(Video) Kucing bunting mati dipukul dengan batang besi, berang depan rumah selalu ada najis kucing
Seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam kes memukul seekor kucing yang bunting sehingga mati dan mencederakan seekor lagi haiwan itu dengan batang besi, ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata wanita berusia 51 tahun yang bekerja sebagai broker itu ditahan untuk siasatan lanjut oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menurutnya kejadian berlaku pada 1.20 tengah hari kelmarin, selepas dua lelaki yang sedang memberi makanan kepada kucing-kucing itu terdengar wanita berkenaan merungut mengenai kucing yang membuang najis di hadapan rumahnya.
"Wanita itu kemudiannya bertindak memukul dua ekor kucing yang sedang diberi makan oleh dua lelaki berkenaan di rumah flat Pintas Kalui 1, Seberang Jaya dengan sebatang besi, sehingga menyebabkan seekor kucing bunting mati manakala seekor lagi cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Shafee berkata polis turut menyiasat kes itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana wanita itu dipercayai dipukul beberapa individu selepas kejadian berkenaan, dan menurutnya wanita itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam bagi perintah reman, esok.
Sumber: Bernama
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment