'Dia bergurau melampau sangat...' - Lelaki londeh seluar member di majlis perayaan, maut ditikam
Seorang lelaki nekad menghabiskan nyawa rakannya sendiri kerana tidak dapat menerima perbuatan mangsa yang melondehkan seluarnya secara tiba-tiba ketika menghadiri sebuah majlis perayaan di Kampung Sugi Waras, Sumatera Selatan, Indonesia.
Dalam kejadian yang berlaku pada 21 Februari 2021, Junaidi, 44, dan Darsan, 45, dikatakan hadir di rumah salah seorang penduduk yang menganjurkan majlis perayaan.
Ketika itu, Darsan ternampak Junaidi memakai seluar kotor dan secara tiba-tiba melondeh seluar Junaidi sehingga ke paras lutut di hadapan keramaian itu. Perbuatan Darsan menyebabkan Junaidi berasa malu. Lebih teruk lagi, beberapa rakan mereka turut ketawa melihat insiden melucukan itu.
Hal itu membuatkan suspek berasa bengang dan terus mengeluarkan senjata tajam yang diselit di pinggangnya, lalu menghunus senjata itu ke arah Darsan sebelum menikam dada mangsa sehingga tidak bernyawa.
Setelah menikam mangsa, suspek terus melarikan diri ke rumah ketua kampung untuk menyerah diri dan memaklumkanya mengenai kejadian tersebut. Ketua Kampung menghubungi polis dan menyerahkan suspek untuk tindakan selanjutnya.
Suspek kini akan didakwa di mahkamah dan berdepan dengan hukuman penjara selama 15 tahun. Suspek turut meluahkan rasa kesalnya terhadap perbuatannya yang telah meragut nyawa rakan lamanya itu.
"Ya, saya menyesal dan sedih, dia rakan saya sejak dari kecil lagi. Tetapi dia mati di tangan saya. Kami selalu bergurau tetapi hanya sekadar pada percakapan sahaja, Saya sangat menyesal dengan apa yang berlaku. Saya memohon maaf kepada keluarganya (mangsa)," katanya.
Sumber: Tribun News
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment