'Suhu badan tinggi, dah beri ubat bontot dan lap badan tapi suhu masih tinggi' - Ibu dan 2 anaknya terkena Virus Influenza A


Penyebaran virus semakin menular. Ia bukan sahaja boleh dijangkiti oleh bayi, kanak-kanak orang dewasa,malahan pesakit kronik. Terbaharu, virus influenza A sudah merebak ke semenanjung dan juga negeri Sarawak.

Menurut artikel yang dipetik dari kpkesihatan, Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A (H1N1). Ia merupakan sebahagian daripada influenza bermusim (seasonal influenza). Ini disebabkan cara jangkitan, tanda-tanda jangkitan dan risiko untuk mendapat jangkitan dan komplikasi akibat Influenza A (H1N1) adalah serupa dengan influenza bermusim (seasonal influenza) yang lain.

Bella Littlebox's Sarawak berkongsikan pengalamannya serta dua orang anaknya yang dijangkiti virus ini. Justeru itu, dia menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan membuat perlindungan diri agar virus itu tidak tersebar kepada orang lain.

Virus Influenza A di Kuching!

Kalau anak-anak korang demam suhu tinggi dan susah nak sembuh, anak korang mungkin dijangkiti Virus Influenza A. 

8 Februari jam 1 tengah hari, bangun dari tidur, badan Bella rasa panas. Jadi ingatkan demam biasa, jadi cuma beri paracetamol. Lebih kurang jam 4 petang, suhu badan Hana masih rasa panas, terus beri Paracetamol dan bersiap untuk pergi ke klinik. 

Kami terus pergi ke Klinik Dr Siew, klinik kanak-kanak di KPJ Hospital. Doktor kata demam biasa dan tidak perlu antibiotik sebab tekak masih tak ada merah. 

Jam 7-8 malam di rumah, suhu badan kedua-duanya naik. Jadi masukkan ubat bontot. Tetapi tiada banyak perubah dan suhu masih tak turun banyak. 

Jam 12 malam, 9 Februari, suhu badan Bella semakin tinggi. Sudah dilap badannya dengan air, suhu masih tidak mahu turun dan dia mula mengadu kesejukan. Jadi suami pecut membawa dia pergi ke KPJ lagi dan doktor cuma masukkan ubat cucuk bontot (PCM) dan balik ke rumah. 

Jam 4 pagi, sekali lagi periksa suhu badan Hana, dah mencecah 39.9'C. Tak sangka suhu badannya pun naik juga sebab dia diam dan tidur tak berbunyi. Terus masukkan ubat cucuk bontot dan sekali lagi pecut bawa Hana ke KPJ. 

Hana muntah air sebelum turun dan semasa dalam perjalanan ke KPJ. Dia diam dan tak berbunyi, seperti keliru, takut dan terkejut. Risau hati saya melihat keadaannya. Sampai di KPJ pada waktu subuh, terus admit. 

Hari pertama di KPJ, Bella dan Hana dimasukkan air dan antibiotik. Demam masih tak pulih dan suhu badan masih tinggi. Tengah hari, saya rasa dah berjangkit juga. Suhu badan naik sampai 40.6'C, bergegar seluruh badan. Pergi x-ray clear dan result darah kata ada jangkitan. 

Ada seorang sahabat Facebook komen di gambar Bella dan Hana admitted, seperti simptom influenza katanya. Jadi saya terus Google dan ya, simptomnya sama. Demam tinggi yang tak kebah. 






Terus saya bertanya pada doktor yang merawat Bella dan Hana, apa punca demam mereka? Katanya jangkitan biasa sahaja. Tetapi saya sebagai ibu terus menekan doktor, adakah anak-anak saya dijangkitan virus influenza A? Doktor pada awalnya kata bukan. Sebab simptomnya sama seperti demam biasa dan rasanya doktor pun tidak menjangka mereka dijangkiti influenza. 

Jadi, saya terus memaklumkan kegusaran di hati saya pada doktor, kenapa suhu badan mereka berdua tinggi dan tak kebah, malah dah mula selesema serta batuk. Saya bimbang mereka berdua dijangkiti virus influenza. 

Jadi doktor terus buat ujian untuk influenza pada Bella, buat 'Nasal Swab'. Influenza tidak dapat diperiksa melalui darah. Cara untuk memeriksanya perlu mengambil sampel cecair dalam hidung dan tekak menggunakan putik kapas. 

Sejam dua kemudian, keputusannya keluar. Bella positif influenza A dan Hana juga terus diperiksa, begitu juga dengan saya. Akhirnya ketiga-tiganya didapati positif influenza A. 

10 Februari, saya, Bella dan Hana admitted wad malam tadi, drip air dan on antibiotik. Ada satu ubat ditambah, ubat khas untuk influenza A 'Antiviral', namanya Tamiflu. 





Jadi, memang kenyang ubat kami bertiga di situ. Bella, Hana dan saya semua diberi Neb. Bella dan Hana suhu badan masih tinggi. Sudah diberi mandi pun suhu masih tak nak turun, kekal di 38-39-40'C. 

Tiga hari itu memang menganggu emosi saya. Hati bingung sebab takut jadi komplikasi lain bila suhu terlalu panas. Ubat bontot entah berapa kali telah dimasukkan pada mereka. Tetapi masih mengikut dos yang dibenarkan. Saya pun ada sekali disuntik pada bontot kerana suhu terlampau tinggi. 

11 Februari, Alhamdulillah hari keempat suhu Bella dan Hana sudah tidak naik lagi. Tetapi masih tak dibenarkan keluar sebab doktor nak pastikan dia benar-benar okay. Ubat masih makan seperti biasa dan Neb masih diteruskan. 

13 Februari, saya, Bella dan Hana sudah dibenarkan keluar pada jam 10 malam. Sambung makan ubat Tamiflu Antiviral di rumah. 

Alhamdulillah, sakit itu penghapus dosa-dosa kecil. Tak kira macam mana sempurna pun kita menjaga kesihatan, kalau Allah nak ia terjadi maka terjadilah ia. Kun Faya Kun. 

Menurut doktor yang merawat kes kami, semakin banyak kes influenza A di Kuching dan Sri Aman pada masa ini dan mereka masih tidak tahu di mana dan apa puncanya. Kami pun tak tahu di mana punca kami anak beranak terkena jangkitan penyakit ini. 

Tiada aktiviti luar biasa yang dibuat sebelum ini. Hanya keluar makan, berjalan di pusat beli belah, pulang ke rumah, bermain di depan rumah sahaja. Rasanya kami terkena pada hujung minggu. Kami lebih banyak duduk di rumah dari kebiasaan. 

Pada pendapat peribadi saya, memang susah dan tidak dapat kita nak elakkan dari virus ini. Walaupun kita tidak membawa anak-anak keluar, peram di rumah saja. Ibu bapa sendiri yang keluar bekerja, keluar membeli barang juga boleh menjadi pembawa virus sehingga berjangkit pada anak-anak. 

Virus ini terlalu senang merebak. Pergi ke pasar, pergi kerja, pergi beli barang dah boleh berjangkit sebab caranya tersebar senang saja iaitu melalui udara dan sentuhan. 

Orang yang dijangkiti boleh memindahkan virus influenza apabila batuk atau bersin melalui hidung berhingus yang mengandungi titisan virus influenza. Orang lain boleh dijangkiti influenza apabila menyedut titisan terbabit atau titisan termasuk ke dalam hidung atau mulut mereka selepas tersentuh permukaan yang tercemar. 

Sesiapa sahaja boleh terkena sama ada orang tua, orang muda, kanak-kanak dan bayi. Yang paling bahaya adalah orang tua, wanita mengandung, kanak-kanak dan orang yang ada penyakit kronik seperti asma dan kencing manis. 

Orang muda antibodinya kuat, InshaAllah dapat melawan. Suami saya rasanya terlebih dulu sudah kena sebelum kami tiga beranak sebab dia yang demam dulu sehingga suhu badan mencecah 40'C. Tetapi dia pulih sendiri dengan memakan ubat uphamol, ubat batuk dan ubat selesema.

Saya dan dua anak-anak saya sudah sihat, cuma masih batuk berkahak, kesan dari virus tersebut. Saya pun masih sakit tekak, rasa luka dalam tekak. Jadi benda yang dapati dibuat pada masa ini, kalau rasa anak-anak demam luar biasa yang susah nak kebah, batuk, selesema, bawa anak terus ke hospital. 

Kalau rasa diri korang yang sudah membawa virus itu, duduk di rumah dan jika perlu keluar dari rumah, pakai topeng muka untuk mengelakkan virus itu tersebar. 



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.