Rakyat bayar tol untuk 'menikmati' kesesakan lalu lintas

Foto sekadar hiasan | Vocket


Sejak Malaysia beralih ke fasa endemik Covid-19 April lalu, hari dari hari semakin ramai yang membebel gara-gara terperangkap dalam kesesakan di ibu kota dan kawasan sekitarnya.


Perjalanan yang lazimnya hanya 40 minit ke satu-satu destinasi kini boleh sampai dua jam. Dua jam pergi dan dua jam balik, ba­yangkan betapa siksanya memandu di Lembah Klang sekarang.


Ketika cuti sekolah minggu lalu, kelompok yang tidak balik kampung menggambarkan mereka akan berseronok memandu kereta ulang-alik dari pejabat. Namun yang berlaku sebaliknya malah ke­sesakannya berganda dan lebih teruk tidak mengira waktu.


Faktor kesesakan sudah tentu pelbagai dan yang pasti Malaysia semakin banyak kenderaan. Ia diburukkan lagi apabila hujan, kemalangan, pembinaan dan paling tidak boleh diterima jika polis membuat sekatan jalan.


Apabila rakyat kecoh hal kesesakan seperti biasa kerajaan muncul dengan idea menyeru rakyat menggunakan pengangkutan awam.


Namun, tahukah pak menteri yang bertanggung jawab ke atas hal ehwal pengangkutan awam, penggunaannya juga tidak kondusif dan lebih teruk membazir masa seperti memandu kereta dalam kesesakan.


Faktornya, jaringan pengangkutan seperti LRT, MRT atau komuter belum sepenuhnya selain masalah tidak sistematik.


MRT, LRT mahupun komuter hanya tersedia di beberapa lokasi tetapi kerajaan seperti mengharapkan penduduk satu negara memanfaatkan kemudahan tersebut.


Bagi yang tiada pilihan untuk tiba ke stesen pengangkutan awam, mereka perlu memandu kereta dan membayar caj tempat letak kereta.


Apabila tiba ke stesen terakhir dinaiki, individu itu perlu pula memikirkan untuk sampai ke destinasi yang mahu dituju. Jika destinasi itu berdepan stesen LRT, MRT atau komuter, sudah tentu ia ‘bonus’ buat individu itu.


Tetapi jika sebaliknya, bersedialah mengeluarkan wang Grab atau tunggu masa lama sedikit naik bas percuma. Selepas conggak sana sini, pilihan menggunakan pengangkutan awam bukan murah tetapi boleh jadi berganda berbanding memandu kereta.


Lebih mengharukan, beberapa kali dalam tahun ini sahaja, komuniti menggunakan pengangkutan awam kerap meroyan kerana masalah teknikal kepada MRT dan LRT.


Bila berlaku keadaan itu media sosial menjadi tempat ‘mengadu’ kerana menyedari masalah itu lebih pantas menerima maklum balas pihak bertanggungjawab.


Membincangkan perihal pengangkutan awam dan lain-lain kemudahan komuniti di negara ini sangat memenatkan sampai timbul slogan warga Lembah Klang bayar tol untuk ‘nikmati ke­sesakan’.


Mungkinkah betul saranan segelintir pihak yang mencadangkan agar pak menteri, ketua-ketua kantor dan semua pemimpin politik meniru pegawai kerajaan di Sweden sama-sama menikmati pengangkutan awam yang diideakan mereka.


Khabarnya menteri dan ahli parlimen di Sweden tidak ba­nyak keistimewaan seperti menteri-menteri di Malaysia sampaikan panggilan telefon pun ada pembantu untuk menjawabnya.


Dari situ, penggubal dasar boleh memahami keperluan rakyat dan bukannya melaksanakan dasar-dasar hasil cadangan demi cadangan yang akhirnya tidak banyak faedah, malah membazir lagi.


Sumber: Teo Ng (Pengarang Berita Utusan Malaysia



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.