'Kalau makcik tiada, siapa yang akan jaga mereka nanti' - Ibu tunggal tak sangka 4 anaknya lumpuh secara tiba-tiba


Hanya Tuhan tahu keperitan hidup terpaksa dilalui warga emas, Rosanani Salleh apabila empat daripada lapan anaknya lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf.


Dengan kudratnya tidak seberapa, ibu tunggal berusia 62 tahun itu cekal menguruskan anak keduanya, Mohd Amerizam Razali, 42; anak kelima Mohd Marsudi, 36; dan anak keenam Mohd Aismuddin, 33; yang memerlukan penjagaan rapi.


Anak sulungnya Rozanariah, 43, yang turut menghidap penyakit sama tinggal berasingan memandangkan sudah berkahwin dan dijaga suami serta tujuh anaknya yang berumur antara 20 hingga lima tahun.


Rosanani yang bekerja sebagai penjual lemang berkata, dia tidak menyangka akan ditimpa nasib sedemikian memandangkan keempat-empat anaknya itu secara tiba-tiba diserang penyakit saraf ketika berusia antara 20-an hingga 30-an.


"Sebelum ini mereka normal dan menjalani kehidupan seperti biasa. Masing-masing sudah bekerja, namun tiba-tiba sakit. Tiada simptom jelas.


"Malah ada daripada mereka tiba-tiba bangun tidur tidak boleh berjalan dan lama-kelamaan lumpuh seluruh badan," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Teluk Kalung, di sini.


Episod duka keluarga Rosanani bermula apabila arwah suaminya, Razali Othman yang meninggal dunia pada 2009 turut menghidap penyakit saraf semasa berusia 20-an.


Rosanani berkata, dengan pendapatan menjual lemang hanya sekitar RM1,000 sebulan menyebabkan dia agak tertekan kerana pengurusan dan pengubatan anaknya yang kurang upaya itu memerlukan belanja tinggi.


"Mereka semua dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 seorang, namun jumlah itu tidak cukup memandangkan kos membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan sahaja melebihi RM1,000.


"Mak cik pun tidak dapat jual lemang dengan lebih banyak kerana hanya sekitar 11 pagi baru mak cik boleh ke gerai untuk persiapan membakar lemang dan berniaga. Pada sebelah pagi, mak cik perlu uruskan anak terlebih dahulu," katanya sambil memberitahu pergerakan anaknya itu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kerusi roda.


Menurutnya, empat empat anaknya yang lain hanya bekerja biasa dengan pendapatan tidak seberapa dan tidak dapat banyak membantunya.


Katanya, walaupun pakar perubatan di hospital memberitahu anaknya itu tiada harapan untuk sembuh, dia sentiasa berdoa semoga satu hari nanti mereka dapat berjalan dan menguruskan diri sendiri.


"Siang malam mak cik berdoa semoga sekurang-kurangnya mereka boleh berjalan. Mak cik sangat risau kalau mak cik sudah tiada nanti siapa akan menjaga mereka.


"Mak cik sudah biasa 'memekakkan' telinga menghadapi pelbagai tohmahan masyarakat sekeliling mengenai nasib keluarga kami ini," katanya sambil menahan sebak.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.