(Video) Peragut masuk farmasi, ragut 2 rantai emas pelanggan


Seorang wanita mengalami kerugian RM10,000 selepas diserang dua lelaki di dalam sebuah farmasi yang juga melarikan dua utas rantai emasnya.


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad berkata, kejadian itu berlaku pada jam 8.47 malam Sabtu, 21 November 2020 di Jalan Gombak, mangsa mengalami kecederaan selepas suspek yang datang dari arah belakang menarik rantai leher dan menumbuk muka mangsa. 


Sebaik saja melakukan jenayah itu, suspek terus melarikan diri dengan sebuah kenderaan. Mangsa terus menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian itu. 


Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan termasuk meneliti video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.


Siasatan awal mendapati, dua suspek terbabit memakai pelitup muka dan polis percaya, suspek menggunakan nombor plat palsu bagi mengelak dari dikesan polis.


Berdasarkan video kejadian yang viral di media sosial, dua suspek terbabit datang ke premis itu menggunakan kereta kompak berwarna merah. Salah seorang suspek masuk ke dalam premis itu, terus meragut rantai emas mangsa dari belakang. 


Bagaimanapun percubaan kali pertama gagal. Mangsa terus berpaling dan cuba menghalang suspek dan dibantu oleh juruwang. Tetapi percubaan kedua suspek berjaya meragut rantai itu dan secara tiba-tiba menumbuk muka mangsa sebelum berlari keluar.



Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan. 


Sumber: Harian Metro, FB Nur Zulaikha



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.