Lelaki mengaku tidak bersalah curi 15 pakaian dalam wanita
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang ditahna kerana mencuri 15 helai pakaian dalam milik dua wanita 24 Julai lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, lapor Harian Metro.
Shum Kok Fai, 28, didakwa di atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Bagi pertuduhan pertama, Kok Fai didakwa mencuri 14 helai pakaian dalam wanita milik mangsa berusia 19 tahun di belakang rumah sewa di Taman Desa Putra, Banggol Tuan Muda, Manir, Kuala Terengganu, pada 12 tengah hari.
Kok Fai turut berdepan dengan satu lagi pertuduhan mencuri sehelai pakaian dalam wanita milik seorang lagi mangsa berusia 18 tahun di alamat, waktu dan tarikh yang sama.
Tertuduh berdepan dengan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 3 Ogos depan untuk tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, Kok Fai ditahan sepasukan polis di kawasan perumahan tersebut pada jam 12.30 tengah hari 24 Julai. Pemeriksaan pada beg yang dibawa oleh Kok Fai menemui pelbagai jenis pakaian dan seluar dalam wanita.
Hasil soal siasat, Kok Fai yang bekerja sebagai buruh mengaku mencuri pakaian dalam milik dua penduduk wanita di kawasan perumahan itu.
"Malah hasil siasatan di tempat kejadian, seorang wanita yang tinggal di kawasan berkenaan turut mengakui pakaian dalam itu miliknya dan seorang rakan.
"Wanita terbabit memaklumkan pakaian milik mereka yang dijemur di belakang rumah hilang pada hari kejadian.
"Siasatan lanjut mendapati, suspek pernah ditangkap dan didakwa kerana kes pecah rumah. Bagaimanapun, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah," kata sumber.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment