'Sekarang saya dah tiada ibu, adik masih kecil' - Anak kepada wanita hamil maut ditembak



Seorang wanita hamil tujuh bulan ditemui mati dengan kesan tembakan di perut, dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Repek, Pasir Mas, petang kelmarin. Turut ditemui kelongsong peluru di bahagian kaki penumpang belakang sebelah pemandu. 


Susulan penemuan mayat mangsa yang dikenali sebagai Farrah Emirah Mazlan, 26, polis menahan seorang buruh lelaki berusia 40 tahun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Menurut nenek mangsa, Zawiah Sulong, 68, Emirah keluar dari rumah pada jam 8 malam Jumaat lalu dan tidak pulang sehingga keesokan hari. Zawiah cuba mencari cucunya itu dengan pergi ke rumah rakan-rakan rapat cucunya, selain mencuba menghubungi telefon bimbit mangsa, tetapi panggilan tidak dijawab. 


"Saya cuba menghubungi ibunya, namun diberitahu anaknya tidak pulang ke sana. Khabar itu meresahkan saya sehingga ada saudara memberitahu kerita miliknya tersadai di tepi jalan. 


"Saya segera ke lokasi dan terkejut melihat orang ramai dan polis. Selepas itu barulah saya tahu kejadian sebenar. Mengucap panjang saya melihat cucu kesayangan kaku di dalam kereta dalam keadaan sudah tidak bernyawa. 


"Tiga anak arwah ada dengan saya berusia tiga hingga 10 tahun dan mereka masih dalam keadaan terkejut. Malah yang paling kecil asyik menangis mencari ibunya kerana mereka sangat akrab," katanya. 




Difahamkan, Emirah dijaga oleh Zawiah semenjak berusia 10 hari dan tinggal bersama selepas mangsa bercerai dengan suaminya Februari lalu. Emirah dikatakan baik dan peramah, tidak keluar malam melainkan ada urusan penting. 


"Saya agak terkejut kejadian sebegini menimpanya. Dia tidak pernah bercerita jika ada bermusuh atau sebagainya," katanya. 


Sementara itu, anak sulung mangsa, Mohamad Mustaqim Darwish Mustafa, 10, mengakui masih terkejut dan hanya mengetahui kejadian itu selepas dibawa ke lokasi kejadian. 


"Sekarang saya dah tiada mami, saya sangat sedih, lagi pun adik masih kecil. Saya tak tahu kenapa 'orang itu' tembak mami yang sangat saya sayang. Lagi pun mami orang baik. 


"Saya hanya tahu mami meninggal dunia selepas dibawa ke lokasi kejadian petang semalam. Saya lihat ibu kaku di sebalik tingkap kereta. Kali terakhir kami berjumpa Jumaat malam lalu sebelum mami keluar. Saya sempat mengirim nasi goreng untuk dimakan jika dia pulang. Tetapi tidak kesampaian," katanya. 


Ibu mangsa, Siti Haja Said, 47, tidak menyangka perbualan melalui telefon pada Jumaat lalu merupakan perbualan terakhir mereka. 


"Walaupun arwah diperlihara ibu mentua sejak kecil, kami sentiasa berhubung dan turut berkongsi kegembiraan perkembangan bayi dalam kandungannya. Saya terima dengan reda namu berharap agar polis dapat mencari pembunuh dan memberinya hukuman setimpal," katanya. 


Polis tidak menolak kemungkinan motif cemburu antara punca mangsa mati ditembak suspek yang mempunyai hubungan dengan mangsa. Kes masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.