Bayi berusia sebulan ditemui mati dalam keadaan meniarap di atas tilam


Seorang bayi lelaki yang baru berusia sebulan ditemui meninggal dunia di rumah ibu bapanya di Taman Nusa Bayu, dekat Gelang Patah, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian itu disedari oleh ibu dan bapa bayi itu pada 6 pagi selepas bayi berkenaan yang dikenali sebagai Aaron Hidayat Abdullah didapati tidak sedarkan diri.

“Bayi itu dijumpai dalam keadaan meniarap di atas tilam dengan keadaan bibir kebiru-biruan,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah bayi itu tidur bersendirian di tingkat atas rumah itu.

Ketika kejadian, ibunya yang bekerja sebagai pemandu pelancong dikatakan baru pulang dari bekerja pada 5.30 pagi sementara bapanya, yang merupakan pemandu van sekolah, dikatakan tidur di tingkat bawah.

Dzulkhairi berkata ibu bayi berkenaan cuba mengejutkan mangsa berkali-kali namun tiada tindak balas dan mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Gelang Patah sebelum disahkan meninggal dunia.

“Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau khianat dan tiada kecederaan terhadap mangsa.

“Mangsa juga tidak mempunyai sebarang penyakit dan tidak menjalani apa-apa rawatan sebelum ini selain berada dalam keadaan sihat,” katanya sambil menambah kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan disiasat mengikut Sesyen 3(1) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001. 

Sumber: BERNAMA


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.