3 hari tanggung derita sakit gigi sampai bengkak muka


Kasihan melihat keadaan kanak-kanak ini yang bengkak di muka berpunca dari sakit gigi berlubang. Difahamkan ibu bapanya telah mencuba mendapatkan rawatan dari beberapa klinik gigi tetapi hanya diberi ubat tanpa diberikan rawatan. 

Sehinggalah mereka datang berjumpa dengan Doktor Azila untuk mendapatkan bantuan bagi menyelesaikan masalah anak mereka. Semoga perkongsian dari Doktor Azila ini bermanfaat untuk kita semua. 

SUATU pagi Jumaat, sebaik sahaja aku ‘parking’ kereta di hadapan klinik, aku disapa oleh seorang perempuan muda.

“Ini doktor Azila ke?”

Aku menjawab “Ya, saya..”.

Beliau bertanya lagi “Boleh jumpa doktor terus di klinik tak?”

Kepala aku ligat berfikir, seingat aku berderet temujanji aku pagi ini. Maka aku jawab sambil tersenyum, “Cik, boleh terus telefon klinik untuk temujanji”.

Tiba-tiba dia menarik seorang budak perempuan kecil lantas ditunjukkan mukanya pada aku. Astaghfirullahalazim.. tergamam aku, terus aku cakap, “Naik atas terus, saya periksa”.

Setelah masuk di bilik surgeri, begini ceritanya. Ibu bapa muda ini memberitahu anaknya sakit gigi belah kanan atas mulai 3 hari lalu.

HARI PERTAMA

Mula-mula mereka membawa ke klinik gigi A. Setelah doktor tersebut memeriksa katanya ada gigi geraham susu yang berlubang besar. Lubang sudah mengenai saraf, maka perlu buat rawatan saraf. Tetapi doktor tersebut tidak membuat rawatan saraf (pulpotomi) pada kanak-kanak.

Doktor klinik gigi A memberi ubat tahan sakit dan antibiotik.
  1. Syrup Amoxycillin 3ml 3 kali sehari
  2. Syrup Paracetamol 3ml 3 kali sehari

HARI KEDUA

Pada hari tersebut, ibu bapa membawa anak ke klinik gigi B. Mereka mencari klinik gigi yang membuat rawatan saraf kanak-kanak iaitu pulpotomi. Tidak pasti kenapa doktor tersebut tidak buat rawatan pulpotomi terus, kerana beliau memberi temujanji untuk rawatan pulpotomi. Aku berfikiran mungkin temujanji doktor tersebut penuh.

Doktor klinik gigi B memberi pula ubat tambahan:
  • Syrup Metronidazole 8ml 3 kali sehari

Mereka pulang, tiba-tiba malamnya muka anak menjadi bengkak sebegini (rujuk gambar).



Umur pesakit 5 tahun. Kasihan sungguh, wajahnya, pipi bawahnya bengkak sehingga tertarik kelopak mata kanan bawah. Tertutup mata kanan pesakit! Keadaan ini di diagnosis sebagai “FACIAL CELLULITIS”.

Sesi soal siasat oleh doktor Azila dijalankan seperti biasa. Hasil temubual dengan ibu bapa adalah:
  1. Sering memberi makanan manis iaitu ‘kinderjoy’ setiap pagi. Pesakit juga kerap makan makanan yang manis-manis belaka.
  2. Tidak mengamalkan rutin wajib memberus gigi anak setiap hari.
  3. Tidak membawa anak untuk jumpa doktor gigi secara berkala.

Kisah pesakit ini telah mendapat ‘consent’ ibu bapa untuk disiarkan. Ini bertujuan memberi peringatan berguna buat ibu bapa lain supaya tidak mengabaikan kebersihan gigi anak kecil kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku, hanya kerana gigi tidak dibersihkan setiap hari dan pengambilan makanan manis. 

Ramai ibu bapa tidak faham.
  1. Tidak faham bahawa memberi makanan minuman manis adalah musuh utama mulut anak. Ini mengakibatkan gigi rosak.
  2. Tidak faham bahawa bersihkan gigi anak itu penting. Jangan sampai gigi anak berkaries, mengadu sakit baru jumpa doktor gigi.

Adakah kita mahu anak kita berkeadaan sebegini? Kerana sikap kita yang sambil lewa gigi anak rosak, gusi bengkak kemudian muka bengkak.

RAWATAN KECEMASAN PESAKIT

Setelah aku berbincang dengan doktor Pakar Pergigian Kanak –Kanak, pesakit ini:

1. Aku preskripsi:
  • Syrup Augmentin 5.3ml 2 kali sehari
  • Syrup Paracetamol 5.3ml 4 kali sehari

(Dos ubat - ubat yang diberi mengikut berat badan pesakit)

UBAT YANG DOKTOR GIGI BERI SEBELUM INI DIHENTIKAN SERTA MERTA

2. Pemantauan berkala dalam tempoh 24 jam oleh ibu bapa. Selagi anak boleh makan dan minum, badan tidak menolak sebarang makanan dan minuman yang diberi secara oral.

Maka belum perlu pergi Bahagian Kecemasan Hospital. Pada "posting" akan datang, akan aku kongsikan ciri-ciri yang perlu dirujuk terus ke hospital.

Kebetulan ketika itu cuti umum 2 hari Ahad hingga Isnin. Aku juga berpesan sekiranya tiba-tiba bengkak kemuncak mendadak, terus pergi ke bahagian kecemasan hospital.

3. Hari ketiga iaitu Selasa, pesakit berjumpa aku semula. Alhamdulillah.. muka sudah surut bengkak.

4. Gigi geraham susu yang menyebabkan bengkak tersebut, terpaksa aku cabut.



KENAPA DOKTOR CABUT GIGI TERSEBUT?

Jawapannya: Agar gigi berkaries tersebut tidak menjadi punca infeksi, bengkak BERULANG SEMULA. Sekiranya terjadi situasi begini ia boleh MEMBAWA MAUT!

KENAPA?

Aku terangkan di sini. Gusi yang bengkak, bakteria boleh merebak kedalam otak. Keadaan dikenali sebagai SEPSIS.

Sepsis adalah keadaan dimana jangkitan disebarkan melalui darah disebabkan sistem pertahanan badan perlu bekerja lebih masa untuk melawan jangkitan.

Bahan kimia yang dikeluarkan dalam aliran darah untuk melawan jangkitan mencetuskan tindak balas keradangan di seluruh badan sekali gus ia merosakkan sistem organ. Malah sepsis boleh mengakibatkan komplikasi serius seperti masalah buah pinggang, paru-paru, otak dan jantung hingga menyebabkan kematian.

HUBUNGAN ANTARA SEPSIS DAN JANGKITAN GIGI

Apabila berlaku jangkitan gigi, ia boleh menyebabkan pulpa (gigi bahagian tengah) dijangkiti. Pulpa ini adalah bahagian gigi yang mengandungi saluran darah, tisu penghubung dalam saraf besar. Jika jangkitan berlaku, bakteria boleh keluar dari gigi ke tulang atau tisu bawah.

TANDA-TANDA JANGKITAN DALAM MULUT
  • Nafas busuk
  • Rasa pahit dalam mulut
  • Demam
  • Sakit gigi
  • Gigi lebih sensitif
  • Gusi bengkak
  • Kelenjar bengkak pada leher
  • Bengkak rahang

Sekiranya anda atau anak anda mengalami tanda-tanda diatas, sila SEGERA ke hospital untuk rawatan yang sepatutnya.

Sekian, semoga bermanfaat.

Jangan lupa atau tercicir. Terus follow Facebook Dr Azila dan set see 1st ya.



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.