Duda kantoi curang dengan isteri orang, maut terjatuh dari balkoni

Foto: Ihsan PDRM | Harian Metro


Seorang lelaki berusia 46 tahun dilaporkan maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Bemban, ketika melarikan diri dari rumah kekasihnya setelah menyedari suami wanita itu pulang. 


Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11.47 pagi semalam dan saksi iaitu kekasih mangsa berusia 37 tahun yang tinggal bersama tiga anaknya mendakwa lelaki itu datang ke rumahnya pada jam 12 tengah malam selepas suaminya keluar dan bermalam di situ. 


Kira-kira jam 10.30 pagi semasa pasangan itu berada di ruang tamu, tiba-tiba suami wanita itu pulang ke rumah dan menyedari kehadiran duda berkenaan. Suami wanita itu terus bertindak mengunci pintu jeriji hadapan rumah, sekali gus menyebabkan pasangan terlarang itu terperangkap dan menghubungi polis. 


Si isteri cuba memujuk suaminya, dalam masa sama duda terbabit nekad melarikan diri dengan mengikat seutas dawai ampaian di besi palang di bahagian koridor untuk berpaut turun sambil disaksikan oleh kekasihnya. 


Tidak beberapa lama kemudian, wanita itu terdengar bunyi dentuman kuat di luar koridor dan mendapati kekasihnya tertiarap di atas tanah dan tidak bergerak. 


Pemeriksaan mendapati, mangsa maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan terdapat kesan tanah dan darah di bahagian muka di mana mangsa dipercayai terjatuh tersembam, selain lengan kirinya turut patah. 


Siasatan awal mendapati, pasangan itu berkenalan sejak 2005 dan berpisah selepas masing-masing telah mendirikan rumah tangga. Namun pada 2017, mangsa bercerai dengan isterinya sebelum mencari kekasihnya itu untuk menjalinkan hubungan biarpun mengetahui wanita itu telah berkahwin. 


Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk dibedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematiannya. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.