'Dia ingat penguat kuasa bengap macam dia?' - Lelaki kantoi berkhalwat selepas gagal buktikan wanita dalam bilik adalah adiknya
Ahad lalu, sepasang kekasih berusia 29 dan 28 tahun dicekup oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada jam 1.55 pagi kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel bajet di Klebang.
Semasa ditahan, lelaki terbabit sanggup bertegang urat dan bersungguh-sungguh mengatakan kepada pegawai penguat kuasa JAIM bahawa wanita itu adalah adik kandungnya.
Sebelum itu, pegawai penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan meminta pasangan berkenaan memberi kerjasama untuk diperiksa. Namun, mereka terpaksa menunggu lebih kurang 10 minit untuk pasangan berkenaan membuka pintu bilik.
"Ketika diminta menjelaskan situasi berdua-duaan dengan seorang wanita, pemuda itu berkali-kali mendakwa pasangannya itu adalah adiknya. Namun gagal memberikan sebarang bukti atau dokumen berkaitan.
"Selepas hampir lima minit menjelaskan perkara itu, mereka akhirnya mengaku bukan adik beradik dan bermalam di situ untuk berehat," kata Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat.
Pasangan itu kemudian ditahan untuk membantu siasatna mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkurung hingga mendatangkan syak dengan seorang perempuan bukan muhrim.
Jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Pasangan terbabit adalah antara 10 pasangan kekasih yang ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah sempena Tahun Baharu Cina di kawasan Simpang Ampat dan Rembia, Alor Gajah.
Sumber: Harian Metro
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment