Wanita bawa ibu OKU guna motosikal roda 3 sebak, Ebit Lew hadiahkan kereta Perodua Bezza



Minggu lalu, tular video di media sosial yang menunjukkan seorang wanita berusia terbaring di ruang tepi motosikal roda tiga sambil dilindungi dari cahaya matahari menggunakan beg kecil yang dipegang penunggang motosikal berkenaan. 


Menurut sumber, video tersebut dirakam di Terengganu dan mengundang banyak rasa simpati dari warga maya yang mahu menghulurkan bantuan kepada dua beranak itu. 


Sedar video itu tular, penunggang motosikal berkenaan yang dikenali sebagai Hijrah Soleh, 40, meminta orang ramai berhenti menularkan video tersebut yang membuatkan dirinya berasa kurang selesa. 


"Alhamdulillah rakyat Malaysia memang sangat prihatin dan ia terbukti apabila saya dihujani terlalu banyak panggilan serta mesej yang mahu menyampaikan pelbagai bentuk bantuan. 


"Namun, dengan rendah hati saya ingin tegaskan bahawa hasil jualan saya masih mampu menampung perbelanjaan dan keperluan hidup setakat ini. Saya lebih gembira jika bantuan tersebut diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan," katanya memetik laporan dari Bernama. 


Dalam laporan Sinar Harian semalam, pendakwah agama, Ebit Lew, menghadiah sebuah kereta Perodua Bezza baharu kepada dua beranak itu bagi meringankan bebanan mereka. 


Jelas Ebit, kisah dua beranak itu berniaga sambil menaiki motosikal roda tiga menarik perhatiannya dan dia terus bertolak ke Terengganu dan membawa mereka ke pusat pameran kereta di Kuala Terengganu untuk membeli kereta secara tunai. 


"Lepas Subuh terus ke Terengganu, sampai tadi kakak ini terkejut dan gembira. Saya terus bawa kakak ini beli kereta dekat Perodua Kuala Terengganu. 


"Baik layanan semuanya, kterus kami bayar cash kereta ini untuk hadiah pada kakak ini," katanya menerusi posting yang dimuat naik di Facebooknya semalam. 


Dalam pada itu, Ebit juga memuji ketabahan wanita itu mengharungi dugaan tanpa bergantung harap kepada orang lain. Malah Ebit meminta orang ramai yang mahu membantu dua beranak itu, boleh berbuat demikian dengan membeli aiskrim potong secara terus atau menaja aiskrim potong mereka kepada anak yatim atau majlis berbuka puasa. 


"Makcik tadi tiba-tiba pegang tangan saya, cium dan ketawa gembira je bila dapat kereta baru. Semoga Allah berkati keluarga ini dan berikan rezeki mencurah-curah buatnya," katanya. 


Sumber: Bernama, Sinar Harian, mStar Online



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.