(15 Foto) 'Mereka datang tanpa diundang' - Fosil gigi mamalia di Gua Masoorat musnah selepas kehadiran kru produksi drama


Fosil gigi mamalia herbivor yang ditemui di Gua Masoorat, Perak, kira-kira setahun yang lalu dilaporkan telah rosak.


Pengerusi Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak, Mohd Fadly Md Noor berkata, gigi dan tulang rahang separa itu ditemui rosak pada jam 12.30 tengah hari, Khamis, 18 Mac 2021. 


Mohd Fadly berkata, ada sekumpulan orang yang dipercayai dari syarikat produksi video datang mengunjungi gua itu sebelum kedatangan mereka. 


"Kami tidak pasti mereka dari syarikat mana dan apa yang mereka cuba rakamkan tetapi mereka dalam kumpulan yang besar. 


"Ketika kami bertanya apakah mereka mempunyai keizinan untuk mengunjungi gua itu, mereka mengatakan ya tetapi tidak dapat menunjukkan bukti. 


"Kemudian kereta peronda polis datang untuk membuat pemeriksaan dan ketika itulah mereka bersurai. 


"Kami masuk ke dalam gua untuk memeriksa keadaannya dan mendapati fosil itu pecah, lumpur di seluruh tempat dan lilin di dinding," katanya. 


Mohd Fadly berkata, fosil itu ditemui kira-kira setahun yang lalu dan penemuannya tidak didedahkan kepada umum kerana bimbang orang awam akan masuk ke gua itu. Sebaliknya mereka hanya memaklumkan kepada pasukan arkeologi beberapa universiti mengenal hal itu. 


"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan tahun lalu, jadi tidak banyak yang dapat dilakukan dengan penemuan itu," katanya menambah terdapat beberapa lagi fosil gigi di sekitar gua. 


Mohd Fadly berkata, dia ada menghubungi pihak Majlis Bandaraya Ipoh yang memaklumkan produksi terbabit hanya mempunyai keizinan untuk membuat penggambaran di Gunung Lang. 


Ketika ditanya mengapa pihaknya tidak mengawasi aktiviti luar berhampiran gua dan tidak menghenti kumpulan produksi itu, Mohd Fadly berkata mereka tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. 


Meskipun kecewa, Mohd Fadly tidak menyalah sesiapa di atas kejadian itu dan berharap mereka yang berhasrat datang ke Gua Masoorat pada masa akan datang, mendapatkan jurupandu untuk membawa mereka ke sana dan menjelaskan bahagian gua mana yang boleh dikunjungi serta mendapat penerangan yang lebih baik mengenai lokasi tersebut termasuk kesedaran akan pentingnya memelihara tempat-tempat warisan. 


Sementara itu, bekas Pengarah Komunikasi dan Media Pejabat Menteri Besar Perak, Megat Mohd Shahrin, juga meluahkan rasa kecewanya terhadap apa yang berlaku. 


"Pagi tadi bawa kunjungan pegawai-pegawai Geopark dari Taman Negeri Perak melawat Masoorat Heritage Park dan fosul yang telah rosak, serta kerosakan di dinding gua termasuk grafiti akibat kru produksi yang tidak bertanggungjawab, membuat penggambaran tanpa permit. 


"Ini adalah kerosakan yang dilakukan pada gua.. tindakan tidak bertanggungjawab dari kru produksi drama yang sedang ditayangkan di Astro. Buat penggambaran tanpa izin, sangat tidak profesional. 


"Sekiranya mereka berfikir yang mereka boleh berdiam diri dan menyangka kami akan melupakannya, mereka tak tahu dengan siapa yang mereka hadap. Mereka datang tanpa diundang dan bila pergi, ini yang ditinggalkan;"


  • Fosil gigi yang dirosakkan
  • 3 kesan jelaga hitam di dinding gua dengan bau minyak tanah
  • Sampah sarap di seluruh gua. Tisu digunakan untuk solekan, lilin, pelitup muka dan lain-lain
  • Lubang digali di lantai gua
  • Grafiti di dinding gua dengan tajuk drama. 



Megat berharap, syarikat produksi berkenaan yang mengaut keuntungan besar dari drama bersiri itu dengan membuat penggambaran tanpa permit di tempat warisan untuk tampil bertanggungjawab di atas kerosakan yang berlaku. 


Sumber: The Star, FB Megat Mohd Shahrin



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.