'Tergamak depa tinggalkan mayat anak saya macam itu' - Hancur luluh hati ibu mengetahui anaknya maut ditembak rakan kerana disangka kijang
Foto kiri: Harian Metro |
Mayat seorang lelaki ditemui terbaring di dalam hutang berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Bintang Hijau, Jalan Kupang, Gerik, Khamis lalu.
Mayat Mohamad Haniff Mat Zabidi, 24, ditemui orang awam kira-kira jam 4 petang selepas tidak pulang ke rumah sejak empat hari lalu.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, hasil temubual dengan keluarga mangsa mendapati, mangsa dipercayai keluar untuk memikat burung di hutan berkenaan sejak Ahad lalu.
Menurut abang sulung mangsa, Mohd Hazwan Mat Zabidi, 29 berkata, adiknya memang minat memikat burung sejak dari dulu lagi dan kali terakhir bertemu dengannya sebulan yang lalu.
Mohd Hazwan | Foto Harian Metro |
"Adik memang minat memikat burung sejak dulu lagi dan apa yang saya tahu dia masuk ke dalam hutan pada Ahad lalu untuk memikat burung.
"Sudah lama tidak berjumpanya kerana saya bekerja di luar kawasan dan kali terakhir kami bertemu lebih kurang sebulan yang lalu dan masa itu adik tidak menunjukkan apa-apa perubahan sikap.
Sumber polis mengatakan, bedah siasat yang dijalankan turut menemui kesan tembakan di bahagian kepala mangsa.
Susulan ketiadaan mangsa, penduduk kampung serta orang ramai kemudian cuba mencari mangsa sebelum ditemui dalam hutan.
"Motosikal adik juga ditemui, namun jauh dari lokasi mayatnya ditemui. Kami sekeluarga juga tidak tahu sama ada dia masuk ke dalam hutan itu secara berkumpulan atau berseorangan," kata Mohd Hazwan.
Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Charok Kapas, Baling, pada Jumaat lalu.
Susulan dari kejadian itu, polis telah menahan tiga lelaki yang juga merupakan rakan mangsa berusia antara 26 hingga 39 tahun pada jam 9.30 malam Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya ABd Rahman berkata, siasatan awal mendapati mangsa keluar bersama tiga suspek untuk memburu binatang di hutan berkenaan menggunakan senapang patah buatan sendiri dipercayai milik seorang daripada penduduk kampung berusia 65 tahun yang memiliki lesen senjata api.
Seorang daripada suspek telah melepaskan tembakan berikutan menyangka mangsa adalah seekor kijang.
"Ketika berburu, mereka berpecah dan seorang daripada suspek telah melepaskan tembakan kerana menyangka mangsa adalah seekor kijang.
"Hasil soal siasat mendapati, suspek panik dengan kejadian itu sebelum meninggalkan mayat mangsa di lokasi kejadian," katanya.
Polis telah merampas senapang patah dan peluru yang digunakan dalam kejadian itu. Ketiga-tiga suspek direman selama lima hari bermula Jumaat lalu sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hanisah Aziz | Foto Harian Metro |
Sementara itu, ibu mangsa, Hanisah Aziz, 48, kesal dengan tindakan tiga suspek yang tergamak meninggalkan mayat mangsa di dalam hutan.
"Tergamak depa tinggal mayat anak saya macam itu saja tanpa belas kasihan dan pulang ke rumah masing-masing seperti tiada apa yang berlaku," katanya.
Hanisah berkata, dia tidak dapat membayangkan tiga rakan arwah anaknya sanggup merahsiakan kejadian itu sedangkan mereka tinggal berjiran. Mujur jenazah anaknya tidak dibaham binatang buas biarpun ditinggalkan dalam hutan selama empat hari.
"Saya bersyukur kepada Allah SWT mayat anak saya ditemui dalam keadaan baik dan sempurna.
"Apabila arwah tidak pulang selama empat hari, hati saya mula risau dan mengesyaki ada sesuatu yang buruk telah berlaku.
"Hati seorang ibu hancur luluh apabila anaknya meninggal dalam keadaan seperti itu. Namun saya tetap reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa rohnya tenang di sana," katanya.
Abang sulung mangsa, Mohd Hafiz juga terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka tiga rakan arwah sanggup meninggalkan arwah dalam keadaan yang sudah tidak bernyawa.
"Saya terkejut dengan kejadian itu dan tidak menyangka rakannya sanggup tinggalkan arwah yang sudah tidak bernyawa.
"Perkara sudah berlaku, sepatutnya mereka pulang memaklumkan kepada polis atau penduduk mengenai kejadian itu," katanya.
Walaupun bersedih dengan kejadian yang menimpa adiknya, Mohd Hafiz telah berjumpa dengan semua keluarga suspek apabila anak mereka ditahan polis untuk membantu siasatan.
"Saya sudah berjumpa bagi membincangkan apa yang berlaku kerana sudah ditakdirkan. Lagipun keluarga suspek tinggal sekampung dan ada ibu mereka yang bersedih dan tidak menjamah makanan sejak berhari-hari.
"Perkara sudah terjadi, tetapi hubungan kami sebagai jiran tetangga tidak boleh putus," katanya.
Sumber: Harian Metro
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment