Putrajaya pilih Toyota Vellfire sebagai kenderaan rasmi Menteri
Putrajaya dilaporkan akan menggunakan Toyota Vellfire 2.5L sebagai kenderaan rasmi bagi jawatan (KRJ) Menteri Kabinet, bagi menggantikan Proton Perdana 2.4 Premium yang ditamatkan pengeluarannya pada 2014.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai perbincangan pertukaran kenderaan rasmi jawatan menteri kabinet di media sosial.
Toyota Vellfire 2.5L dipilih kerana kos sewa bulanan model tersebut dikatakan lebih rendah, RM4,851.61 berbanding Proton Perdana 2.4 Premium (RM4,854.41).
Selain itu, pentadbiran kerajaan yang sebelum ini juga pernah mempertimbangkan untuk menggantikan Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire, tetapi ditangguhkan dan hanya dapat dilaksanakan pada tahun ini.
"Untuk makluman, usia KRJ bagi jemaah Menteri sebelum penggantian pada tahun ini ada yang mencecah usia enam tahun, sedangkan penggantian KRJ bagi jemaah Menteri sebenarnya dijadualkan setiap empat tahun sekali," kata kenyataan itu.
Sementara itu di media sosial, keputusan tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen. Antaranya ada yang tidak bersetuju kerana di kala kerajaan mengalakkan rakyat mengutamakan produk keluaran tempatan, kerajaan sendiri menggunakan jenama dari luar negara.
"Beli barangan buatan Malaysia, tetapi kerajaan sendiri tolak barangan buatan Malaysia," tulis Putera Amin.
"Kerajaan tak ada semangat kebangsaan. Jangan suruh rakyat beli barangan buatan Malaysia la kalau kerajaan sendiri tak buat," tulis Eman Ikmalirfan.
Sumber: Facebook Kementerian Kewangan
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment