Membina Keluarga Bahagia Seperti Cara Rasulullah SAW
Dalam kehidupan berumah tangga Rasulullah, Baginda adalah seorang suami dan bapa yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarga.
Dalam membina keluarga sejahtera dan bahagia, keperibadian Rasulullah terhadap isteri dan anak-anak sangat wajar dicontohi. Antara sifat terpuji Baginda terhadap isteri dan ahli keluarganya adalah;
#1- Bapa Yang Sangat Penyayang, Lembut Dan Penuh Kasih
Baginda Rasulullah SAW merupakan seorang bapa yang sangat mencintai serta mengasihi putera dan puterinya, Qassim, Abdullah, Ibrahim, Fatimah, Zainab, Umi Kalthum dan Ruqaiyah.
Antara riwayat menceritakan, setiap kali Fatimah ingin masuk ke dalam bilik, Baginda akan bangun dan memimpin tangan puterinya itu dan didudukkan di sebelahnya. Sesungguhnya Nabi SAW juga sangat peka dan memahami sikap setiap anak-anaknya.
Nabi Muhammad SAW sangat sedih ketika Ibrahim yang ketika itu masih kecil meninggal dunia sehinggakan mengalirkan air mata Baginda.
#2- Selalu Membantu Isteri Dalam Urusan Rumah Tangga
Baginda sangat bersikap adil kepada para isterinya, bahkan dapat menguruskan kehidupan rumah tangga dengan sempurna. Baginda juga seorang suami yang ringan tulang dengan sering membantu isterinya dalam menguruskan rumah tangga tanpa diminta.
Saidatina Aisyah pernah ditanya tentang apa yang dilakukan Nabi SAW di rumahnya? Aisyah menjawab, “Baginda selalu melayani (membantu) isterinya.”
Setiap kali pulang ke rumah, apabila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum Baginda menyinsing lengan baju lalu membantu isterinya di dapur tanpa sedikit pun marah atau merungut.
#3- Romantis
Betapa romantisnya Rasulullah sehinggakan setiap isterinya sentiasa mendapat kucupan mesra ketika Baginda ingin ke masjid.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad,
“Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan Baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian.”
Berkata Saidatina Asiyah, ‘Aku minum, ketika itu aku sedang haid, lalu aku memberikannya kepada Nabi. Baginda meletakkan mulutnya pada tempat (bekas) mulutku lalu minum. Aku menggigit daging, ketika itu aku sedang haid, lalu memberikannya kepada Nabi SAW, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat (bekas) mulutku’.
Begitulah romantisnya Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah tangga Baginda.
#4- Berlemah Lembut Dan Sopan Walau Marah
Rasulullah SAW bukanlah seorang suami yang mudah memarahi isteri Baginda, jauh sekali bersikap ringan tangan. Tetapi Baginda sangat lembut dan bijak menangani perselisihan dengan isteri-isteri Baginda.
Ketika kemarahan Baginda agak tinggi, Baginda akan menjauhi isteri untuk sementara waktu sehingga kemarahan tersebut menjadi reda. Sesungguhnya ketika marah sekalipun, Baginda tetap seorang yang sopan, lembut dan penuh kasih sayang.
#5- Berbincang Bersama Isteri Dan Keluarga
Rasulullah SAW tidak pernah keberatan mendengar serta menerima pendapat isterinya dala menetapkan sebarang keputusan. Contohnya, Baginda pernah meminta pendapat Ummu Salamah semasa berlakunya Perjanjian Hudaybiyah.
Ketika itu, Baginda memerintahkan para sahabat untuk mencukur rambut dan menyembelih binatang korban, namun ada dalam kalangan mereka tidak bersetuju melakukannya. Melihat keadaan tersebut, Baginda menemui Ummu Salamah dan menceritakan kepadanya akan hal yang berlaku, lalu berkata Ummu Salamah ;
“Keluarlah, ya Rasulullah, kemudian bercukurlah, lalu sembelilhlah binatang korban itu.”
Lalu Baginda pun melakukan hal itu,melihat sahaja Rasulullah bercukur dan menyembelih korban, para sahabat segera bangun dan melakukan apa yang dilakukan oleh Baginda.
Bahkan diceritakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim;
“Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”
#6- Memperkenalkan Dan Berbangga Dengan Isteri
Rasulullah SAW sangat menunjukkan rasa cintanya pada para isterinya di hadapan umum.
Diceritakan, Shafiyah binti Huyay mendatangi Rasulullah SAW sewaktu Baginda beritikaf di masjid, tidak berapa lama kemudian Rasulullah menghantarkan Shafiyah pulang. Dua orang Anshar melalui mereka dan memberi salam kepada Rasulullah. Lalu Baginda berkata,
“Perhatikanlah baik-baik oleh kamu berdua, dia ini tidak lain Shafiyah binti Huyay.”
Sungguh indah keperibadian Rasulullah SAW yang menunjukkan cinta dan kemesraannya terhadap para isteri Baginda. Sifat mulia ini sangat sesuai dipraktikkan dalam keluarga bagi melahirkan kasih sayang antara suami isteri serta anak-anak.
Sesungguhnya melayani serta memberi kecintaan kepada keluarga juga adalah sebahagian daripada sunnah Nabi Muhammad SAW. Semoga kita berjaya membawa contoh-contoh terbaik Rasulullah ini dalam keluarga kita.
Amin.
Sumber: Tazkirah.net
via Bin Usrah
Sumber : 1Citemalaya>
Sumber : SuperKiram
Leave a Comment