'Sejak menjadi menteri, prestasi Zuraida amat membanggakan' - SETPOL

Foto The Star


Setiausaha Politik (SETPOL) kepada Zuraida Kamaruddin, Muhamad Shazlee Muhammad Nazlee menegaskan, tindakan Ahli Parlimen Ampang itu keluar dari Bersatu membuktikan bahawa 'bosnya' itu tidak mengamalkan 'play safe' dalam memilih jalan politiknya. 


Shazlee berkata, dengan pengumuman keluar dari parti yang diketuai oleh bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas menunjukkan bahawa jawatan dan kuasa bukanlah keutamaan Zuraida sejak menjadi ahli politik. 


"Tindakan berani Zuraida ini telah mengunci rapat mulut-mulut liar yang sebelum ini dengan mudah menuduh beliau gila kuasa dan jawatan apabila memilih bersama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN). 


"Sejak menjadi menteri perusahaan, perladangan dan komoditi tahun lalu, beliau telah menunjukkan prestasi membanggakan dengan menjadikan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) antara kementerian utama dalam meningkatkan pendapatan negara," katanya. 


Dalam tempoh kurang dari setahun menjadi menteri, Zuraida telah mengadakan jelajah komoditi ke lebih 12 negara bagi memastikan sektor komoditi Malaysia mendapat tempat di pasaran antarabangsa. 


"Inilah kualiti Zuraida terhadap komitmen kerja dan kepentingan rakyat yang membezakan beliau dengan ramai ahli politik lain. 


"Keputusan keluar daripada Bersatu adalah didasari keberanian dan prinsip, bukanlah kerana ingin menjaga periuk nasi sendiri seperti tohmahan ke atas beliau selama ini. 


"Saya akan sentiasa menyokong kepimpinan beliau kerana Zuraida terbukti memilih jalan politik mengikut wadah berprinsip, bukan untuk 'play safe'.


"Saya yakin keputusan beliau menyertai PBM adalah kerana ia merupakan platform terbaik dan paling kena dengan jiwa beliau agar dapat terus menyumbang kepada rakyat tanpa mengira latar belakang, kedudukan, bangsa dan agama," ujarnya. 


Sumber: Sinar Harian, Free Malaysia Today



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.