Tampar mulut & cekik girlfriend sebab tak masak, lelaki dipenjara 3 bulan


Akibat mengugut, menampar dan mencekik teman wanitanya kerana tidak memasak, seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur semalam.


Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu terhadap A Hendry Kesavan, 26, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengugut V Shamne, 21, menggunakan sebilah pisau dan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah rumah di Jalan Bukit Rawang Putra, Rawang, pada 8.30 malam, 15 Jun lalu.


Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan, dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Jun lalu.


Lelaki itu didakwa mengugut Shamne dengan mengacukan sebilah pisau berukuran 24 inci kepada mangsa, dengan niat untuk mendatangkan ketakutan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Dia turut didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.


Mengikut fakta kes tertuduh yang tidak berpuas hati kerana teman wanitanya tidak memasak, telah menampar di bahagian mulut dan mencekik leher wanita itu selain mengugutnya dengan sebilah pisau, dan tertuduh kemudian ditangkap selepas mangsa membuat laporan polis.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal, mengambil kira faktor tertuduh pernah disabitkan atas kesalahan mendatangkan kecederaan parah pada 2018, namun peguam M Mariappan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, merayu hukuman penjara singkat atas alasan pergaduhan itu berlaku kerana perselisihan faham.


Sumber: Bernama



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.