'Balqis gigit Bella selepas dia pakai pencuci mukanya' - Siti Bainun nafi dera Bella, sanggup berhabis duit beli ubat untuk rawat Bella



Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, menjelaskan kesan gigitan pada perut Bella adalah berpunca daripada gigitan bekas penghuni Rumah Bonda yang dikenali sebagai Balqis. 


Ketika dalam prosiding bela dirinya pada hari kedua di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Siti Bainun mendedahkan dua remaja berkenaan bergaduh ekoran Bella menggunakan pencuci muka milik Balqis. 


"Dua-dua sebenarnya gigit-menggiti selepas Bella pakai pencuci muka Balqis. Selepas pakai (krim), (merek) berlari (dan) berkejar satu rumah sebelum masing-masing gigit satu sama lain. 


"Saya letak minyak gamat dan krim, malah saya marah dua-dua sama macam ibu bapa lain tegur anak-anak apabila bergaduh," katanya. 


Kesan melecur pada badan Bella pula berlaku apabila dua remaja itu bergaduh pada Mei 2021 menyebabkan termos berisi air panas tersimbah ke arah Bella. 


Siti Bainun menegaskan dia tidak mendera Bella dan jika benar dia berniat untuk mendera, tidak mungkin dia akan cuba menyembuhkan remaja itu. 


"Saya tidak mendera Bella. Jika benar saya berniat untuk mencederakan Bella, tidak mungkin saya cuba menyembuhkan Bella, bertanya kepada ahli farmasi ubat-ubatan yang sesuai untuk merawatnya dan menghabiskan wang ringgit bagi membeli segala keperluan dan ubat-ubatan terbaik untuknya. 


"Saya pun tak faham, kenapa Bella dan Balqis ini tidak boleh sesuaikan diri," katanya yang turut menjelaskan isu pergaduhan itu diakui oleh Bella sendiri ketika prosiding pendakwaan sebelum ini. 


Dalam pada itu juga, Siti Bainun berkata, hasil pemeriksaan doktor (saksi pendakwaan kedua) di bahagian kecemasan dan trauma, Dr S Meenambigai pada paru-paru, abdomen dan kaki Bella juga menunjukkan keputusan normal. 


"Bella ini memang sangat-sangat sihat. Dia tidak ada sakit asma atau apa-apa sakit. Dapatan ini menunjukkan saya tidak pernah memijak perut, menendang perut, menyuruh berdiri lama dan apa jua jenis penderaan yang direka saksi tidak pernah berlaku. 


"Malah kaki Bella dilaporkan tidak bengkak, sedangkan saya dikatakan setiap hari mengarahkan dia berdiri terlalu lama," katanya. 


Semasa prosiding pendakwaan pada 8 April lalu, saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 20, mendakwa Siti Bainun telah mengarahkannya untuk menggigit Bella kerana Bella tidak mengikuti arahannya untuk berdiri di bahagian dobi kediaman mereka. 


Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.