'Kecewa dapat burger berkulat, ayam goreng mentah' - Restoran makanan segera dikompaun RM1,000



Baru-baru ini seorang wanita meluahkan rasa kecewanya terhadap sebuah restoran makanan segera yang didakwa menjual roti burger yang sudah berkulat dan ayam goreng mentah kepadanya pada Selasa lalu. 


"Berasa nak makan ayam (goreng) tapi ini yang saya dapat dengan harga dibayar. Roti keras kejung dan berkulat. Ayam (goreng) pula tidak masak, berbau macam (stok) lama. Kecewa rasanya. 


"Biasanya saya baca orang kata restoran ini teruk, tetapi kali ini terjadi pada diri sendiri," kata pengadu yang dikenali sebagai Dhia Fadhila menerusi hantaran di Facebook. 






Susulan dakwaan itu tular di media sosial, Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, telah mengenakan kompaun RM1,000 terhadap restoran berkenaan kerana gagal memastikan kebersihan premis berada pada tahap yang ditetapkan di bawah Akta 35 (1)(B) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. 


Serbuan yang dijalankan oleh penguatkuasa pada jam 4 petang Rabu mendapati kebersihan tandas dan dapur juga kurang memuaskan. Selain itu, bekas tempat meletak sos tidak diselenggara dengan baik, sistem perangkap minyak tidak diselenggara dengan betul, serta longkang di belakang premis juga kotor. 


Pihak pengurusan restoran terbabit diarahkan untuk meningkatkan kebersihan premis dalam tempoh 14 hari selaras Seksyen 10 Akta Makanan 1983. 


Sumber: Kosmo Online



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.