'Sampai duduk berhimpit, sedangkan siang malam diingatkan patuh SOP' - Netizen mohon pihak berkuasa bertindak secara adil
Laporan berita berhubung pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap majlis pernikahan selebriti Neelofa dan Riz semalam yang didapati tidak mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal, sedang hangat diperkatakan netizen.
Ramai yang memberikan pandangan masing-masing dan paling utama sekali mereka berharap tiada amalan 'double standard' dalam siasatan itu kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa SOP PKP adalah terpakai untuk semua golongan.
Mengimbas semula laporan Berita Harian pada Februari lalu, seramai 19 individu termasuk pasangan pengantin ditahan polis dan dikenakan kompaun.
Difahamkan, 19 individu berkenaan terdahulu dikesan oleh anggota polis yang melakukan rondaan di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat, Langkawi, di mana mereka sedang bergambar beramai-ramai berhampiran sungai.
Siasatan mendapati, mereka tinggal di kawasan perumahan berkenaan dan ada yang datang daripada beberapa lokasi lain di sekitar pulau itu.
Akibatnya, mereka ditahan kerana berkumpul dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk keluar rumah. Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.
Pasangan selebriti yang mengadakan majlis pernikahan di hotel terkemuka di Kuala Lumpur itu pula, tetamunya dilihat duduk merapati antara satu sama lain ketika majlis sedang berlangsung.
Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur (19 Mac - 31 Mac 2021) menetapkan, penganjuran majlis pernikahan adalah dibenarkan, namun tertakluk kepada syarat-syarat ketat. Jelas dinyatakan dalam protokol bagi tetamu majlis adalah:
- Mengambil kedudukan seperti yang telah ditanda atau ditetapkan oleh penganjur.
- Mengelakkan sembang dekat (close conversation).
- Beratur mengambil makanan secara tertib dalam kedudukan penjarakan 1 meter dan mengurangkan komunikasi semasa mengambil makanan yang disediakan.
- Makan dalam kedudukan penjarakan dan tidak berkumpul semasa makan.
- Tidak bersesak di dalam lif dan tandas atau mana-manan ruang di tempat majlis dianjurkan.
- Dilarang berkumpul atau berhiumpun di luar ruang majlis sebelum atau selepas selesai majlis.
- Meninggalkan tempat majlis dengan teratur dan tidak bersesak-sesak.
Sementara itu netizen memberikan pandangan berikut:
"Bukan nak dengki, tetapi dah sampai berhimpit-himpit duduk, mana jakanya yang hari-hari pagi petang siang malam disebut? Kalau orang biasa mungkin dah kena humban dalam lokap, saman sana sini, amaun turun naik. Tang ni, semua senyap," kata Fazri Jayz.
"Kalau orang tak pakai mask, pihak berkuasa ambil gambar sebagai bukti dan terus disaman RM10,000. Yang ini dah tak perlu ambil gambar, dah senang kerja, boleh terus ambil tindakan," kata Armyn Wengx.
"Rakyat sedang memerhati wahai kerajaan dan pihak berkuasa. Undang-undang bukan untuk rakyat marhaen sahaja. Perlu bertindak secara adil," kata Makcik Kiah.
Justeru, netizen amat berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan secara telus serta tidak mengamalkan double standard dalam mengenakan tindakan undang-undang.
Sumber: Berita Harian, Majlis Keselamatan Negara, Facebook Harian Metro
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment