'Ada makhluk halus jatuh atas bumbung rumah kau' - Kerani rugi RM45,000 kerana percayakan bomoh temberang


Gara-gara percaya dengan kata-kata bomoh scammer, seorang kerani sebuah syarikat swasta di Padang Sanai, Kuala Nerang, terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM45,000. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 44 tahun itu menggunakan khidmat saudara rapat yang juga bomoh pada September lalu. 


Menurut mangsa, bomoh itu memaklumkan ada makhluk halus terjatuh di atas bumbung rumahnya pada hujung bulan Januari lalu. Barang perhiasan emas yang ada di dalam rumah akan mendatangkan kemudaratan dan mangsa diminta mengeluarkan semua barang kemas tersebut. 


Percaya dengan kata-kata itu, mangsa yang sudah berkahwin akur dan menuruti arahannya lalu diserahkan kepada bomoh itu. 


Barang kemas itu kemudian dibalut dengan kain putih, disimpan dalam almari baju di bilik mangsa dan bomoh itu menegaskan tiada sesiapa yang boleh menyentuh barang itu kecuali dia. 


Seminggu kemudian, suspek datang semula ke rumah mangsa dan meluru masuk ke dalam bilik itu untuk memeriksa balutan kain putih tanpa ditemani sesiapa. 


Suspek menyerahkan tiga bentuk cincin kepada mangsa kononnya ia boleh dipakai semula. 


Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu pada 8 September lalu selepas dia dimaklumkan oleh penduduk kampung yang pernah menggunakan khidmat lelaki terbabit adalah penipu dengan mengambil barang kemas mangsanya. 


Mangsa segera memeriksa barang kemasnya yang disimpan dalam balutan kain putih yang disimpan dalam almari, ternyata isi kandungannya telah ditukar dengan rantai emas yang disyaki palsu. 


Ekoran itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Padang Senai pada 25 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 


Elias mengesahkan pihaknya menerima empat laporan polis yang dibuat pada hari dan lokasi sama yang membabitkan suspek berkenaan. 


Polis menasihatkan orang ramai tidak mudah terperdaya dengan penipuan rawatan bomoh dengan menyerahkan apa-apa harta yang berharga kepada orang lain. 


Sumber: Sinar Harian



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.