'3 jam menanti, takkan 4-5 petugas ditempatkan di KLIA? Sehebat inikah KKM?' - Penumpang dari Sabah luah rasa kesal & pertikai persiapan KKM
Viral di media sosial seorang lelaki meluahkan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menunggu lama untuk disaring selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Sabah.
Umum tahu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan arahan bahawa mana-mana individu yang melakukan penerbangan domestik dari Sabah perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Arahan itu dikeluarkan susulan peningkatan kes secara mendadak terutamanya di Sabah yang juga baru-baru ini selesai Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Sudah tiga jam menanti tanpa taklimat/arahan spesifik, tanpa makanan dan minuman. Fikirkanlah anak-anak kecil dan warga emas yang ada. Kalau dah bersesak-sesak begini, tiada Covid-19 pun boleh kena jangkitan.
"Takkan 4-5 orang sahaja Petugas Kesihatan yang ditempatkan di KLIA untuk buat saringan Covid-19 bagi ribuan penumpang yang terbang dari Sabah?
"Hari ini Ahad, tambahan pula baru habis PRN Sabah, sudah pastilah banyak penerbangan dari Sabah.
"Sehebat inikah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan YB Menteri Dr Adham Baba?" tulis lelaki itu pada jam 9.10 malam Ahad di Facebooknya.
22 minit kemudian, KKM mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu di mana pihaknya telah menambah kakitangan di KLIA dan KLIA 2 untuk menjalankan ujian saringan terhadap semua penumpang dari Sabah yang tiba di pintu masuk domestik.
Respon pantas KKM itu dipuji netizen namun dan dalam masa yang sama mengecam status Facebook lelaki terbabit yang dianggap tiada kesabaran dan mempersoalkan tindakan KKM yang dikatanya kurang bersedia dalam menghadapi situasi itu, sedangkan frontliner sedang bertungkus lumus setiap masa menjalankan tugas mereka yang berdepan dengan risiko kehilangan nyawa.
Enggan status disalah ertikan, lelaki itu tampil menjelaskan bahawa, status Facebooknya itu adalah menggesa golongan warga emas, OKU, kanak-kanak dan wanita mengandung diberi keutamakan agar tidak turut serta dalam kesesakan yang memenatkan itu.
"Isu utamanya adalah persiapan untuk melaksanakan tugas tidak dirancang dengan baik oleh pihak terbabit.
"Pada awalnya kami dibiarkan sahaja selama beberapa jam tanpa penerangan dan juga arahan yang sepatutnya. Apabila makin ramai bersuara, barulah ada tindakan yang lebih baik.
"Saya tetap menekankan perkara melibatkan golongan yang sepatutnya didahulukan seperti warga emas, OKU, ibu mengandung dan bayi, ibu yang membawa anak ramai, kanak-kanak yang sukar dikawal aktivitinya.
"Sudah tentu kita tidak mahu mereka mengalami masalah atau timbul isu-isu yang tidak sepatutnya berlaku.
"Kalau kena batang hidung ahli keluarga sendiri, pasti ada juga netizen yang gegak gempita menyalak, histeria dan huru hara.
"Netizen memang mudah mengecam tetapi tidak merasai sendiri bagaimana keadaan kami tadi bersesak-sesak. Penerbangan mendarat setiap jam tetapi penumpang masih lagi terkandas kerana kekurangan kakitangan terbabit," katanya.
Sumber: Facebook Pengadu dan Facebook KKM
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment