Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April 2020 - PM


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April 2020. 

Keputusan itu dibuat bagi memastikan rakyat Malaysia bebas dari jangkitan wabak Covid-19 yang sehingga kini masih menunjukkan trend peningkatan.

"...pada masa ini kes-kes baru masih dicatatkan. Walaupun dalam tempoh beberapa hari yang lalu, jumlahnya agak mendatar. Kerajaan menjangkakan, kes-kes baharu akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat ini. 

"...justeru saudara-saudari mesti bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama. 

"Saya telah diberikan taklimat oleh KKM dan MKN, trend semasa menunjukkan kes-kes positif COVID-19 yang baru masih berlaku. Trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baru mula menurun. 

"Dan ini menuntut kerajaan untuk meneruskan PKP bagi tempoh masa yang lebih lama. Sehubungan itu kerajaan telah memutuskan tempoh PKP akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. 

"Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia. Anda yang berada di kampung tak perlu bergegas balik ke KL hujung minggu ini. Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama. Tunggu dulu. 

"Pejabat-pejabat yang masih ditutup tidak perlu dibuka sehingga sekarang. Jika ada perkara penting yang nak diuruskan dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang macam mana nak uruskannya."

Muhyiddin menggesa rakyat Malaysia kekal bertenang dan jangan panik, walaupun tempoh PKP telah dilanjutkan, rakyat tidak perlu menyimpan banyak makanan kerana bekalan masih mencukupi untuk semua. 

Beliau memahami ramai yang terkesan tetapi oleh kerana tiada pilihan, tempoh PKP terpaksa dilanjutkan untuk keselamatan rakyat. 

"Selain daripada itu, tempoh PKP akan dikaji dari semasa ke semasa. Jika ada keperluan untuk dilanjutkan lagi, saya akan membuat pengumuman mengenainya. Yang penting saya memohon supaya saudara saudari senantiasa bersedia untuk duduk lebih lama di rumah.

"Saya juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas anda sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa," katanya. 


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.