2 beradik bunuh member sebab berak merata


Dua beradik yang mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan polis pada Rabu, 18 November 2020. 


Candra, 23, dan Calvin, 19, disyaki membunuh mangsa, Fran, yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, kerana didorongi dendam lama kerana Candra sebelum itu pernah ditusuk dengan pisau oleh Fran. 


Difahamkan sebelum kejadian itu berlaku, Fran dan Candra bersama rakan lain sedang melepak bersama di sebuah pondok berhampiran rumah mereka di Jalan Meranti Sungai Buaya, Daerah Kertapati, Palembang, Indonesia. 


Ketika itu, Fran sempat membuat air besar di sebatang pokok berdekatan dengan pondok tempat mereka melepak. Candra yang ternampak perbuatan Fran itu terus menegurnya dan teguran itu membuatkan Fran berang. 


"Saya kata, nak berak tu beraklah jauh sikit. Jangan di pokok berhampiran. Tetapi dia terus marah dan memaki hamun saya sampai hampir tercetus pergaduhan. Mujur berjaya dileraikan oleh rakan yang lain," kata Candra. 


Setelah insiden itu, Candra mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Namun secara tiba-tiba Fran menyerangnya dari belakang dengan menusuk pisau di bahagian ketiak. 


"Bila sampai di rumah, baru saya terasa sakit dan bila pegang bahagian belakang, ada kesan darah. Saya tidak melaporkan kejadian itu kerana mahu menunggu dia meminta maaf. Tetapi dia langsung tidak berbuat demikian, seperti tiada apa-apa yang berlaku," kata Candra. 


Kesal dengan sikap Fran, Candra akhirnya membuat keputusan untuk berjumpa dengan Fran yang ketika itu sedang bekerja di bengkel. Candra dan adiknya, Calvin, terus menyerang Fran dengan senjata tajam.


"Setelah kejadian itu, kami terus lari ke rumah bapa saudara. Adik saya ini sebenarnya tidak tahu apa-apa. Dia hanya mengikuti saya kerana melihat saya membawa senjata tajam.


"Bapa saudara tidak tahu yang kami baru terbabit dalam kes itu. Kami berikan alasan hendak mencari pekerjaan dan bersembunyi di sini hampir tiga minggu," katanya. 


Calvin juga menjelaskan, dia tidak tahu apa permasalahan yang menimpa abangnya itu dan ketika kejadian, dia spontan hendak membantu abangnya. 


"Abang masa itu pulang terus membawa parang, jadi saya pun ikut, termasuk menikam mangsa di bahagian perut sebanyak dua kali," katanya. 


Sementara itu, jurucakap polis Palembang, Anom Setiyadji berkata, kes pembunuhan itu berlaku akibat dendam lama di antara suspek dengan mangsa yang berselisihan faham. 


Dua beradik terbabit telah ditangkap ketika bersembunyi di kediaman keluarganya dan akan didakwa di atas perbuatan mereka di mahkamah atas tuduhan membunuh yang memperuntukkan penjara selama 15 tahun. 


Menurut kakak mangsa, Maladewi berkata, adiknya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital. Fran disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala. 


Ananda, isteri kepada mangsa, menangis ketika dimaklumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia. Anda seolah-olah tidak percaya, lelaki yang baru dinikahinya tiga bulan lalu sudah tiada. 



"Dia adalah suami yang bertanggungjawab. Dia selalu berusaha memenuhi apa yang saya minta," katanya yang sedang mengandung anak Fran dengan usia kandungan satu bulan. 


Fran dan Ananda baru sahaja menikah pada Ogos 2020. Sebelum Fran keluar dari rumah pada hari kejadian, dia sempat mencium perut isterinya serta berpesan untuk menunggunya di rumah sementara dia keluar pergi mencari rezeki. 


"Dia sempat kata, dia pergi kerja dulu untuk mencari rezeki buat beli susu anak, sambil mencium perut saya," katanya. 


Ketika itu Ananda sempat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan ketika dia sedang memasak, secara tiba-tiba dadanya berdebar kencang dan terus teringat pada suaminya. - Agensi



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.