2 kereta Myvi dipandu warga emas rempuh gerai & kubur pada hari yang sama
Tular di media sosial, dua kereta Perodua Myvi dilaporkan mengalami kemalangan yang tidak diduga dalam dua kejadian berasingan.
Dalam kejadian pertama, pemandu lelaki berusia 72 tahun yang memandu Myvi merempuh sebuah kedai makan di Bintong pada jam 12.45 tengah hari semalam, ketika pelanggan sedang memilih lauk pauk untuk makan tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pemandu warga emas terbabit tertekan pedal minyak ketika membelok masuk ke lorong sebelah kanan di jalan bersebelahan dengan premis tersebut.
"Semasa sedang membelok masuk ke lorong bersebelahan kedai makan itu, warga emas itu tertekan minyak menyebabkan kereta dipandunya hilang kawalan lalu melanggar kedai makan itu," katanya.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan parah yang berlaku. Kemalangan itu hanya mengakibatkan lauk pauk di kedai makan itu tumpah dan berterabur.
Kes diklasifikasikan mengikut Rule 10 LN166/59 kerana lalai dalam mengawal pergerakan kenderaan dengan baik.
Sementara itu di Senawang, sebuah Perodua Myvi yang dipandu wanita berusia 60-an dilaporkan terbabas ketika memusingkan kenderaannya sehingga melanggar dan merosakkan empat kubur di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.40 pagi semalam, empat kubur terbabit mengalami kerosakan yang membabitkan batu nisan.
Difahamkan, pemandu berkenaan kerap datang ke tanah perkuburan itu untuk menziarahi kubur arwah suaminya dan ketika itu mungkin berlaku kesilapan sehingga kenderaannya terbabas.
Anak kepada wanita berkenaan, Syafiq Sidek, tampil memohon maaf di media sosial dan menjelaskan dia akan menanggung segala kos baik pulih kubur-kubur yang rosak akibat kemalangan itu.
"Saya anak kepada owner kereta Myvi ini. Bagi pihak ibu, saya memohon seribu kemaafan kepada semua waris kubur yang telah rosak. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas segala kerosakkan dan akan baik pulih kubur seperti asal.
"Sebenarnya ibu saya berada dalam keadaan hypo (kurang gula dalam darah) kerana menghidap penyakit kencing manis dan sedang berpuasa hari ini (semalam).
"Ibu saya secara tiba-tiba tidak sedarkan diri dan tertekan pedal minyak ketika ingin memusingkan kereta (pusingan U)," katanya.
Syafiq berharap orang ramai tidak menularkan gambar-gambar kejadian berserta dengan kapsyen yang tidak baik menjadikan kejadian itu sebagai bahan lawak di media sosial.
"Ibu saya masih berada dalam keadaan trauma dan bersedih di atas baru sahaja kehilangan suami tercinta akibat Covid-19. Mohon jasa baik semua untuk menghentikan viral ini," katanya.
Sumber: Harian Metro, Facebook Syafiq Sidek
Sumber : CiteMalaya
Leave a Comment