'ASP TikTok' masih dibenarkan bertugas seperti biasa



Walaupun sedang disiasat oleh Jabatan Integriti dan  Pematuhan Standard (JIPS) gara-gara membuat siaran langsung melalui aplikasi TikTok semasa melakukan operasi/pemeriksaan di sebuah pusat hiburan baru-baru ini, pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan terbabit masih dibenarkan bertugas seperti biasa. 


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan melakukan siasatan adil terhadap pegawai itu dan dalam masa yang sama dia dibenarkan bertugas seperti biasa. 


"Siasatan kita perlu adil. Berkenaan pegawai polis yang membuat TikTok (live) semasa operasi, pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard sedang menjalankan siasatan. Kita perlu satu siasatan yang adil. Adakah keperluan untuk dia viralkan semasa operasi itu perlu? 


"Mengikutkan maklumat operasi, tidak perlulah (bertindak demikian). JIPS akan menyiasat secara dalaman. Apa pun, semua peraturan yang ada sudah dikeluarkan, perlulah dipatuhi," katanya. 


Ditanya sama ada pegawai terbabit pernah melakukan perbuatan yang sama ketika bertugas di Johor Bahru, Dazarudin berkata, perkara itu masih dalam siasatan. 


Terdahulu, video rakaman (live) pegawai terbabit tular di media sosial dan mengundang pelbagai kecaman netizen yang mendakwa pegawai itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa bertugas.


Ada beberapa pegawai polis turut berpendapat perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana bimbang wajah mereka dikenali dan akan menyukarkan operasi pihak berkuasa di kemudian hari, selain faktor keselamatan diri dan keluarga. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.