'Kami makan sate jer' - 2 pasangan dicekup 'oyeh²' dalam kereta di Kulim


Seorang wanita bersama pasangannya yang merupakan suami orang dicekup berkhalwat di dalam sebuah kereta Toyota Vios yang diparkirkan di hadapan sebuah rumah di Taman Keladi, malam kelmarin. 


Bagaimanapun, pasangan itu memberi alasan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa dan hanya makan sate di dalam kereta. Tetapi alasan itu tidak diterima oleh anggota penguat kuasa Pejabat Agam Daerah Kulim (PADK). 


Sebelum itu, anggota PADK membuat rondaan di kawasan tersebut lebih dari dua jam dan mencekup pasangan terbabit pada jam 10/40 malam, yang berada dalam kereta di kawasan gelap dan mencurigakan. 


PADK juga turut menerima maklumat dari orang awam yang memaklumkan pasangan itu selalu berdua-duaan di dalam kereta di kawasan itu. 


Ketika diserbu, pasangan itu terkejut dan pemeriksaan juga mendapati cermin tingkap kenderaan itu dipasang dengan pelindung cahaya. Pasangan terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang membuktikan mereka suami isteri atau mahram menyebabkan mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat. 


Siasatan awal mendapati, lelaki berusia 52 tahun itu sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak, manakala wanita berusia 26 tahun itu masih bujang dan bekerja di syarikat utiliti di daerah itu, syarikat yang sama dengan pasangannya. 


Kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 


Dalam kes berasingan di Lembah Impiana, anggota PADK juga menahan pasangan kekasih yang sedang asyik berpeluk dan bercumbu di dalam kereta Proton Saga di belakang sebuah pasar raya pada jam 7 malam kelmarin. 


Terkejut melihat kehadiran anggota PADK, pasangan itu terus memecut dari lokasi tetapi berjaya ditahan oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas 20 minit kemudian. 


Pemeriksaan mendapati, kedua-duanya tiada ikatan sah dan disyaki melakukan maksiat. Ketika ditahan, pasangan itu memberi alasan baru pulang makan dan berehat di kawasan itu sementara menunggu waktu maghrib. 


Semakan mendapati, lelaki terbabit dipercayai menuntut di sebuah IPTA, manakala pasangannya berusia 25 tahun itu 'menanam anggur'.


Pasangan itu dibebaskan selepas diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.