'Bila nak datang tengok rumah, penyewa beri 1,001 alasan' - Owner terkejut penyewa tinggalkan 4 bangkai kucing & rumah kotor
Tinggal menyewa, buatlah cara menyewa. Tetapi tidak bagi penyewa lelaki ini yang bukan sahaja tidak menjaga kebersihan, malah meninggalkan beberapa ekor bangkai kucing yang mati semasa berada di bawah jagaannya.
Pemilik rumah sewa yang beralamat di Taman Nusantara, Gelang Patah, Johor ini, Khirmanullah Ae, sendiri tidak menyangka lelaki berkenaan sanggup hidup dalam keadaan sebegitu.
"Selalu terbaca penyewa dari neraka. Kali ini saya mengalami sendiri. Allahuakbar. Yang penting sabar sajalah," katanya.
Difahamkan, Khirmanullah sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk melakukan spot check pada rumahnya itu. Namun begitu, penyewa memberikan pelbagai alasan untuk menolak kedatangannya.
Hanya setelah didesak berulang kali, Khirmanullah berjya juga masuk dan mengakui terkejut melihat keadaan rumah buat pertama kali.
"Dari tiga bulan lepas, asal nak datang viewings rumah ini je, penyewa beri seribu satu alasan nak bagi kitorang masuk. Tetapi dapat juga masuk dan memang tahu penyewa ada membela kucing.
"Sebelum ini pun dia punya kotor jangan cakaplah. Nasib baik SOP kena pakai mask. Jadi tak adalah bau sangat. Kalau tak, boleh hilang selera makan," selorohnya.
Sebulan kemudian, Khirmanullah memberikan notis kepada lelaki itu untuk mengosongkan rumah berikutan rumah tersebut telah dijual kepada pemilik baru. Sekali lagi, dia terpaksa berdepan dengan karenah penyewa yang enggan akur dengan notis tersebut.
"Selepas sebulan yang lalu, kita beri notis kepada penyewa untuk keluar dan kosongkan rumah sebab rumah ini telah dijual. Memang agak liatlah dia nak keluar dan bermacam-macam alasannya.
"Last-last dia keluar juga. Tetapi biarlah gambar berbicara. Kesian kucing tu. Kalau dah tak boleh bela, lepaskan saja. Ini sampai yang tinggal tulang pun ada. Allahu, macam mana hidup nak berkat dik oi," katanya.
Berdasarkan gambar, terdapat empat ekor bangkai kucing yang ditinggalkan iaitu seekor di bawah sangkar besi dan tiga ekor lagi di dalam bilik berasingan.
Keadaan dalam rumah juga tidak terurus, sampah sarap merata-rata. Keadaan di dalam bilik mandi juga sangat teruk. Begitu juga di bahagian tangga ke tingkat atas.
Di ruangan komen, netizen menyelar sikap tidak bertanggungjawab penyewa berkenaan sehingga sanggup menganiaya kucing-kucing yang tidak berdosa.
"Aku tengok gambar pun dah rasa nak termuntah. Apa punya pemalas lah perangai," kata Fazli.
"Ya Allah, kalau tak mampu nak bela, jangan bela. Baik dapat pahala jadi dapat dosa. Aduh.." kata Khairul.
Sumber: Khirmanullah
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment