HUKUM MENJUAL SUSU IBU
Soalan:
Apakah hukumnya seorang perempuan menjual susunya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Persoalan mengenai hukum menjual susu manusia ini menjadi khilaf di kalangan para ulama. Kami nukilkan di sini pendapat-pendapat para fuqaha terhadap permasalahan ini:
Pendapat Fuqaha
- Dibolehkan secara mutlak: Ini merupakan pendapat dari kalangan al-Malikiyyah, al-Syafi’eyyah[1] dan ianya juga merupakan satu pendapat di dalam mazhab al-Hanabilah[2]. Dibolehkan secara mutlak untuk menjual susu ibu di sini bermaksud sama ada susu itu dari perempuan yang merdeka ataupun dari kalangan hamba.
- Tidak dibolehkan secara mutlak: Ini merupakan pendapat al-Hanafiah dan Abu al-Qasim al-Anmati dari kalangan al-Syafi’eyyah. Ianya juga adalah pendapat kedua dari mazhab al-Hanabilah.
- Makruh: Ini merupakan pendapat al-Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah.
- Dibolehkan hanya untuk susu dari kalangan hamba perempuan: Ini merupakan pendapat al-Qadhi Abu Yusuf dari kalangan al-Hanafiah dan ianya juga merupakan pendapat sebahagian al-Hanabilah.
Kaedah Pendalilan
- Pendapat yang mengatakan susu ibu boleh dijual menggunakan dalil dan alasan seperti berikut:
- Susu ibu adalah bersih dan boleh di ambil manfaat daripadanya lebih-lebih lagi ketika darurat ingin menyusukan bayi.
- Islam membenarkan untuk diberikan upah kepada orang yang menyusukan bayi. Firman Allah SWT:
فَإِنۡ أَرۡضَعۡنَ لَكُمۡ فََٔاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: …kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.
(Al-Talaaq: 6)
- Susu ibu adalah bersih dan halal untuk dijual qiyas ke atas menjual minuman-minuman yang bersih dan manfaat yang lain seperti susu kambing.
- Pendapat yang mengatakan tidak boleh untuk susu ibu dijual menggunakan dalil dan alasan seperti berikut:
- Susu ibu bukanlah seperti harta yang boleh diambil kira, bahkan ianya adalah sejuzuk daripada manusia itu sendiri dan manusia itu keseluruhannya dihormati dan dimuliakan.
- Abu al-Qasim al-Anmati menambah lagi bahawa susu ibu tidak boleh dijual kerana ianya najis[3].
- Susu adalah cecair yang keluar dari tubuh badan manusia dan tidak boleh untuk menjualnya seperti mana peluh.
- Pendapat yang mengatakan hukumnya adalah makruh seperti al-Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah berdalilkan apa yang digunakan sebagai dalil dari kalangan pendapat yang mengatakan tidak boleh untuk susu ibu dijual. Namun, terdapat tafsiran terhadap larangan tersebut yang mana larangan tersebut tidaklah sampai ke tahap haram namun hanyalah makruh sahaja. Ini seperti mana yang dinukilkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya al-Mughni.[4]
- Pendapat yang membolehkan susu ibu dijual hanya dari kalangan hamba mengguna pakai dalil pendapat yang membolehkan susu ibu dijual secara mutlak. Wallahu a’lam.
Kesimpulan
Melihat kepada pendapat-pendapat sedia ada dan setelah penelitian dijalankan terhadapnya, kami lebih cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan untuk susu ibu dijual. Kami nukilkan di sini dalil serta alasan bagi menyokong pendapat kami:
- Sesungguhnya manusia itu dimuliakan oleh syarak dan tidak ada seorang pun yang mengingkarinya baik dari kalangan ulama yang membolehkan susu ibu dijual mahupun yang menghalangnya.
- Manusia bukanlah seperti harta yang mana boleh dijual beli. Manusia juga tidak boleh dijadikan pemberian dan juga disedekahkan. Ini juga telah disepakati oleh para ulama dan disebabkan itu, manusia tidak boleh diperlakukan seperti harta.
- Pendapat yang mengatakan dibenarkan untuk menjual susu ibu kerana ianya bersih dan bermanfaat diqiyaskan dengan menjual minuman-minuman yang bersih dan bermanfaat, maka kita katakan di sini bahawa susu ibu adalah minuman yang menjadi kemestian (darurat) buat bayi. Minuman-minuman yang lain tidak dapat menggantikan kedudukan susu ibu terhadap bayi meskipun ianya boleh diminum. Maka qiyas ini kami katakan tidak berapa tepat.
- Pendapat yang mengatakan boleh dijual susu ibu dengan qiyas ke atas keharusan menjual susu kambing adalah qiyas ma’a al-faariq. Ini kerana manusia adalah pemilik kepada kambing manakala kambing pula dimiliki dan keduanya mempunyai perbezaan. Daging manusia haram untuk dimakan manakala daging kambing boleh dimakan. Manusia pula dimuliakan oleh syara ketika hidup ataupun setelah matinya manakala kambing, syara membenarkan untuk diambil manfaat darinya. Lebih dari itu lagi, susu ibu terkait padanya hukum-hakam terperinci yang tidak terdapat pada susu kambing seperti haram berkahwin dengan saudara sesusuan. Oleh itu qiyas sebegini tidak diambil kira.
- Pendapat yang mengatakan segala sesuatu yang bermanfaat maka boleh dijual adalah pendapat yang secara mutlaknya tidaklah tepat. Jika diperhatikan, segala yang diharamkan oleh syara tidaklah menafikan manfaat yang ada padanya. Sebagai contoh, arak secara saintifiknya terdapat manfaat padanya namun syara tidak membenarkan untuk ianya dijual. Oleh itu, syarat bagi sesuatu untuk dibolehkan kegunaannya mestilah sesuatu itu halal dan dibolehkan pada zatnya. Jika padanya terdapat manfaat walaupun sedikit, maka dibolehkan untuk kegunaannya tetapi itu adalah untuk mereka yang mempunyai pemilikan asal terhadap sesuatu itu.
Namun persoalannya, adakah insan ini menjadi pemilik kepada dirinya? dan adakah insan ini menjadi pemilik kepada insan yang lain sehingga boleh kita katakan dibenarkan untuk menjual manusia atau juzuk daripadanya? Jawapannya adalah tidak kerana seorang yang merdeka, tidak dimiliki dan haram untuk menceroboh kepadanya secara keseluruhan ataupun sebahagian kecuali dengan hak dan ianya sesuatu yang diketahui dan telah diputuskan.
- Penjualan susu ibu yang berleluasa tanpa adanya sistem yang mengawalnya boleh mengakibatkan percampuran nasab dan membawa umat Islam terjebak dalam keraguan dan perkara yang haram sebagai contoh seseorang tidak dapat mengenal pasti siapa saudara sesusuannya dan boleh juga terjadi perkahwinan sesama saudara susuan yang mana jelas pengharamannya di dalam Islam. Ini menjadi penguat kepada tidak dibenarkan untuk susu manusia dijual kerana melihat kepada maqasid al-syar’iyyah iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan) dan juga sebagai sad al-Zari’ah.
Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
1 Disember 2016 bersamaan 1 Rabi’ al-Awwal 1438 H
[1] Namun terdapat juga sebahagian al-Syafi’eyyah mengatakan bahawa tidak boleh dijual susu ibu. Antaranya ialah al-Mawardi, al-Saasyi dan al-Ruyaani. Lihat Al-Majmu’ (9/254).
[2] Al-Imam al-Nawawi. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (9/254). Lihat juga Al-Mughni (4/196) karangan Ibn Qudamah al-Maqdisi.
[3] Al-Imam al-Nawawi menukilkan bahawa pendapat ini adalah pendapat yang syaz (ganjil). Lihat Al-Majmu’ (9/254)
[4] Ibn Qudamah al-Maqdisi. al-Mughni. Maktabah al-Qaherah, (4/196).
via Bin Usrah
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment