Tips Untuk Elakkan Pembaziran Di Bulan Ramadhan



Bulan Ramadan sering dijadikan sebagai bulan berbelanja, sama ada membeli belah di bazar untuk berbuka, ataupun persiapan perayaan yang sering disambut dengan gilang-gemilang.
Kadang-kadang dalam keghairahan menyediakan persiapan itu, kita terlupa bahawa kita telah melakukan pembaziran. Allah SWT sangat tidak menyukai perbuatan ini.
Larangan mengenai pembaziran telah Allah SWT jelaskan dalam firmanNya;


“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada TuhanNya.”(al-Isra’ : 26 dan 27)

Terdapat beberapa cadangan dalam usaha kita mengelak pembaziran, antaranya;

#1 – Membuat Rekod Pembelian

Membuat kira-kira ini mestilah berdasarkan rancangan untuk membeli berdasarkan kemampuan sendiri. Catat terlebih dahulu barangan yang hendak dibeli mengikut nilaian yang paling penting. Kemudian, bandingkan dengan wang yang dimiliki, sama ada mencukupi ataupun tidak.
Rancangan pembelian ini bertujuan penting untuk meminimumkan perbelanjaan dan mengelakkan pembaziran.

#2 – Membuat Kajian Harga

Dalam keghairahan membeli barangan, jangan lupa untuk mengkaji harga terlebih dahulu, iaitu membandingkan harga-harga di kedai yang berlainan. Kadang-kadang, terdapat banyak perbezaan harga walau pada barang yang sama. Hal ini supaya dapat mengelakkan perbelanjaan yang lebih untuk sesuatu barang yang lebih murah nilainya.

#3 – Cuba Mengawal Nafsu Dan Kehendak

Bukan hanya ketika berpuasa sahaja kita perlu menahan nafsu dan kehendak, malah ketika berbelanja juga begitu. Semasa membuat persiapan, jangan terlalu mengikut perasaan. Elakkan membeli juadah berbuka secara berlebihan kemudian makanan itu dibuang begitu sahaja kerana tidak habis dimakan. Bukankah itu sudah membazir?
Begitu juga dengan persiapan perayaan, belilah secara berhemah. Jangan membeli kerana memenuhi keinginan dan kehendak mahupun untuk menunjuk-nunjuk kepada jiran.

#4 – Mengawal Wang Tunai

Bagi golongan yang sukar untuk mengawal kehendak semasa membeli, cuba kawal aliran pengeluaran tunai dengan wang yang cukup-cukup untuk membeli barangan penting sahaja. Ini bagi mengelakkan tindakan ‘terlebih berbelanja’ tanpa dirancang.

#5 – Berbuka Puasa Dan Bersahur Di Rumah

Berbuka di rumah adalah lebih menjimatkan daripada berbuka di luar seperti di restoran, hotel atau sebagainya. Ini kerana di tempat yang selesa sebegitu kita terpaksa membayar dengan harga yang lebih mahal untuk makanan yang boleh kita dapati di rumah sahaja.

#6 – Bertukar-Tukar Juadah

Hal ini boleh dipraktikkan ketika bulan puasa ataupun pada hari raya Aidilfitri. Bertukar-tukar juadah dengan jiran tetangga ataupun kenalan dapat menjimatkan, selain mampu mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
Sehubungan itu, sebagai umat Islam, selain dilarang melakukan perkara yang lalai dan merugikan, kita juga ditegah melakukan perbuatan yang membazir. Pembaziran adalah perbuatan yang dilarang pada bila-bila masa pun, bukan pada bulan Ramadan sahaja. Jadi carilah cara bagi mengelakkan diri tergolong dalam golongan yang kerap membazir ini.
Bulan Ramadan adalah bulan yang suci berbanding bulan-bulan yang lain, jadi hiasilah bulan Ramadan dengan perkara-perkara yang baik dan jauhkanlah diri dari hal yang tidak disukai Allah SWT. Semoga ruang untuk melakukan pembaziran pada bulan Ramadan dibendung dengan sifat bersederhana dan sifat-sifat baik yang lain.

Sumber: Utara News


via Bin Usrah

Sumber : Gengviral

Sumber : SuperKiram

No comments

Powered by Blogger.