'Masuk semak terus tak sedarkan diri, tapi dapat rasa kaki sedang berjalan menuruni cerun' - Remaja cerita semula misteri kehilangannya
Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas kencing di kawasan semak di kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang pada Isnin lalu masih bingung dan memaklumkan dia hanya merasakan dirinya tertidur selama satu jam, sedangkan dia sebenarnya telah hilang selama 30 jam.
Bapa saudaranya, Azizul Rahman Hamzah, 46, berkata, Muhammad Iznur Al-Azim Mahadi, 13, menceritakan kepadanya yang dia tidak sedar sebaik saja berada di kawasan semak yang gelap itu, tetapi masih dapat merasakan kedua-dua kakinya sedang berjalan menuruni cerun.
Apabila sedar pada keesokan hari, dia menyedari dirinya berada dalam semak dan sempat membuka telefon bimbit untuk memeriksa aplikasi WhatsApp sebelum tertidur semula kerana kepenatan.
Apabila tersedar, dia menyedari dirinya sudah berada jauh ke dalam semak dan bingung bagaimana dia mampu berjalan sejauh itu. Muhammad Iznur Al-Azim Mahadi, bangkit dan terus berjalan pulang ke rumahnya sebelum ditemui oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui jalan itu pada jam 5.30 petang.
Media melaporkan, Muhammad Iznur Al-Azim ditemui oleh seorang wanita bernama Kak Yah, dalam keadaan lemah, kotor sambil memegang selipar. Bagaimanapun, beberapa individu lain yang mengikuti Kak Yah pula memaklumkan mereka tidak ternampak kelibat remaja itu dan hanya menyedari kemunculannya selepas Muhammad Iznur Al-Azim dihantar pulang ke rumah ibu bapanya.
Sumber: Harian Metro
LAPORAN BERKAITAN
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment