Budak 7 tahun ditemui mati, dipercayai ditembak bapanya (koperal) sebelum menembak dirinya sendiri


Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui mati dipercayai telah ditembak oleh bapanya yang juga merupakan anggota polis, sebelum bertindak menembak dirinya sendiri. 


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, mayat lelaki berusia 35 tahun dan anaknya itu ditemui di dalam kereta Proton Wira dengan kesan tembakan di kepala, pada jam 6.42 petang, Khamis, 25 Mac 2021, di Taman Sentosa Jaya. 


Siasatan awal polis mendapati, anggota terbabit telah menembak dirinya sendiri dengan menggunakan senjata api jenis pistol, selepas menembak anaknya. 


"Dua beranak berkenaan ditemui dengan kesan tembakan di kepala dan polis percaya, kejadian berlaku adalah bunuh diri dan bunuh," katanya. 


Anggota terbabit merupakan anggota polis berpangkat koperal dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.


Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan berdasarkan maklumat awal, polis percaya kejadian itu berkaitan dengan masalah keluarga. 


"Masih terlalu awal untuk saya beri penjelasan berhubung punca si mati ambil tindakan membunuh diri, tetapi saya percaya si mati ada masalah keluarga," katanya. 


Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan laporan mati mengejut. 


Sumber: Sinar Harian



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.