'Pekerja saya hanya bergurau dengan mereka' - Pengusaha pusat jagaan nafi dera warga emas


Pengusaha Pusat Jagaan Warga Emas dan Terapi Fitrah, Azrin Shala, 49, tampil menafikan dakwaan dia mendera warga emas yang dijaganya seperti yang viral di Facebook. 

Menurut Azrin, dia kecewa dengan tindakan pihak terbabit yang dipercayai sengaja menabur fitnah itu pada pusat jagaannya di Taman Seremban 3, yang beroperasi sejak enam tahun lalu. 

Difahamkan, seramai 12 warga emas berusia 65 tahun ke atas ditempatkan di pusat itu. 

"Kenapa sampai begitu sekali tuduhan terhadap saya? Video dan gambar yang tular itu memang di pusat jagaan saya tetapi tuduhan itu tidak betul. Saya tidak pernah mendera mereka (warga emas), malah pekerja saya juga buat kerja mengikut prosedur ditetapkan.

"Mengenai video itu, pekerja saya hanya bergurau dengan mereka dan gambar yang tular itu pun dari dalam bilik persalinan disediakan khas untuk memakaikan pampers kepada warga emas di sini," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Selasa.

Jelas Azrin, kebanyakan penghuni di pusat itu mempunyai masalah kesihatan dan dihantar oleh waris mereka untuk penjagaan rapi dengan bayaran RM1,300 hingga RM1,600 sebulan bergantung kepada tahap kesihatan. 

Azrin menegaskan, pusat jagaannya yang mempunyai tiga pekerja untuk menguruskan warga emas setiap hari itu turut mempunyai lesen dan berdaftar dengan JKM.

Azrin tidak menolak kemungkinan video itu diviralkan di media sosial oleh 'orang dalam' yang tidak berpuas hati dengannya. Tetapi dia enggan menuduh sesiapa, hanya berharap individu itu bermuhasabah diri. 

"Kalau dia berdendam dengan saya, datang jumpa saya, bukannya buat macam ini. 

"Saya tidak mahu mengaibkan sesiapa dan mahu selesaikan cara baik. Buat apa nak besar-besarkan kes ini kerana kasihan dengan orang di sini (warga emas)," katanya yang juga telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.