'Kalau tewas pun tak apa, saya tetap tidak berkudis' - Azwan nekad lawan Azmin di PRU14
Azwan Ali mengesahkan akan bertanding sebagai calon Bebas menentang Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga merupakan abangnya di Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini, lapor Harian Metro.
Azwan membuat keputusan itu kerana menerima banyak sokongan dari pelbagai pihak terutamanya peminat setianya dalam memastikan perjuangan menjatuhkan abangnya itu menjadi kenyataan.
Beliau yang menggelar dirinya sebagai 'Diva AA' itu mendakwa akan bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi oleh Mohamed Azmin.
"Saya berjuang atas prinsip dan perjuangan untuk menjahanamkan Azmin Ali. Ini adalah satu tugasan dan amanah yang mungkin orang lain tak mampu nak buat.
"Walaupun dikecam menjatuhkan darah daging sendiri, terpulanglah kerana saya lebih mengenali pengkhianat bangsa ini," katanya.
Sebelum ini, Azwan pernah membuat laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa dan rasuah kerajaan Selangor, Disember 2017.
Dalam kenyataannya kepada media, Azwan tidak menolak yang dia mungkin akan menggunakan strategi bersifat peribadi bagi menewaskan abangnya dengan mendakwa dia banyak menyimpan rahsia Azmin.
"Dia pemimpin yang penuh aib, paling munafik dan teruk dalam sejarah Selangor dan perlu dihapuskan kerjaya politiknya menjelang PRU14.
"Kalau orang masih mahu pangkah Azmin Ali, teruskanlah tetapi tunggulah bala besar daripada Allah," katanya.
Azwan juga menjelaskan, dia tidak akan menggunakan dana dari mana-mana pihak parti politik untuk digunakan pada PRU14 kerana dia mempunyai banyak wang dalam bank.
"Saya bukan nak cakap besar, tapi duit saya berlambak dalam bank. Andainya tewas teruk sekali pun, wang pertaruhan itu saya anggap sebagai sedekah kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).
"Kalau tewas pun tak apa, saya tetap tidak berkudis dan tidak akan menyesal kerana sekurang-kurangnya peratusan undinya akan terjejas.
"Tetapi jika menang, saya akan buat kenduri doa selamat terbesar dengan rakyat di kawasan saya akan dapat merasa rendang saya secara percuma dan tidak akan menjadi wakil rakyat yang hanya menjenguk kawasan ketika PRU," katanya.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment