'Dasar jantan gatal burung' - Suami belasah isteri kaw-kaw kerana tak bagi kahwin kali kedua


Bengang kerana permintaan untuk berkahwin kali kedua tidak dipersetujui, seorang lelaki sanggup membelasah isterinya sehingga cedera seluruh anggota badan.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8 malam Jumaat lalu di Marang, mangsa berusia 29 tahun ditendang seperti bola dalam keadaan seluruh wajahnya ditutup dengan selimut oleh suaminya yang berusia 41 tahun. 

Difahamkan sebelum kejadian itu berlaku, pasangan berkenaan bertengkar selepas mangsa enggan membenarkan suaminya berkahwin lain. 

Suspek cuba memujuk mangsa untuk menyerahkan salinan kad pengenalan dan tiga anak mereka untuk dibawa ke Pejabat Agama Daerah Marang bagi urusan permohonan perkahwinan kali kedua.

Namun mangsa tetap enggan menyerahkan dokumen berkenaan dan tidak mengizinkan suaminya berkahwin lagi. 

Bengang dengan tindakan mangsa, suspek merampas telefon bimbit mangsa. Mangsa terkejut dengan tindakan suaminya dan terus menangis sebelum mukanya ditutup dengan selimut serta ditendang oleh suspek.

Menurut sumber, kejadian itu kerap berlaku tetapi mangsa enggan membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan diri dan anaknya. 

Sehinggalah kejadian Jumaat lalu, mangsa yang sudah tidak bertahan, akhirnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut selain untuk dijadikan rujukan di Mahkamah Syariah. 

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. 

Sumber: Sinar Harian


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.