Mangsa enggan buat laporan polis kerana menganggap dirinya 'orang kecil', manakala Ebit Lew 'orang besar' - Saksi



Pendakwah Ebit Lew atau nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, berdepan dengan 11 pertuduhan gangguan seksual terhadap seorang wanita dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke telefon bimbit mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021, mula menghadapi perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.


Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan. 


Dalam perbicaraan hari ini, individu yang dikaitkan dengan kes tersebut dikatakan enggan membuat laporan polis pada awalnya kerana menganggap dirinya hanyalah 'orang kecil', berbanding tertuduh yang dianggap sebagai 'orang besar'.


Saksi pertama pendakwaan, Mohd Fairuz Abu yang juga pakar motivasi berkata, sebelum ini dia menerima puluhan mesej di WhatsApp daripada individu yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual termasuk yang dilakukan tertuduh. 


"Salah seorang individu yang menghubungi saya adalah (identiti tidak boleh didedahkan) pada jam 11.04 malam 26 Julai 2021. Ada juga mangsa lain yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual Ebit Lew, tetapi mereka tidak meletakkan nama mereka kerana takut dan tidak berani tampil ke depan. 


"Pada awalnya pengadu bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam posting di Facebook. Bila saya menyebut berkaitan Ebit Lew, maka pengadu terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengan beliau.. juga menghantar gambar (lucah) yang diberikan oleh Ebit Lew melalui WhatsApp," katanya. 


Mohd Fairuz berkata demikian semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani. 


Fairuz menjelaskan, dia kemudian menasihatkan pengadu untuk membuat laporan polis. Tetapi pengadu enggan berbuat demikian kerana menganggap dirinya orang kecil, manakala Ebit Lew orang besar. 


Tetapi Fairuz menjelaskan kepada pengadu bahawa ruang dan peluang itu perlu diambil kerana jika tiada tindakan awal, lebih ramai lagi yang akan menjadi mangsa gangguan seksual. 


Bagaimanapun, peguam mewakili Ebit Lew, Ram Singh, membantah jawapan itu yang dikatakan bersifat tuduhan tanpa bukti dan tidak boleh direkodkan melainkan saksi mempunyai bukti laporan polis. 


Zahida membalas bantahan itu dengan menyatakan, apa yang dikatakan oleh saksi itu adalah perbualan antara dia dengan pengadu di mana pengadu juga akhirnya membuat laporan polis dan dipanggil untuk memberi keterangan. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.