'Saya harap si anak berbangga dengan pengorbanan ayahnya'
Okey, tepat jam 10 pagi.
"GEDEGANGGG!!!!!"
Bunyi pintu shutter. Satu lorong boleh dengar. Kedai dah buka.
Semasa saya keluar, bau busuk menikam dan menusukan ke dalam hidung.
"Adoii, busuknya..." terdetik dalam hati.
Oh, patutlah. Lori sampah rupanya. Lori sampah itu berhenti betul-betul di depan kedai yang sama. Kelihat seorang kelindan lori sampah turun tergopoh-gapah sambil membawa satu beg kecil berlari-lari anak menuju ke kedai yang sama.
"Cepat!! Nanti ada kereta nak lalu!" jerit pemandu lori.
"Iye! Iye! Dua helai saja," balas lelaki itu.
Lelaki itu memang nak cepat, dia keluarkan sebuah buku teks subjek Sains tahun lima sambil mencari-cari muka surat yang hendak dibuat salinan.
"Kak, saya nak ini satu, ini satu," katanya sambil menunjukkan helaian yang hendak dibuat salinan.
Saya buat andaian, mesti untuk anak dia.
Apabila dia selesai, dia cepat-cepat memasukkan buku teks dan salinan yang dilipat kemas ke dalam beg sandang dengan senyuman yang betul-betul ikhlas dari seorang ayah. Serius saya memang terharu pada masa itu.
Dari raut wajahnya, memang nampak dia puas sebab dapat membantu anaknya.
"Anak minta tolong sebab nak buat kerja sekolah. Saya tak bagi dia keluar sendiri, bahaya sekarang ni," jelasnya, mungkin dia perasan saya memerhatikannya dari tadi.
Saya angguk sahaja sambil senyum. Kagum benar saya pada abang ini.
Dia berlari semula ke lori dan meletakkan beg di depan dan kemudian berdiri lagi di belakang lori sampah. "Okey, jalan!" jerit abang itu kepada pemandu lori.
Dari kerjayanya sudah tentu bukan dari golongan orang senang bermain dengan bau busuk. Dari raut wajahnya, saya nampak hidupnya susah atau mskin. Tetapi mempunyai hati dan jiwa yang kuat untuk memastikan anaknya berjaya dan keselamatannya terjaga. Biar hidup miskin tetapi ada punca pelajaran.
Tengah bekerja, sanggup terkejar-kejar untuk membantu anaknya membuat salinan untuk buat kerja sekolah. Saya dapat bayangkan bagaimana anaknya meminta tolong dari ayahnya dan tanpa mengeluh si ayah mencuri sedikit masa bekerja untuk membantu anaknya.
Perkara ini betul-betul membuatkan saya sedar., yang selesa ini, yang ada masa ini dan yang ada kereta ini sering beri pelbagai alasan sibuk dan tiada masa bila anak meminta bantuan. Nak tengok kerja sekolah anak pun jarang-jarang.
Saya berharap agar anak abang itu berbangga mempunyai seorang ayah walaupun hanya bekerja sebagai seorang kelindan lori sampah.
Pengajaran untuk saya.
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment