya. Pistol dipegang Johnson dirampas dalam pergelutan menyebabkan beberapa das tembakan dilepaskan. 


Selepas kejadian itu, anggota Polis Zacharius Borom dan Sarjan Timothy Rugg telah diberi cuti bergaji sementara siasatan sedang dijalankan. 


Tetapi Iwanski mempertikaikan pihak polis dan menegaskan dua anggota terbabit tidak diancam secara lisan dan pistol yang dipegang anaknya ketika itu juga sudah dilepaskan dan tiada keperluan untuk menangani kes itu menggunakan kekerasan yang berhubung dengan kematian Johnson. 


Sementara itu, Penolong Ketua Pilis, James Nolette dari Jabatan Polis Fayetteville berkata, dua anggotanya sudah cuba memujuk Johnson lebih dari sejam, untuk meletakkan senjata. 


Polis menyerahkan kes itu kepada Biro Siasatan Negeri Caroline Utara untuk siasatan lanjut. 


Siasatan Biro Siasatan Negeri pula mendedahkan, Sarjan Rugg cuba melucutkan senjata Johnson ketika mangsa pergi minum air sambil memegang pistolnya di bawah lengan dan berlaku beberapa siri pergelutan di antara mereka. 


Sekali lagi, Iwanski menegaskan tiada sebarang pergelutan yang berlaku ketika itu. 


Anggota Polis Borom pula didedahkan melepaskan tembakan dan membunuh Johnson yang didapati cuba melarikan diri dari Sarjan Rugg.


Sumber: Daily Mail



Sumber : CiteMalaya

'Saya belum meninggal dunia!' - Britney Spears bengang ada pihak mahu buat filem biopik mengenai kehidupannya



Penyanyi Britney Spears menolak cadangan pembikinan filem biopik mengenai kehidupannya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di akaun Instagramnya baru-baru ini. 


Dalam kenyataan itu, Britney dilihat tampil emosi ketika mengetahui ada penerbit filem yang menyuarakan hasrat untuk membuat filem yang diadaptasi dari kehidupannya sebagai salah seorang Ratu Pop dunia. 


Britney secara tegas menolak cadangan itu kerana merasakan dirinya belum meninggal dunia sehingga timbulnya cadangan untuk membuat filem biopik mengenai dirinya. 



"Saya dengar ada pihak yang mahu membuat filem tentang kehidupan saya. Saya belum meninggal dunia!" katanya. 


Khabar angin mengenai cadangan pembikinan filem mengenai Britney Spears tersebar selepas pelakon, Millie Bobby Brown, mendedahkan dia akan melakonkan watak penyanyi berkenaan, ketika diwawancara dalam program The Drew Barrymore Show baru-baru ini. 


Dalam kenyataan yang sama, Britney berkata walaupun sebenarnya ada orang yang mahukan dia 'pergi' buat selamanya, namun keluarganya tidak mungkin akan membenarkan pembikinan filem biopik mengenai dirinya. 


"Walaupun sangat jelas mereka lebih suka saya mati, saya rasa keluarga saya tidak akan bersetuju," katanya. 



Sumber: IG Britney Spears



Sumber : CiteMalaya

'Berkempen dengan cara burukkan pihak lain? Tak sedar diri sungguh' - Netizen muak dengan kempen bersifat perkauman dari pemimpin UMNO & PAS



Pemimpin UMNO dan PAS berterusan menyerang rakan sekutu Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dengan pelbagai dakwaan bagi meraih undi pengundi.


Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan kepada media berkata, DAP akan memerintah Malaysia sekiranya PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15). 


"Jika mereka (PH) menang, maka bertambah kuatlah cengkaman DAP dan juga bertambah jauh perjalanan mereka. AKhirnya mereka akan memerintah negara kita.


"Satu undi kepada PH bermakna satu undi kepada DAP. Walaupun yang bertanding itu adalah daripada parti Bersatu, tetapi sebenarnya di belakangnya adalah DAP," katanya semasa berceramah di PDM Telok Kerang. 


Bagi Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pula berterusan mengaitkan PH dengan fahaman komunis serta golongan LGBT. 


"Parti dalam PH ini macam-macam jenis ada. Yang komunis ada, yang anti-tuhan pun ada, yang liberal pun ada, LGBT pun ada, yang bagi rasuah pun ada, yang terima rasuah pun ada. Semua ada dalam parti mereka, ini menjadi satu masalah," katanya. 


Sebelum ini, Lim Kit Siang pernah menafikan dakwaan Hadi kononnya DAP mengamalkan fahaman komunis. 


Tinjauan di media sosial, netizen memberikan pelbagai reaksi berhubung kenyataan dua pemimpin berkenaan yang dianggap cuba melibatkan sentimen perkauman dan ketandusan modal berkempen. 


"Aduh Pak Mael, macam ini ke semangat Keluarga Malaysia yang dilaung-laungkan? Keluarga Malaysia itu hanya untuk keluarga Melayu sahaja ke? So BN ini rasis tak?" kata Nolya. 


"Inilah contoh kempen-kempen pemimpin tua. Asyik menyentuh sentimen perkauman. Agaknya dah tak ada idea lain. Kat tempat aku ni, ada pula calon perempuan. Sejak musim PRU15, rajin datang mengaji di masjid, solat subuh. Kita tengok berapa lama dia bertahan," kata Jejaka. 


"Berkempen dengan cara memburukkan orang lain? Elok sangat kelakuan. Tak sedar diri sungguh," kata Jemah. 


"Bagusnya kempen macam tu ek? Cubalah berkempen dengan cara sihat, tawarkan apa yang korang buat kalau dapat mandat. Bukannya memburukkan pihak-pihak lain. Dahlah offer yang ada tu korang macam renew je tambah sana sini sikit, perintah dah bertahun-tahun lama tetapi ... emm. Lain kali walk the talk dengan slogan Keluarga Malaysia tu dulu," kata Takayama. 


"Yelah, modal kempen dah tak ada. Dulu perjuangkan hudud dan negara Islam. Sekarang, mana pemimpin Pas berani nak sebut," kata AXL Bach. 


"Modal negara Islam, RUU355 hudud dah tak laku. So nak PRU ni, terpaksalah lobai meratib DAP 24/7," kata TripleID. 


Sumber: Forum Cari



Sumber : CiteMalaya

'Suami dari neraka' - Lelaki mengaku bersalah lacurkan isteri & hidup dengan hasil persundalan



Seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga bekerja sebagai pegawai bank, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memperdagangkan isterinya bagi tujuan eksploitasi seks, akhir bulan lalu. 

Tertuduh mengaku bersalah di atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. 


Mengikut pertuduhan, tertuduh memperdagangkan isterinya berusia 35 tahun bagi maksud eksploitasi seks pada 30 Oktober 2022, jam 1.30 petang di satu bilik di sebuah hotel di daerah Kuala Pilah. 


Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Akta Anti-pemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda. 


Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung yang mencadangkan tiada jaminan untuk tertuduh dan jika mahkamah membenarkan jaminan, satu jaminan yang tinggi ditetapkan berserta dengan syarat untuk tidak mengganggu mangsa, selain perlu melapor diri di balai polis terdekat. 


Selain itu, pihak pendakwaan juga meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar identiti mangsa tidak didedahkan di mana-mana media. 


Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan mengeluarkan perintah identiti mangsa tidak didedahkan di media. 


Sementara itu di kamar berlainan, tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan mangsa pada 30 Oktober 2022, kira-kira jam 1.30 tengah hari. 


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan, serta denda. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abu Hassan.


Mahkamah menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes bagi kedua-dua pertuduhan tersebut. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Tuesday, 8 November 2022

Saarani: 'Saya jauh lebih miskin dari Rafizi' - Netizen kritik Saarani setakat sembang kari, tak berani isytihar harta



Pengerusi BN Perak, Saarani Mohamad berkata dirinya jauh lebih miskin dari Rafizi Ramli (PKR) dan Nga Kor Ming (DAP). Dan Saarani juga tiada masalah untuk membuat pengisytiharan harta. 


Tetapi, Saarani tidak berbuat demikian kerana perkara itu tidak diwajibkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap calon yang bertanding dalam PRU15. 


"Tak ada masalah (untuk isytihar). Saya pun tak adalah kaya mana. Jika nak bandingkan saya dengan Rafizi, saya jauh miskin. Nak bandingkan saya dengan Nga Kor Ming, saya jauh miskin," katanya yang juga calon bagi kerusi DUN Kota Tampan di PRU15. 


2 November lalu, Rafizi membuat pengisytiharan hartanya di mana dia memiliki aset bersih berjumlah RM18,851,350 sdan sebahagian besarnya adalah pegangan dalam Invoke. 


Menurut laporan media, kebanyakan calon pembangkang telah membuat pengisytiharan harta pada PRU15 berbanding calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang memberikan alasan bimbang dengan keselamatan keluarga, anak cucu mereka. 


Sementara itu di media sosial, netizen menyindir Saarani hanya sekadar bersembang sahaja dan mencabar calon Kota Tampan itu mengisytiharkan hartanya untuk tatapan umum, bukannya menyerang calon yang telah mengisytiharkan harta.


"BN ni memang tak ada isu nak bawa untuk rakyat. Dia tau nak bagi gula-gula, nak bagi cuti harijadi. Bila bangkit pasal isytihar harta, dia konar serang orang yang isytihar harta," kata Trex. 


"Aamin. Biar betul-betul kau jatuh miskin semiskinnya. Biar kau rasa dunia ini gelap tanpa kuasa dan duit, terseksa dan hinalah kau kemudian," kata Cik Farah. 


"Sembang kari, buatnya tak. Cuba buat dulu, barulah cakap dan barulah boleh percaya," kata Shuk. 





Sumber: Twitter MalaysiaKini

Sumber : CiteMalaya
Powered by Blogger.