Menteri disarankan tak ambil gaji seperti PM Anwar Ibrahim
Selesai dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau tidak akan mengambil gaji sebagai Perdana Menteri, sebagaimana yang telah dijanjikannya ketika berkempen di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri berpendapat, menteri yang bakal dilantik dalam Kabinet kerajaan baharu turut disarankan untuk tidak mengambil gaji.
Sekiranya mereka semua bersetuju untuk berbuat demikian, jutaan ringgit hasil daripada gaji menteri itu dapat digunakan untuk membantu rakyat.
"Kalau cabaran telah dibuat oleh Perdana Menteri, maka kabinetnya bagaimana? Sudah tentu menteri juga perlu melihat ia sebagai satu contoh.
"Kalau keseluruhan menteri tak ambil gaji, adalah sangat baik dan berapa banyak juta duit itu dapat disalurkan seperti membina lebih banyak sekolah di Sabah dan Sarawak," katanya memetik laporan dari Sinar Harian.
Bagaimanapun di media sosial, saranan itu mengundang pelbagai reaksi netizen.
"Gaji mereka dibayar sesuai dengan tanggungjawab yang mereka pikul. Kalau mereka benar-benar buat kerja, mereka layak mendapat gaji. Yang rakyat tidak suka ialah, menteri yang makan gaji buta. Jangan nafikan hak orang, zalim namanya tu," kata YJN.
"Terima gaji pun bukan salah. Apa yang penting adalah buat kerja, amanah dan bertanggungjawab. Gaji pun sebagai motivasi. Aku tak kisah pun diorang dapat gaji, asalkan jangan makan rasuah," kata Azzah.
"Cadangan yang membawa rebah. Kerja mesti ada upah, melainkan orang itu wang simpanannya cukup untuk keluarga. Usah mengikut cara Anwar melulu, ukur baju sendiri. Anwar dah cukup simpanannya. Anak dia pun dah ada kerjaya sendiri. Anwar memang minta dikecualikan (gaji) khas buat dirinya sahaja. Biarlah yang lain ambil gaji setara dengan perkhidmatan. Mereka ada tanggungan keluarga," kata Rosdi.
Sumber: Sinar Harian
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment