2 maut, 35 cedera, bas pelancong bergerak sendiri sebelum terjatuh dalam sungai



Sebuah bus yang membawa sekumpulan pelancong di kawasan percutian di Guci, Kabupaten Tegal, Jawa Tengah, Indonesia dilaporkan terjatuh ke dalam sungai, semalam, Ahad, 7 Mei 2023. 


Video kejadian yang sempat dirakam oleh orang awam itu menunjukkan bas berwarna merah terbabit terdahulu diletakkan di tepi jalan sebelum secara tiba-tiba bergerak sendiri lalu terjunam ke dalam sungai. 


Orang awam yang menyedari kejadian itu segera datang untuk menyelamatkan para penumpang bas berkenaan. 


Jurucakap polis berkata, beberapa mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan. 


Salah seorang saksi kejadian yang dikenali sebagai Hidayat berkata sebelum kejadian, pemandu telah menghidup enjin bas untuk dipanaskan. Bas itu membawa pelancong berasal dari Tangerang Selatan dan sedang menunggu masa untuk dibawa pulang selepas menginap sehari di kawasan itu.


Peniaga premis berhampiran, Mohamad Alwi berkata, bas itu secara tiba-tiba meluncur dan merempuh sebuah warung kopi sebelum terjatuh ke dalam sungai. 


"Saya tengok bas itu tak ada pemandunya. Tak tahu di mana keberadaan pemandunya ketika itu," katanya. 


Video kejadian itu tular di media sosial dan timbul dakwaan yang mengatakan kejadian berpunca daripada tindakan seorang kanak-kanak yang melepaskan handbrake kenderaan pengangkutan itu. 


Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal oleh salah seorang mangsa yang berada di dalam bas tersebut, Ayum, 54, yang menegaskan tiada kanak-kanak berada di tempat duduk pemandu semasa kejadian. 


Ayum yang duduk di belakang pemandu bas berkata, "Tidak ada kanak-kanak kecil yang bermain handbrake. Saya duduk di depan, tak ada kanak-kanak," katanya.


Pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut. Pada masa ini, polis sedang mendapatkan keterangan daripada semua mangsa dan saksi. 


Siasatan awal mendapati, bas tersebut diletakkan di lokasi dan handbrake telah ditarik oleh pemandunya. Sementara menunggu enjin bas dipanaskan, pemandunya telah keluar sebentar. 37 penumpang memilih untuk masuk ke dalam bas, manakala 13 lagi penumpang lain masih berada di luar bas. 


Setakat yang dilaporkan, bas tersebut membawa 37 penumpang, 35 daripadanya mengalami kecederaan ringan dan dua lagi mangsa disahkan telah meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di hospital. 


Sumber: Kompas



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.