'Saya tak mahu bercerai selagi Abe mahukan saya' - Ayu tegaskan dia sayangkan suaminya


Susulan dikecam bernikah dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, lelaki berusia 41 tahun terbabit meminta orang ramai tidak mengecamnya dan beri peluang kepada dirinya untuk menjelaskan hal sebenar. 

Che Abdul Karim Che Hamid, 41, mengakui telah bernikah dengan kanak-kanak yang berasal dari Pattani, Thailand itu baru-baru ini, atas dasar suka sama suka. 

"Ya, memang benar saya sudah berkahwin dengan isteri ketiga. Kami suka sama suka. Kami sudah bercinta sejak empat tahun lalu," katanya. 

Menurutnya, dia mengenal isteri ketiganya yang dikenali sebagai Ayu, semasa kanak-kanak itu menemani ibunya yang bekerja di kedai makan milik isteri pertamanya. 

"Saya kenal isteri ketiga semasa dia bersama ibunya bekerja di kedai isteri pertama, tapi itu kisah tiga tahun lalu," katanya. 

Jelas Che Abdul Karim lagi, Mas tinggal bersama kedua ibu bapanya di Pattani sehingga usianya mencapai 16 tahun, barulah mereka akan buat pengesahan nikah di Majlis Agama Thailand dan Malaysia. 

"Kami buat perjanjian di hadapan imam kami nikah gantung dulu. kami tidak akan tinggal bersama. Buat masa ini, isteri akan duduk bersama jagaan ibu bapanya sehingga berusia 16 tahun. 

"Cukup usia tersebut, barulah kami akan buat pengesahan nikah dengan Majlis Agama Thailand dan Malaysia," kata bapa kepada enam orang anak hasil perkahwinan dengan isteri pertama dan kedua," katanya. 

Che Abdul Karim mempertahankan tindakannya itu dan beranggapan perbuatannya itu tidak salah kerana dia bernikah dengan isteri ketiganya itu dengan kebenaran kedua ibu bapanya.

"Saya bernikah selepas dapat kebenaran ibu bapa isteri (ketiga) saya. Lagipun mereka setuju dan hadir bersama semasa proses akad nikah dilakukan di depan kadi. 

"Isteri pertama tahu mengenai perkara ini dan dia setuju. Tetapi isteri kedua tidak benarkan, sebab itu saya kahwin senyap-senyap," katanya yang juga menjelaskan sudah merujuk kepada orang yang lebih arif di negara jiran sebelum melaksanakan pernikahan itu.

"Perkara ini tidak salah kerana saya sudah merujuk mereka yang lebih arif di Selatan Thailand. Janganlah menyalahkan saya dan mengaibkan kami," katanya.

Mengulas mengenai isteri keduanya yang mahu menuntut cerai, Che Abdul Karim masih belum membuat keputusan dan berasa dia sudah menjalankan tanggungjawab yang sepenuhnya kepada kedua-dua isterinya itu. 

"Saya tak fikir lagi, lagipun saya sudah menjalankan tanggungjawab saya sebagai suami dan ayah. Saya sudah beri segalanya kepada isteri-isteri saya.

"Baru-baru ini saya ada beri isteri kedua duit raya RM700. Saya juga belikan rumah secara tunai dan bayarkan kereta dan juga tanggung kos baiki kereta," katanya. 

Sementara itu, Ayu menegas dia tidak tidur bersama suaminya berusia 41 tahun itu sejak berkahwin hampir dua minggu lalu. 

"Sejak berkahwin hampir dua minggu lalu (18 Jun), kami tidak pernah tidur bersama kerana Abe berjanji kami hanya akan tinggal bersama lima tahun lagi. 

"Walaupun ramai yang marahkan saya, namun saya tidak mahu bercerai selagi Abe mahukan saya dan saya sendiri sayangkannya," katanya. 

Ayu berkata, dia berkahwin dengan suaminya pada Aidilfitri keempat dan dia dibawa oleh kedua ibu bapanya ke Selatan Thailand untuk berkahwin.

“Sebelum Aidilfitri, mak ayah bertanyakan saya hajat Abe mahu berkahwin dengan saya. Saya terima kerana saya sendiri sudah sayangkannya.

“Saya tahu saya masih muda dan tidak bersekolah, lagipun saya sudah lama kenal dengan Abe, anak Abe juga rakan saya di kampung.

“Saya sayangkan Abe kerana Abe seorang yang baik,” katanya.

Bapa Ayu, Mat berkata, dia sudah 20 tahun tinggal di Gua Musang dan bekerja sebagai penoreh getah bagi menyara kehidupan keluarganya, serta selalu menjual hasil getahnya kepada Che Abdul Karim yang kini sudah menjadi menantunya. 

“Seminggu sebelum raya, menantu saya datang menyampaikan hajat untuk berkahwin dengan anak bongsu saya dan sekiranya saya bersetuju, majlis pernikahan akan dibuat di Thailand pada hari raya keempat.

“Pada mulanya saya memang terkejut kerana anak masih muda, namun menantu saya memaklumkan dia kasihan kepada kami sekeluarga yang hidup susah dan berjanji akan memberi kehidupan lebih selesa selepas berkahwin dengan Ayu.

“Malah, menantu juga memaklumkan dia hanya akan menjalani kehidupan suami isteri, mendaftarkan perkahwinan dan mengambil anak saya tinggal bersama lima tahun lagi, menyebabkan saya terima lamaran itu,” katanya.

“Apa yang berlaku selepas ini saya serahkan kepada menantu saya untuk menguruskannya. Saya sudah lama kenal dengan menantu kerana sebelum ini kami sekeluarga menyewa di sebelah rumah isteri pertamanya.

“Anak saya juga berkawan baik dengan anak menantu dengan isteri pertama. Sebelum ini, ketika menantu saya bercuti ke mana-mana, mereka juga akan membawa anak saya bersama.

“Jadi, soal bercerai atau perkahwinan tidak diterima madu anak saya, biarlah menantu saya yang uruskan kerana kami orang miskin,” katanya.

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad berkata, perkahwinan dengan kanak-kanak di bawah umur sepatutnya mendapat kebenaran Mahkamah Syariah dan ibu bapa. Walaupun perkahwinan itu berlangsung di negara jiran, pihak lelaki dan wanita perlu memohon kebenaran mahkamah. 

“Perkahwinan kanak-kanak bawah umur perlu berwali bapa dan mendapat kebenaran ibu bapa.

“Perkahwinan itu tidak boleh berwali hakim sebagai tanda ibu bapa bersetuju dengan perkahwinan mereka terutama kanak-kanak.

“Jika mereka mahu mendaftar perkahwinan di negara ini, Mahkamah Syariah akan mengeluarkan denda sebanyak RM1,000,” katanya. 

Justeru, beliau menasihatkan kepada orang ramai yang mahu berkahwin dengan perempuan di bawah umur supaya memohon kebenaran dari mahkamah dan perkahwinan itu berlangsung di negara ini bagi mengelakkan mereka didenda.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata perkahwinan antara lelaki berkenaan dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun itu masih dalam siasatan pihaknya.


BERITA BERKAITAN:


Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.