(Video) 'Harap jangan maki pakcik itu, dia ada masalah ingatan' - Warga emas pandu melawan arus jadi punca kemalangan ditahan polis
Pengguna Lebuhraya Kemuning - Shah Alam (LKSA) semalam digemparkan dengan kejadian seorang lelaki warga emas memandu secara melawan arus menghala ke Pusat Bandar Shah Alam.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian itu berlaku pada jam 5 petang semalam di mana warga emas berusia 73 tahun terbabit memandu kereta Perodua Kelisa secara melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan apabila keretanya bertembung dengan Myvi dan menyebabkan sebuah lagi kenderaan terbabas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sebelum kejadian itu berlaku, warga emas itu memandu dari rumahnya di Seksyen 8 menuju ke pasar raya di Seksyen 13. Namun dia tersalah jalan dan termasuk ke LKSA.
Sebaik tiba di Plaza Tol Sri Muda, dia yang tidak mempunyai kad Touch n Go mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dengan cara melawan arus. Tindakannya itu menyebabkan sebuah kereta Honda City yang dipandu lelaki berusia 33 tahun tidak sempat mengelak lalu terbabas dan terbalik di sebelah kiri jalan.
Kelisa itu kemudian bertembung dengan Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 25 tahun yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Sri Muda dari Bukit Jelutong. Kedua-duanya tidak mengalami kecederaan.
Difahamkan, semua yang terbabit telahpun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam. Polis menahan warga emas terbabit untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu.
Sementara itu, anak kepada warga emas terbabit berkata, bapanya dibawa balik ke rumah oleh orang awam dan dia kemudian membawa bapanya ke IPD Shah Alam untuk membuat laporan polis. Menurutnya, bapa dia kurang sihat dan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menjalani pemeriksaan.
Kejadian itu juga dirakam orang awam dan video tersebut viral di media sosial. Netizen di media sosial menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman tegas terhadap warga emas itu kerana tindakannya sangat berbahaya dan boleh menyebabkan pengguna jalan raya terbabit dalam kemalangan.
Pemandu Myvi terbabit, Sarah Shahira, melalui akaun Twitternya juga memohon netizen tidak memaki hamun warga emas berkenaan.
"Hi semua. Saya pemandu Myvi itu. Harap jangan maki-maki pakcik itu ye. Pakcik itu dah berumur 73 tahun dan ada masalah ingatan. Semoga semuanya baik-baik dan dipermudahkan segala urusan saya," tulisnya.
Hi Semua. saya pemandu myvi tu. Harap jangan maki2 pak cik tu ye. Pak cik tu dah umur 78 tahun and ada masalah ingatan. https://t.co/rRKQXJQyPn
— Sarah Shahira (@_sarahshahira) October 29, 2020
Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS, Twitter
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment