Lelaki 'hidup semula' selepas 3 jam disahkan mati, menjerit kesakitan ketika kakinya dibelah di bilik mayat
Seorang lelaki di Kenya yang telah disahkan meninggal dunia oleh doktor, kembali tersedar selepas tiga jam kemudian ketika petugas sedang membersihkan 'mayatnya' di dalam bilik mayat.
Peter Kigen, 32, disahkan meninggal dunia pada Selasa lalu selepas dia tidak sedarkan diri kerana mengalami sakit perut yang luar biasa di rumahnya dan dikejarkan ke sebuah hospital Di Kapkatet di Daerah Kericho, lapor media tempatan.
Selepas dipindahkan ke bilik mayat, Kigen tiba-tiba bangkit dan mengejutkan para petugas sebelum merintih kesakitan ketika petugas sedang membelah kaki kanannya.
Menurut adik Peter, dia dimaklumkan oleh jururawat bahawa abangnya telah meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan. Petugas perubatan itu juga menjelaskan mereka telah memeriksa keadaan pesakit sebelum mengesahkan lelaki itu meninggal dunia.
Peter kemudian segera dipindahkan ke bilik mayat. Sebagai sebahagian dari proses pengawetan mayat, salah seorang petugas telah membelah bahagian kaki kanan mayat untuk memasukkan formalin.
Tetapi secara tiba-tiba Peter kembali tersedar dan mula meratapi kesakitan, membuatkan para petugas bilik mayat terkejut lalu segera dibawa ke jabatan kecemasan untuk diberikan rawatan.
Semasa dirawat, Peter memberitahu wartawan bahawa dia gembira dapat hidup semula dan berjanji akan mendedikasikan hidupnya kepada agama. Keluarganya pula kini dalam proses menuntut keadilan kerana beranggapan pihak hospital berkenaan telah melakukan kecuaian.
Pihak hospital dan jabatan kesihatan daerah sehingga kini masih belum tampil memberi penjelasan mengenai insiden tersebut. - Daily Mail
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment