Beri impak serius kepada murid, KPM tegah guru rakam sesi PnP & upload ke media sosial
Foto sekadar hiasan | mStar Online |
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan suatu makluman atau garis panduan kepada guru yang membuat rakaman sesi pengajaran dalam kelas dan memuat naiknya di media sosial.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ada antara rakaman itu memberi impak serius kepada anak murid, terutama perbuatan mendedahkan pelajar atau anak murid yang sedang belajar.
"Jadi perkara ini kami sedang perincikan, apakah pendekatan paling sesuai dan kami juga telah maklumkan kepada guru untuk mengelak daripada melakukan perbuatan sedemikian kerana kesannya amat besar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Generational End Game Anti Rokok 18 (GEGAR-18) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra di sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Terdahulu, tular dua video di media sosial yang membabitkan dua guru membuat siaran langsung melalui aplikasi TikTok yang mengundang banyak reaksi netizen.
Bagi netizen, tindakan guru terbabit tidak wajar kerana guru perlu memberi tumpuan sepenuhnya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran, bukannya mengutamakan siaran langsung di TikTok yang jelas sekali bukan ditonton oleh golongan pelajar.
Selain itu, ada sesetengah guru meluahkan perkara yang tidak sepatutnya dalam siaran langsung, sekali gus menjejaskan imej warga pendidik seperti yang dilakukan oleh seorang guru wanita yang mendakwa dirinya lega apabila dapat mengajar 'kelas depan' berbanding 'kelas belakang' yang umum tahu merupakan kelas pelajar bermasalah.
Tinjauan di media sosial mendapati, netizen menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana guru jika didapati berbuat demikian agar menjadi pengajaran kepada guru lain.
"Saya perasan cikgu sekolah rendah yang suka buat video-video TikTok ni. Tolonglah fokus mengajar tu, jangan duk gedik-gedik sangat," kata Dprincess Ofstar.
"Setuju, ramai sangat cikgu TikTok dalam media sosial. Bila buat konten, selalu murid jadi 'bahan'. Cikgu syok je follower naik, nak jadi popular. Bila ditegur, sentap. Siap 'padan muka' waris," kata Roziana Baharom.
Sumber: Bernama, Facebook
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment