Tuesday, 31 January 2023

'Hak saya sebagai owner kedai & pelanggan yang terancam keselamatannya macam mana?' - Pemilik tampil jelaskan mengapa pagar dibina di kaki lima



Pagi tadi warga maya meluahkan rasa puas dan lega apabila pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) bertindak merobohkan struktur pagar yang dibina di kaki lima di hadapan sebuah premis di Taman Bukit Dahlia, kerana pembinaan itu tidak memperolehi kebenaran untuk berbuat demikian. 


Sebelum itu, pemilik premis yang juga usahawan muda meluahkan rasa tidak puas hati apabila gambar kedainya ditularkan di media sosial sejak semalam sehingga dia dikecam secara bertubi-tubi. Tindakan netizen itu amat mengecewakannya kerana ramai yang tidak mengetahui tujuan sebenar dia membina pagar tersebut. 


"Kalau nak viralkan kedai orang, sila periksa dulu. Orang cerdik tidak menuduh orang tanpa usul periksa. Orang cerdik akan siasat dulu sebelum post apa-apa. 


"Keselamatan diri saya yang berniaga di sini, tak perlu difikirkan? Orang yang lalu di depan (kedai) ini pun entah sekali ini saja yang lalu, berbanding dengan saya yang sememangnya berada di sini setiap hari. 


"Otak masing-masing tu fikir panjang sikit. Jangan otak letak di jari, sikit-sikit nak viral. Cukuplah hal ini di antara saya dengan pihak yang berkenaan sedia maklum!


"Masing-masing sibuk nak komen tentang hak orang nak lalu. Ingat saya tak tahu? Memang laluan ini untuk orang lalu, sekarang cerita ini bukan orang yang lalu lalang. Tetapi orang lalu sambil naik motosikal sekali. Sampai nak langgar pintu kaca dan pelanggan yang keluar dari kedai ini. 


"Habis hak saya sebagai owner kedai yang terancam keselamatan diri dan harta benda itu macam mana? Tak ada hak? Ke saya boleh tuntut hak kerugian saya dari orang yang hanya pandai viral dan komen saja?.




"Bila saya tunjuk gambar-gambar bukti ini, masing-masing kata itu masalah awak. Dah tu kalau masalah saya, yang awak semua menyibuk itu kenapa? Awak semua tak ada kehidupan sendiri ke?" katanya. 


MBPG dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya sebelum ini telah menghantar dua notis dan memberi tempoh 14 hari kepada pemilik premis untuk merobohkan struktur binaan kekal itu. Namun, notis itu tidak diendahkan dan kebetulan perkara itu viral di media sosial. 


Ekoran keenggan pemilik premis berbuat demikian, MBPG terpaksa mengambil tindakan dan akan memanggil pemilik premis untuk dijelaskan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. 


Sumber: Facebook



Sumber : CiteMalaya

'Lalu la jalan lain, tak tahu apa² jangan sibuk nak komen' - Owner kedai bengang netizen pertikai tindakannya pasang pagar di laluan kaki lima



Sejak semalam, tular di media sosial gambar bahagian hadapan (kaki lima) sebuah premis dipasang dengan pagar sekali gus menghalang laluan orang awam, mengundang pelbagai reaksi netizen. 


Berdasarkan perkongsian netizen di ruangan komen, premis berkenaan beralamat di Bukit Dahlia, Pasir Gudang, Johor. Sedangkan undang-undang menetapkan mana-mana pemilik premis tidak boleh memasang sebarang binaan di laluan tersebut tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT). 


"Ada minta kebenaran dari PBT tak ni? Kedai makan letak meja makan pun kena ada permit kaki lima. Berniaga di kaki lima pun ada permit. Ini siap buat binaan. Orang viral sebab memang satu kesalahan di bawah akta jalan parit dan bangunan 1974," kata netizen. 




Menyedari gambar premisnya menjadi bahan kecaman netizen, seorang wanita yang dipercayai pemiliknya tampil meluahkan rasa kesalnya. 


"Siapa admin page? Jangan ingat kau boleh saja-saja share apa-apa je eh. Yang kau saje share dengan sengaja tu gambar kedai aku! 


"Suka-suka viralkan kedai orang tanpa usul periksa yer? Lapar perhatian ke? Lapar view ke? Ke sejenis lapar viral? 


"Saje nak mengundang kecaman orang? Saje nak menaikkan follower page ke? Ke buat page untuk kumpulkan orang untuk kecam?" katanya. 




Tindakan pemilik premis itu turut menimbulkan tanda tanya bagaimana sekiranya ada Orang Kurang Upaya (OKU) berkerusi roda mahu menggunakan laluan tersebut. Bagaimanapun, pemiliknya membalas pertanyaan itu dengan kata-kata berikut: 


"Lalu la jalan lain. Bukan tak ada jalan lain lagi kat sini. Petak parking khas orang cacat pun ada. Kalau kau datang sini, ramai je nak tolong dokong kau. Datang je sini, jangan nak sibuk komen sekali dengan orang yang tak tahu apa-apa. 


"Daripada bagi nasihat dan menyibuk dengan hal orang yang sendiri pun tak tahu, baik duduk diam je," katanya. 




Sementara itu, netizen yang lain tetap tidak bersetuju dengan tindakannya memasang pagar berkenaan dan mempersoalkan apakah benar PBT memberi kebenaran untuk memasang pagar tersebut yang jelas bertentangan dengan peraturan.


"Boleh kena saman dengan PBT kerana menutup laluan pejalan kaki. Nak letak rak roti pun sebenarnya tak boleh," kata Lela. 


"Benda ni kalau tengok page owner dia, memang lama dia dah buat. Melampau juga PBT tutup mata," kata Rachel Minda. 


"Tak kisah apa alasan sekali pn. Lesen dan permi hanya dalam kedai itu sahaja. Untuk kaki lima, nak meniaga, nak pacak apa-apa, kena ada permit lain. Tapi pacak banner barang niaga dan barang-barang yang boleh dialihkan sahaja. Sebab kaki lima adalah tempat pejalan kaki orang awam. Ini kalau dilaporkan, memang kena tindakan," kata Mokcik Jarum. 


Sumber: Facebook Arif



Sumber : CiteMalaya

Bibir ditoreh lelaki Myanmar sebab tak puas hati ditegur tendang kon



Bibir seorang lelaki cedera akibat ditoreh oleh penganggur yang tidak berpuas hati perbuatannya menendang kon ditegur oleh mangsa. 


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek lelaki warga Myanmar berusia 32 tahun itu telah ditahan di Jalan Permai pada jam 11.15 pagi semalam. 


Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku pada jam 5 petang Jumaat lalu di mana mangsa menegur perbuatan suspek yang menendang kon di hadapan kedai runcitnya.


Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba mengeluarkan senjata tajam dan melibas ke muka mangsa dan mengenai bahagian bibir. 


Akibat dari kejadian itu, mangsa terpaksa pergi ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis. 


Bertindak di atas laporan itu, polis kemudian menahan suspek dan merampas sebatang besi yang telah diubah suai, yang dipercayai digunakannya dalam kejadian itu. 


Suspek pada awalnya mengakui berbuat demikian kerana disuruh orang lain. Namun, suspek menukar pengakuannya bahawa dia sebenarnya tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa menegurnya kerana menendang kon. 


Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ampang untuk permohonan reman esok dan kes disiasat di bawah Seksen 324 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Monday, 30 January 2023

'Pening dengar lagu k*****, nok lagu nustey please' - Gadis dikecam kerana upload IGStory dengan kapsyen sentuh sensitiviti kaum India



Perkataan 'keling' kebiasaannya merujuk kepada masyarakat India sejak dari dulu lagi. Namun penggunaan perkataan itu pada masa ini tidak lagi bersesuaian dan dianggap tidak hormat dan ada yang menyamakan istilah itu seperti nigger untuk masyarakat kulit hitam di Amerika. 


Pernah sekali bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan perkataan tersebut yang mengundang kecaman banyak pihak. Akibatnya, beliau terpaksa memohon maaf dan menjelaskan dia tidak bermaksud untuk menghina sesiapa.


Sabtu lalu, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyampaikan lagu klasik Tamil berjudul 'Munbe Vaa' pada konsert AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berjaya memukau 60,000 penonton yang hadir sehingga diberi standing ovation sebagai tanda hormat. 


Malangnya sebelum persembahan itu, seorang penonton wanita memuat naik video pada konsert berkenaan dengan kapsyen yang mengundang kecaman netizen. 


"Pening dengar lagu keling. Nok lagu nustey (hindustan) please.. Waiting for Tokti (Siti Nurhaliza) ni.." tulisnya. 



Akibatnya, ramai netizen mengecam tindakannya menggunakan perkataan tersebut yang bukan sahaja boleh menyinggung perasaan kaum India, malah boleh menyebabkan berlakunya masalah ketegangan kaum. 


"Siti Nurhaliza berusaha untuk mempertahankan perpaduan di kalangan kita dengan mempersembahkan lagu Tamil. Datang pula perempuan ini yang cuba merosakkannya. Betul ke dia ni peminat Siti Nurhaliza?" kata Kesavan. 


"DS Siti collab dengan AR Rahman supaya orang sedar bahawa tiada jurang kaum. Penat je Tokti hafal lagu yang bukan bahasa dia. Tetapi orang macam ni masih duduk di bawah tempurung," kata Jones. 


Menyedari ramai yang mengecamnya, wanita berkenaan tampil memohon maaf dan memberi penjelasan mengenai apa sebenarnya yang berlaku. 


"Ianya adalah dari kesilapan dan kekurangan serta kekhilafan saya sendiri kerana tidak peka dan  teliti dengan perkataan terbabit. 


"Tiada niat walau sebesar zarah untuk menghina mana-mana pihak terutama dari kawan-kawan berbangsa India. Mungkin kerana terlalu teruja kerana itulah kali pertama sis hadir dalam sebuah konsert gergasi. Kadang-kadang bila perasaan menguasai diri, terus lupa akal yang sepatutnya mengawal kata-kata dan tulisan. 




"Sekali lagi saya memohon maaf pada seluruh kawan-kawan berbangsa India," katanya dalam kenyataan permohonan maaf yang dimuat naik di Instagram Story. 


Sumber: Twitter Kesavan



Sumber : CiteMalaya

Orang kurang siuman mengamuk, sempat tendang tukang masak pusat tahfiz sebelum maut dipukul sekumpulan lelaki



Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental dilaporkan maut dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di Masjid Tok Guru Pulau Melaka, Kota Bharu, pada jam 7 malam tadi.


Lapor Harian Metro, lelaki berusia 20-an itu terdahulu dikatakan mengamuk di masjid berkenaan sebelum bertindak menendang seorang wanita berusia 50-an yang lalu di perkarangan masjid tersebut. 


Menurut seorang saksi yang dikenali sebagai Azam berkata, mangsa pada awalnya dilihat mengamuk di seketiar surau Pasar Kota Jembal, ketika waktu Zohor sebelum datang ke masjid berkenaan.


"Mangsa dilihat mengamuk beberapa jam sebelum kejadian berlaku, namun tiada yang membuat laporan polis kerana tidak menyangka dia akan mencederakan orang awam," katanya.  


Mangsa sempat menunaikan solat Asar bersendirian sebelum keluar dan tiba-tiba menendang wanita yang juga tukang masak sebuah sekolah tahfiz berdekatan. 


Sekumpulan lelaki yang ternampak kejadian itu segera datang membantu dan berlaku pergelutan menyebabkan mangsa dipukul sehingga tidak sedarkan diri. 


Ekoran kejadian itu, sekumpulan lelaki berkenaan telah ditahan polis untuk membantu siasatan. 


Azam juga mendapat maklumat dari saksi lain bahawa mangsa berasal dari Pasir Puteh, menunaikan solat Asar dalam keadaan menangis sebelum mengamuk secara tiba-tiba di perkarangan masjid. 


"Mangsa baru kali pertama dilihat berada di kawasan ini dna tidak dikenali oleh jemaah atau penduduk setempat. Dia juga berpakaian seperti orang biasa, namun perlakuannya yang menjerit dan menengking orang ramai menunjukkannya mempunyai masalah mental," katanya. 


Sementara itu, wanita yang dipukul oleh mangsa, Wan Fadhilah Wan Abdullah berkata, dia bernasib baik kerana ada yang datang membantu. Jika tidak, dia berkemungkin sudah mati ditendang dan disepak oleh lelaki terbabit. 


Menurut Wan Fadhilah, dia yang menunggang motosikal untuk pulang selepas selesai memasak di kantin sebuah tahfiz berdekata, terkejut apabila didatangi oleh lelaki terbabit yang kemudian menendangnya sehingga terjatuh dari motosikal. 


"Badan dan kepala saya disepak bertubi-tubi sebelum saya diselamatkan oleh anak-anak tahfiz yang berada di lokasi kejadian. Saya hanya terbaring lemah. 


"Awalnya saya ingatkan dia salah seorang pelajar tahfiz yang sedang berlatih silat kerana dia dilihat melakukan beberapa pergerakan seolah-olah seni mempertahankan diri. 


"Semasa saya bersiap sedia menaiki motosikal, ada anak tahfiz yang menjerit supaya saya menjauhkan diri kerana terdapat orang kurang siuman. Namun belum sempat saya beredar, saya sudah diserang," katanya. 


Akibat dari kejadian itu, Wan Fadhilah mengalami sakit di seluruh badan dan kesan lebam di beberapa bahagian. Wan Fadhilah tidak menyangka akan menjadi mangsa orang kurang siuman dan bersyukur sempat diselamatkan oleh anak-anak tahfiz. 


Sumber: Harian Metro




Sumber : CiteMalaya

Sunday, 29 January 2023

(Video) 'Kedua-dua anak saya ditidurkan' - Kanak-kanak, bayi parah dirempuh pemandu mabuk



Seorang kanak-kanak berusia 6 tahun dan bayi berusia setahun lima bulan parah selepas dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki mabuk dalam kejadian di Kilometer 57, Jalan Batu Pahat - Mersing, lewat petang kelmarin. 


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh berkata, mangsa Nur Hana Humaira (1) parah di bahagian kepala, mengalami pendarahan otak serta cedera di tulang pinggul. Manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira (6), juga mengalami kecederaan teruk di kepala, pendarahan di otak dan bengkak tulang rahang. 


Ibu bapa mangsa turut mengalami kecederaan dan kesemua mangsa dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom. 


Siasatan awal polis mendapati, suspek berusia 29 tahun yang memandu kereta Nissan Navara dalam perjalanan menuju ke Mersing. Apabila tiba di tempat kejadian, suspek terlanggar bahagian belakang kereta mangsa, Toyota Vios, lalu hilang kawalan dan melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri. 


Ekoran kejadian itu, suspek yang dipercayai mabuk itu telah ditahan dan sampel darahnya juga telah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan toksikologi. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut. 





Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Yusof Othman, 34, meluahkan rasa terkilannya berhubung kejadian yang menimpa dua anak mereka. 


"Kedua-dua anak saya ditidurkan dan perlu menjalani ujian imbasan. Jika ada pendarahan teruk pada otak, mereka akan jalani pembedahan. 


"Saya cukup terkilan kerana kemalangan begini (berpunca dari pemandu mabuk) sudah kerap berlaku, pesalah sepatutnya dihukum setimpal dengan perbuatan mereka. 




"Ketika tiba di lokasi kejadian, saya sedang berbual bersama isteri dan anak-anak. Tiba-tiba dikejutkan dengan pelanggaran dan kenderaan saya terlanggar pokok lalu berpusing dan selepas itu pandangan saya kabur. 


"Saya lihat dua anak saya didukung orang ramai, nampak tak nampak kelibat isteri ketika itu. Sebaik sedar daripada pengsan, saya sudah berada di atas katil hospital," katanya. 


Setakat yang dilaporkan, Mohd Yusof masih belum dapat bertemu dengan anak-anaknya. Beliau berharap isteri dan anak-anaknya berada dalam keadaan baik dan bersyukur mereka masih dipanjangkan nyawa. 


Bapa kepada dua anak itu turut berharap semua pihak mengambil pengajaran daripada kejadian itu yang berpunca dari pemandu mabuk. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Friday, 27 January 2023

'Balqis gigit Bella selepas dia pakai pencuci mukanya' - Siti Bainun nafi dera Bella, sanggup berhabis duit beli ubat untuk rawat Bella



Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, menjelaskan kesan gigitan pada perut Bella adalah berpunca daripada gigitan bekas penghuni Rumah Bonda yang dikenali sebagai Balqis. 


Ketika dalam prosiding bela dirinya pada hari kedua di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Siti Bainun mendedahkan dua remaja berkenaan bergaduh ekoran Bella menggunakan pencuci muka milik Balqis. 


"Dua-dua sebenarnya gigit-menggiti selepas Bella pakai pencuci muka Balqis. Selepas pakai (krim), (merek) berlari (dan) berkejar satu rumah sebelum masing-masing gigit satu sama lain. 


"Saya letak minyak gamat dan krim, malah saya marah dua-dua sama macam ibu bapa lain tegur anak-anak apabila bergaduh," katanya. 


Kesan melecur pada badan Bella pula berlaku apabila dua remaja itu bergaduh pada Mei 2021 menyebabkan termos berisi air panas tersimbah ke arah Bella. 


Siti Bainun menegaskan dia tidak mendera Bella dan jika benar dia berniat untuk mendera, tidak mungkin dia akan cuba menyembuhkan remaja itu. 


"Saya tidak mendera Bella. Jika benar saya berniat untuk mencederakan Bella, tidak mungkin saya cuba menyembuhkan Bella, bertanya kepada ahli farmasi ubat-ubatan yang sesuai untuk merawatnya dan menghabiskan wang ringgit bagi membeli segala keperluan dan ubat-ubatan terbaik untuknya. 


"Saya pun tak faham, kenapa Bella dan Balqis ini tidak boleh sesuaikan diri," katanya yang turut menjelaskan isu pergaduhan itu diakui oleh Bella sendiri ketika prosiding pendakwaan sebelum ini. 


Dalam pada itu juga, Siti Bainun berkata, hasil pemeriksaan doktor (saksi pendakwaan kedua) di bahagian kecemasan dan trauma, Dr S Meenambigai pada paru-paru, abdomen dan kaki Bella juga menunjukkan keputusan normal. 


"Bella ini memang sangat-sangat sihat. Dia tidak ada sakit asma atau apa-apa sakit. Dapatan ini menunjukkan saya tidak pernah memijak perut, menendang perut, menyuruh berdiri lama dan apa jua jenis penderaan yang direka saksi tidak pernah berlaku. 


"Malah kaki Bella dilaporkan tidak bengkak, sedangkan saya dikatakan setiap hari mengarahkan dia berdiri terlalu lama," katanya. 


Semasa prosiding pendakwaan pada 8 April lalu, saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 20, mendakwa Siti Bainun telah mengarahkannya untuk menggigit Bella kerana Bella tidak mengikuti arahannya untuk berdiri di bahagian dobi kediaman mereka. 


Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

KPDN cadang pengusaha kedai makan perkenalkan Menu Rahmah bawah RM5 untuk bantu golongan memerlukan



Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub mencadangkan pengusaha kedai makan memperkenalkan Menu Rahmah dengan harga bawah RM5 bagi membantu golongan yang memerlukan. 


Menu Rahmah itu terdiri daripada nasi, ayam atau ikan dan sayur itu dijangka akan mendapat persetujuan daripada beberapa persatuan kedai makanan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat. 


Beliau berkata, semua persatuan sudah bersedia untuk mewujudkan menu tersebut yang diberi nama sebagai Menu Rahmah yang sedikit sebanyak dapat membantu rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi. 


Contoh nasi bajet yang banyak dijual di kedai makan


Salahuddin sebelum itu melakukan lawatan mengejut di beberapa kedai makan di Bandar Baru Bangi dan mendapati semua premis yang dikunjungi tidak mempamerkan harga makanan. 


Tiada sebarang saman/kompaun dikenakan, sebaliknya pemilik premis hanya diberi nasihat atau panduan sebagai permulaan. 


"Kita tidak mahu mengambil pendekatan undang-undang. Kita elak daripada menyaman, tetapi saya berharap premis-premis ini dapat mematuhi peraturan," katanya. 


Sumber: Astro Awani



Sumber : CiteMalaya

Thursday, 26 January 2023

'Bila nak mansuhkan PTPTN? Kami anak muda sangat terbeban!' - Pengadu tuntut PM tunaikan janji tetapi...



Selasa lalu, seorang pengguna Twitter menuntut kerajaan baharu menunaikan janji yang pernah dilaungkan suatu masa dahulu untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN). 


Menurut pengadu, bebanan kos sara hidup pada masa ini yang terlalu tinggi menyebabkan dia sukar untuk melunaskan pinjaman tersebut dan menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji. 


"Yang kami kisah, bila PTPTN nak dimansuhkan? Sangat membebankan anak muda. Dengan gaji yang kecil dan kos sara hidup yang tinggi, terpaksa nak bayar PTPTN lagi. 


"Mana janji-janji PM dahulu yang selalu melaungkan akan memansuhkan PTPTN yang tajaan pendidikan sepatutnya menjadi hak rakyat Malaysia," tulisnya pada ciapan tersebut. 




Gelanggang sudah dibuka, pantun dijual secara terbuka, tanpa menunggu lama netizen mengambil peluang untuk membidas ciapan tersebut. 


"PM mana tu? Itu kalau ada, manifesto bila tu? Sekarang ni lain. Lagi pula kalau dah pinjam, pandai-pandailah bayar walaupun ambil masa lama," kata Keira.


"Nama pun pinjaman. Kalau tak nak bayar pakai  gaji, bayar pakai duit EPF. KAlau tak nak guna PTPTN, kena cari biasiswa. Kalau tak nak bayar PTPTN, usahakan untuk dapatkan kelulusan kelas pertama," kata Din Mesjid. 


"Belajar mana dik? Buat hutang tak payah bayar hutang? Kau sign kertas loan bermuka-muka surat tu tak baca ke? Tak nak bayar boleh, make sure kau dapat dean list tiap sem. Kalau tak mampu, haa bayarlah. Sebab aku DL dan PTPTN aku free. So aku cakap ler macam ni. Kau buat loan dengan MARA pun sama," kata Saladion. 


"Hutang dengan kawan, mak bapak dan adik beradik pun kena bayar balik. Inikan pula berhutang dengan kerajaan. KAlau diorang tau dulu kau ni jenis manusia tak reti bayar balik hutang, baik dia tak beri loan kat kau. Baik dia beri PTPTN pada pelajar yang confirm akan belajar betul-betul dan bayar balik," kata Haruka.


Selain itu, netizen tidak menolak kemungkinan bahawa pengadu tidak meneliti kontrak yang ditetapkan sebelum menandatangani perjanjian membuat pinjaman PTPTN. Dan hutang tetap perlu dibayar dan tidak mungkin akan dimansuhkan dengan sewenang-wenangnya.


Tak kira apa sekali pun alasan, menjadi kewajipan bagi setiap orang untuk melangsaikan hutang masing-masing. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kemudaratan pada diri sendiri atau ahli keluarga lain di kemudian hari.



Sumber : CiteMalaya

'Saya dikecam, dihina, diugut bunuh & hilang perniagaan sejak kes Bella tular' - Siti Bainun



Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, yang berdepan pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur bahawa beliau telah dikecam dan diugut bunuh sejak kes itu tular sehingga kini.


Siti Bainun, 31, berkata beliau turut dihina dan Rumah Bonda juga telah ditutup selain hilang pekerjaan kerana perniagaan makanan yang diusahakannya secara dalam talian telah dipulaukan.


"Tapi, nasi sudah menjadi bubur dan saya pun sudah dipanggil untuk membela diri atas kesalahan yang saya tidak jelas serta dicemuh disebabkan tindakan Zurianty Sudin (rakan Siti Bainun) menyebarkan video Bella yang disunting. 


"Kedua-dua pegawai penyiasat sendiri tidak mendengar pun dengan betul video yang dirakamkan oleh Zurianty. Saya tidak faham kenapa pegawai penyiasat boleh kata tidak ada keperluan untuk tengok dan dengar video yang jadi asas penyiasatan mereka. 


"Kalau mereka mendengar dan membuat transkrip, mesti perbicaraan dan penyiasatan serta pendakwaan ini tidak memprejudiskan saya," katanya ketika membacakan pernyataan saksi semasa hari pertama membela diri di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.


Siti Bainun berkata beliau telah hilang segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas ke atasnya selain takut keluar rumah kerana ugutan yang diterima. 


"Saya dapatkan rawatan di hospital pun ada jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya," katanya.


Selain itu, Siti Bainun gagal mengawal emosi dan menangis apabila menceritakan mengenai hubungan dengan rakan baiknya, Zurianty, yang juga saksi pertama pendakwaan.


Menurut Siti Bainun, pada 2017, Zurianty tinggal di kondominumnya di Wangsa Maju bersama dua orang anaknya selepas bercerai dengan suami kedua kerana tiada tempat tinggal sebelum menyewa dalam kondominium sama kerana anak-anaknya tidak mahu tinggal jauh daripadanya (Siti Bainun).


"Saya kasihan pada dia dan saya sangat sayang anak-anak Zurianty. Sebab itu saya tidak kisah dia menumpang di rumah saya," katanya dalam nada sebak.


Bagaimanapun, Siti Bainun berkata jika Zurianty berniat untuk menyelamatkan Bella, tidak ada keperluan untuk beliau menggunakan sentimen anak Orang Kurang Upaya didera bagi mendapatkan perhatian masyarakat membantu aktivis Mona Din membangkitkan kemarahan netizen untuk membencinya sedangkan Zurianty tahu tertuduh akan dihina dan dicemuh oleh seluruh rakyat Malaysia yang tidak pasti akan kebenarannya.


"Selepas Bella diserahkan semula ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), gah di Facebook Zurianty yang kononnya kesiankan Bella tetapi sebenarnya dia tidak pernah nak ambil Bella jadi anak angkat hanya sekadar membuat hantaran sahaja di Facebook untuk Bella.


“Sebaliknya, selepas kes ini dia sibuk kononnya hendak menguruskan anak angkat JKM yang diletakkan di bawah nama saya yang dikenali sebagai Jane untuk dijadikan sebagai anak angkatnya sendiri dan bukan Bella," katanya.


Sementara itu, mengenai kecederaan Bella, Siti Bainun berkata beliau difahamkan bahawa Balqis, ketika itu penghuni Rumah Bonda, telah bergaduh dengan Bella menyebabkan mereka berlari dari ruang tamu ke dapur ke bahagian mencuci pakaian, di mana termos diletakkan.


"Yasmin (penghuni Rumah Bonda) turut masuk campur dan terlanggar almari yang menempatkan termos, menyebabkan termos jatuh ke arah Bella dan air panas dari termos itu tumpah pada Bella dan almari," katanya yang turut memaklumkan semasa kejadian itu berlaku, beliau tiada di rumah berkenaan.


Menurut Siti Bainun, beliau juga telah membawa Bella ke klinik bagi mendapatkan rawatan dan tiada sebarang kecederaan baru kerana itulah satu-satunya kejadian yang berlaku.


Pada 24 Nov tahun lepas, Izralizam memerintahkan Siti Bainun membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.


Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.


Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Perbicaraan bersambung esok.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

'Kecewa dapat burger berkulat, ayam goreng mentah' - Restoran makanan segera dikompaun RM1,000



Baru-baru ini seorang wanita meluahkan rasa kecewanya terhadap sebuah restoran makanan segera yang didakwa menjual roti burger yang sudah berkulat dan ayam goreng mentah kepadanya pada Selasa lalu. 


"Berasa nak makan ayam (goreng) tapi ini yang saya dapat dengan harga dibayar. Roti keras kejung dan berkulat. Ayam (goreng) pula tidak masak, berbau macam (stok) lama. Kecewa rasanya. 


"Biasanya saya baca orang kata restoran ini teruk, tetapi kali ini terjadi pada diri sendiri," kata pengadu yang dikenali sebagai Dhia Fadhila menerusi hantaran di Facebook. 






Susulan dakwaan itu tular di media sosial, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap restoran berkenaan kerana gagal memastikan kebersihan premis berada pada tahap yang ditetapkan di bawah Akta 35 (1)(B) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. 


Serbuan yang dijalankan oleh penguatkuasa pada jam 4 petang Rabu mendapati kebersihan tandas dan dapur juga kurang memuaskan. Selain itu, bekas tempat meletak sos tidak diselenggara dengan baik, sistem perangkap minyak tidak diselenggara dengan betul, serta longkang di belakang premis juga kotor. 


Pihak pengurusan restoran terbabit diarahkan untuk meningkatkan kebersihan premis dalam tempoh 14 hari selaras Seksyen 10 Akta Makanan 1983. 


Sumber: Kosmo Online



Sumber : CiteMalaya

Wednesday, 25 January 2023

(Video) 'Sedap je pukul anak orang, geram tengok budak kecik tu' - Netizen



Seorang kanak-kanak lelaki dibelasah oleh tiga kenalannya di sebuah taman permainan mengundang pelbagai reaksi netizen semenjak video itu dimuat naik pada Isnin lalu. 


Video berdurasi hampir seminit itu menunjukkan mangsa yang sedang duduk di tempat pemijak salah satu alat senaman secara tiba-tiba diserang oleh tiga rakannya bertubi-tubi tanpa sebarang rasa belas kasihan sehingga terjatuh. 


Mangsa disepak di bahagian muka dan diterajang sehingga terjatuh. Di kesempatan itu, kesemua suspek terus membelasah mangsa terutamanya di bahagian muka dan kepala. 


Menurut sumber, kejadian itu berlaku di Singapura dan tidak diketahui sama ada tiga suspek terbabit telah dikenakan tindakan. Namun, netizen mengecam perbuatan mereka yang bertindak di luar batasan. 


"Tu kalau adik aku yang kena buli, bukan budak-budak tu je aku kasi hentam. Mak bapak dia pun aku sound! Dasar tak reti jaga anak! Nasib baik bukan berlaku di Malaysia," kata Ariff. 


"Hmm tak sukanya tengok pembuli. Allahuakbar. Aku rasa macam nak tenyeh-tenyeh je budak baju biru tu kat jalan tar. Tu sebab terikut-ikut dengan budak-budak besar la. Ya Allah, jauhkanlah anak-anakku dan keturunanku dari semua ini," kata Bee. 


"Tangkap dan sumbat ke juvana, habis cerita. Budak-budak zaman sekarang tak kira darjah berapa memang perangai macam celaka. Dahlah hisap rokok dan vape lagi," kata Nadzmi. 


Sumber: @SgFollowSall



Sumber : CiteMalaya

'Selepas penat bersiar-siar, mereka check in hotel...' - Pasangan kekasih (pelajar IPTS) ditahan JHEAT kerana disyaki berkhalwat

Foto ihsan JHEAT | Harian Metro


Sepasang kekasih yang disyaki berkhalwat di sebuah hotel dtahan oleh penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Sabtu lalu. 


Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Khairul Azizi Idris berkata, kedua-dua pelajar IPTS yang berasal dari Terengganu itu ditahan semasa pihaknya menjalankan operasi pencegahan maksiat sempena perayaan Tahun Baru Cina di sebuah hotel di bandaraya berkenaan, pada jam 1.30 pagi. 


Ketika disoal siasat, pasangan berkenaan memberi alasan menyewa bilik hotel untuk berehat selepas penat bersiar-siar di bandaraya itu. 


Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 31, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001 Terenganu kerana berkhalwat. 


Dalam hotel yang sama, penguatkuasa JHEAT turut menahan sepasang lagi kekasih berusia lingkungan 20-an yang berasal dari luar negeri, di bilik berasingan. Ketika diserbu, pasangan itu sedang tidur bersama dalam bilik tersebut.


Semasa disoal siasat, pasangan itu mengaku datang ke negeri itu bersempena cuti perayaan. Mereka ditahan mengikut seksyen yang sama kerana disyaki berkhalwat. 


Di bawah seksyen tersebut, pasangan terbabit bolehdikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 


Justeru, JHEAT mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti maksiat dan pihaknya akan terus menjalankan operasi pencegahan dari masa ke semasa bagi membanteras aktiviti tidak bermoral itu. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

'Mop pun masuk dalam microwave, pengotor oi!' - Tular gambar pekerja 7E bersihkan microwave guna mop, 7E tampil mohon maaf



Ahad lalu, tular di media sosial gambar seorang pekerja sebuah kedai serbaneka memasukkan mop ke dalam ketuhar yang disediakan dalam premis, mengundang rasa loya dan jijik netizen. 


Menurut pengadu yang dikenali sebagai Ashraf Chak berkata, pekerja terbabit yang dipercayai warga asing itu berbuat demikian untuk membersihkan ketuhar yang sempat dirakam oleh pengadu sebelum dimuat naik ke Twitter. 


"Hello @7elevenmalaysia, tolong la brief staff korang untuk buat pembersihan dengan cara yang betul. Mop lantai pun masuk dalam microwave. Pengotor oi!," kata pengadu. 



Tanpa menunggu lama, perkongsian gambar-gambar itu dengan pantas menular dan mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk bekas-bekas pekerja kedai serbaneka berkenaan. 


"Selama aku hidup, ini kali pertama tengok orang mop dalam microwave!" kata H. 


"OMG! Meremang bulu tengkuk tengok dia masukkan mop dalam microwave," kata Safri. 


"Sebagai ex staff 7E, untuk lap microwave ada kain lain yang disediakan tau. Kau dah kenapa bai? Nak mudahkan kerja, kau bantai semua kau mop ek? Aduh la, geram aku tengok," kata Mae. 


"Sebagai ex assistant manager 7E, kita tak boleh nak salahkan manager untuk brief semua tu. Actually 7E dah ada SOP kebersihan, semua dha cukup lengkap. So that staff yang malas! Diorang dah training dah dan manager ada hak untuk bagi warning letter!" kata Kemaja. 


7 ELEVEN TAMPIL MOHON MAAF, TELAH AMBIL TINDAKAN



Sehari selepas penularan ciapan itu tular, 7 Eleven Malaysia (7E) tampil memohon maaf di atas kejadian yang berlaku dan telah mengambil tindakan terhadap pekerja terbabit. 


"Kami di 7-Eleven ingin memohon maaf atas tindakan salah seorang pekerja kami. Ini melanggar protokol sanitasi premis 7E. Kami memberi jaminan kepada anda bahawa tindakan segera telah diambil atas staf tersebut untuk memastikan perkara ini tidak berulang. Terima kasih," kata kenyataan 7E.


Dalam kenyataan terkini yang baru dimuat naik dua jam yang lalu, 7E menegaskan pihaknya telah menggantung pekerja terbabit. Ketuhar yang telah tercemar itu turut digantikan dengan ketuhar baharu. 



Sumber: Twitter Ashraf Chak, 7 Eleven Malaysia



Sumber : CiteMalaya

Tuesday, 24 January 2023

'Dia ingat penguat kuasa bengap macam dia?' - Lelaki kantoi berkhalwat selepas gagal buktikan wanita dalam bilik adalah adiknya



Ahad lalu, sepasang kekasih berusia 29 dan 28 tahun dicekup oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada jam 1.55 pagi kerana disyaki berkhalwat  di sebuah hotel bajet di Klebang. 


Semasa ditahan, lelaki terbabit sanggup bertegang urat dan bersungguh-sungguh mengatakan kepada pegawai penguat kuasa JAIM bahawa wanita itu adalah adik kandungnya.


Sebelum itu, pegawai penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan meminta pasangan berkenaan memberi kerjasama untuk diperiksa. Namun, mereka terpaksa menunggu lebih kurang 10 minit untuk pasangan berkenaan membuka pintu bilik.


"Ketika diminta menjelaskan situasi berdua-duaan dengan seorang wanita, pemuda itu berkali-kali mendakwa pasangannya itu adalah adiknya. Namun gagal memberikan sebarang bukti atau dokumen berkaitan.


"Selepas hampir lima minit menjelaskan perkara itu, mereka akhirnya mengaku bukan adik beradik dan bermalam di situ untuk berehat," kata Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat. 


Pasangan itu kemudian ditahan untuk membantu siasatna mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkurung hingga mendatangkan syak dengan seorang perempuan bukan muhrim.


Jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali. 


Pasangan terbabit adalah antara 10 pasangan kekasih yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena Tahun Baharu Cina di kawasan Simpang Ampat dan Rembia, Alor Gajah. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Penjenayah tertidur (mabuk) di ruang tamu selepas minum arak kepunyaan pemilik rumah



Seorang penjenayah terlena di rumah yang dicerobohi dipercayai gara-gara mabuk selepas minum minuman keras milik penghuni rumah berkenaan dalam satu kejadian di Taman Tanjung, Bahau, Jempol, semalam.


Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kehadiran lelaki berusia 41 tahun itu disedari penghuni rumah berusia 65 tahun pada 6.30 pagi yang kemudian membuat laporan polis.


“Ketika kejadian pengadu tinggal bersama isteri dan empat anak mereka di rumah teres satu tingkat. Semasa masuk ke dalam rumah, suspek dipercayai minum minuman keras milik pengadu sehingga mabuk dan tertidur.


“Sebaik sahaja pengadu bangun tidur awal pagi, dia menemukan suspek terbaring di dalam rumah tidak sedarkan diri. Pengadu lihat terdapat beg kertas mengandungi dua pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet berada bersebelahan suspek,” katanya dalam Kenyataan hari ini.


Hoo berkata lelaki tersebut dipercayai menceroboh masuk rumah berkenaan dengan memanjat pagar dan masuk melalui pintu belakang yang tidak berkunci


Beliau berkata tiada rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai 15 rekod dadah, enam rekod jenayah dan berstatus orang yang dikehendaki polis.


“Suspek direman empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut menasihatkan penduduk setempat agar lebih berhati-hati dengan sentiasa mengunci rumah bagi keselamatan keluarga.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

Friday, 20 January 2023

Wanita warga emas maut selepas disamun awal pagi tadi

Foto: Redzuan News MPB


Seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di rumahnya di Kampung Pulai Darat, di sini awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, polis menemukan mangsa Misah Md Amin, 91, yang tinggal seorang diri dalam keadaan terbaring di bahagian dapur.


Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin Asisten Komisioner Mohd Fadzli Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada jiran mangsa kira-kira 3.54 pagi.


"Warga emas berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Jasin bagi proses bedah siasat.


"Punca kematian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam, polis berjaya menahan suspek warga tempatan berusia 20 tahun di kawasan berhampiran kira-kira enam jam kemudian.


Katanya, suspek yang juga seorang penganggur mempunyai tiga rekod lampau berhubung kes rompak serta samun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



Sumber : CiteMalaya

(Video) Pasangan pengantin dikritik sengaja melambatkan majlis, rupa-rupanya...



Setiap individu mempunyai pengalaman yang berbeza ketika majlis akad nikah berlangsung. Ada pihak lelaki yang tersasul menyebut nama, hantaran, gementar dan sebagainya. Perasaan berdebar-debar dan gemuruh pula merupakan perkara biasa yang dihadapi oleh semua pengantin baru terutamanya bila melafazkan akad nikah dan juga sesi membatalkan air sembahyang.


Terdahulu, beberapa video tular memaparkan beberapa orang selebriti dan juga pasangan-pasangan yang lain sebelum ini kelihatan malu ketika sesi membatalkan air sembahyang. Ada yang memuji sikap sedemikian yang dilihat pandai menjaga adab dan batas. Tetapi ada juga yang mengkritik kerana melambatkan sesi majlis. Tidak kurang juga, ada yang mengatakan sepatutnya sesi demikian dilakukan di luar majlis sahaja.


Terbaharu, tular pula satu rakaman video yang memaparkan pengantin lelaki yang dilihat terketar-ketar ketika mahu menyarungkan cincin kepada pengantin perempuan. Pengantin lelaki mengambil masa yang lama untuk berbuat demikian. Berbeza dengan pengantin perempuan, pengantin perempuan kelihatan tenang sahaja.


Melihat kepada situasi itu, seorang wanita tampil membantu bagi memudahkan serta mempercepat sesi itu.


Rakaman video sesi berkenaan bagaimanapun dikritik oleh netizen. Mereka menuduh pengantin lelaki jenis yang mengada dan sengaja melambatkan sesi itu yang sepatutnya boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. Sebahagian netizen juga mengkritik pengantin lelaki itu yang cukup mudah apabila mengucup dahi isterinya sebanyak dua kali berbanding sesi menyarung cincin.


Namun ada sumber yang memaklumkan, pengantin perempuan merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), manakala pengantin lelaki pula merupakan dalam kategori yang sama.


"10 saat pertama, aku dah rasa cringe (meluat) gila. Aku paused video, scroll replies. Ada yang kata, mungkin pasangan OKU. Semoga hubungan pasangan ini terus kekal dirahmatiNya," kata Mag.


"Tak baik macam tu. Aku rasa pengantin perempuan macam orang kelainan upaya je. Mungkin kedua-duanya OKU, so normal la kot diorang takut sebab berbeza dengan benda harian diorang," kata Bella Hadidn’t.


Walau apa pun, tidak sepatutnya majlis berbahagia sebegini dikritik, sebaliknya doa-doa yang baik perlu disertakan kepada pasangan yang baru mendirikan rumahtangga.


Sumber: Bella Hadidn’t, Mag



Sumber : CiteMalaya

Thursday, 19 January 2023

Warga emas kantoi layan dadah, beri alasan kononnya nak pergi beli roti canai untuk elak ditahan

FOTO Izad Thaqif Hassan


Demi melepaskan diri daripada ditahan, seorang lelaki warga emas sanggup memberi alasan kononnya dia datang ladang untuk membeli roti canai, bagi mengaburi pihak berkuasa yang melakukan serbuan di Ladang Kelapa Sawit Kampung Batu Lima, kelmarin. 


Warga emas terbabit terdahulu dilihat sedang menunggang motosikal menuju ke lokasi yang menjadi 'port' penagih dadah untuk mendapatkan dadah bagi melepaskan gian. 


Dia bagaimanapun telah ditahan oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang sudah mengepung kawasan itu bermula jam 8 pagi untuk melaksanakan Op Tapis Khas. 


Ketika disoal siasat, warga emas itu memberi alasan dia kononnya dalam perjalanan untuk membeli roti canai. Namun alasannya itu tidak masuk akal kerana lokasi ladang terletak jauh dari jalan utama dan kedai. 


Cubaannya untuk mengkelentong anggota polis gagal menyebabkan dia ditahan serta-merta untuk tindakan lanjut. 


Penahanan lelaki itu diketahui oleh ahli keluarga yang kemudian datang bertemu dengannya. Isteri dan anak perempuannya sempat berpelukan, menangis sambil bermaafan sebelum dibawa ke lokap IPD menaiki trak polis. Dia juga turut berpesan kepada mereka agar jangan bersedih. 


Selain warga emas berkenaan, ada juga penagih lain yang memberi alasan mahu mencari isteri, rakan, termasuk mendakwa mereka kononnya tersesat jalan. Malah, ada seorang penagih yang ditahan memberitahu dia sengaja datang ke lokasi itu untuk memantau serta menasihati rakannya untuk menjauhi dan tidak menghisap dadah. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

(Video) Kanak-kanak ditemui terperangkap dalam kontena selama 5 hari



Tular di media sosial video penemuan seorang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Fahim, dalam sebuah kontena yang baru tiba di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Rabu lalu. 


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja operasi perkapalan yang memaklumkan penemuan kanak-kanak berkenaan. 


Berdasarkan laporan, pengadu yang ketika itu sedang menguruskan kapal masuk ke Dermaga Perlabuhan Barat dan memeriksa sebuah kontena kosong, terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena sebelum mendapati seorang kanak-kanak berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di dalamnya. 


Tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang ditemui dengan mangsa dan dia dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan. 


Siasatan lanjut mendapati, kontena tersebut dibawa oleh sebuah kapal MV Integra yang membawa kontena-kontena mengandungi muatan barangan am itu bertolak dari Chittagong, Bangladesh pada 12 Januari lalu dan tiba di Pelabuhan Barat pada 17 Januari. 




Mangsa dipercayai masuk secara haram dalam kontena ketika kapal berkenaan berlabuh di Chittangong. 


Namun, mangsa pula menjelaskan dia sebelum itu sedang bermain bersama rakan-rakannya di Chittagong dan masuk ke dalam kontena yang kemudian terkunci menyebabkan dia terperangkap dalam kontena itu selama enam hari sebelum ditemui pengadu. 


Selepas selesai mendapatkan rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil, mangsa telah dihantar pulang ke negara asal semalam, menggunakan kapal yang sama. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

Wednesday, 18 January 2023

(Video) 'Baik tak payah buat highway, cukup celaka lah!' - Lelaki bengang 3 safety vehicle tutup laluan lebuhraya



Tular di media sosial video seorang lelaki meluahkan rasa bengangnya kerana tersangkut di lebuhraya disebabkan tiga lorong lebuhraya berkenaan ditutup buat sementara oleh tiga 'safety vehicle' pihak konsesi lebuhraya. 


Difahamkan, video itu dirakam sekitar jam 11.56 pagi dan lelaki berkenaan dalam perjalanan ke hospital untuk menziarahi orang sakit. 


"Hang tau tak tengah hari gampang macam ni aku duduk dalam kereta, aku nak pi Padang Besar kot, hospital.. nak tengok orang sakit. Tapi aku tak tau pukul berapa aku boleh sampai. 


"Yang hangpa tiga bijik ini pun, nak buat jalan tengah-tengah hari. Awat? Tengah malam tak boleh buat ke? Tengah malam tu tak ada la cahaya matahari, tak ada panas, tak ada la jam dan tak ada orang guna jalan. 


"Amboi, aku usahalah nak elak jam guna jalan highway. Last-last sekali highway pun jam. Hangpa tiga-tiga bijik  mai tutup sampai tiga lorong. Baik tak payah buat highway, geram ja. Cukup celaka lah!"




Kata-kata lelaki itu mengundang kemarahan netizen kerana kurang bersabar sehingga mencelakakan petugas-petugas keselamatan lebuhraya yang sentiasa komited melaksanakan tugas bagi memastikan keselamatan lebuhraya terjamin. 


"Lori itu namanya safety vehicles yang bertujuan untuk menutup atau menghalang jalan sementara bagi memudahkan pasukan maintenance team kutip objek-objek asing yang berada di jalan raya atau di tengah-tengah jalan raya berisiko membahayakan penggunanya. 


"Tak adalah nantikau tengah sedap memandu laju, tiba-tiba terlanggar serpihan tayar. Pastu komplen pihak highway tak buat kerja pula," kata Nick Qareem. 


"Tak payahlah nak membebel bro. Kalau nak senang, buat jalan sendiri bawah tanah kalau ada. Apa-apa terus tanam," kata Poya. 


"Pot pet pot pet, tu je taunya. Asyik nak komplen. Kurang ilmu, lain kali belajar tentang fungsi safety vehicle tu. Sedangkan lalu jalan atas jalan kampung pun pokok getah boleh tumbang secara tiba-tiba, inikan pula sampah sarap yang ada di atas lebuhraya tu," kata Mohd Arin. 


"Sedap-sedap dia celakakan orang. Orang tu menjalankan amanah dan tanggungjawab kot. Elok dilempang dengan selipar jamban mulut dia ni," kata Muhammad Haslam Abdul Jalil.




Sumber: Dashcam Owners Malaysia

Sumber : CiteMalaya
Powered by Blogger.