'Dia nak RM50 tapi pak cik suruh bagi RM10' - Mangsa trauma & risau kalau suspek balik untuk balas dendam


Pasangan warga emas yang dikasari oleh anak lelaki mereka hanya kerana tidak diberikan wang untuk membeli bekalan dadah baru-baru ini berharap suspek dikenakan hukuman penjara kerana perbuatannya itu boleh mengancam nyawa mereka. 


Walaupun diperlakukan sebegitu rupa, Salmiah Man, 66, masih menganggap suspek sebagai anaknya. 


"Walaupun dia buat pada kami, baik buruk dia tetap anak mak cik," katanya yang juga berharap anaknya itu mendapatkan rawatan pemulihan. 


Baca: (Video) Penagih dadah pukul & tendang bapa tiri sebab tak bagi duit beli bekalan dadah


Menurut Salmiah, anak kedua daripada tiga beradik itu sudah lama terjebak dengan penyalahgunaan dadah akibat terpengaruh dengan rakannya. Sejak dari itu, suspek kerap mengamuk jika tidak diberikan wang.


Pasangan itu pernah melaporkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengenai suspek kerana bimbang akan keselamatan diri mereka. 


"Dia selalu balik sini. Mak cik bagi dia makan dan dia selalu minta duit. Kadang-kadang sampai RM50, tetapi semalam pak cik minta bagi RM10 sahaja sebab nak berjimat menyebabkan dia terus berang dan mengamuk. 


"Dia masuk ke dalam rumah untuk mengambil surat OKU mentalnya sebelum keluar dan menendang pak cik dari belakang," katanya. 


Terdahulu, suspek menendang dan memukul bapa tirinya, Nordin Ahmad, 72, sehingga menyebabkan mangsa mengalami keccederaan. Kejadian itu turut dirakam jiran sebelum tular di media sosial lalu mengundang kemarahan netizen. 


Bagaimanapun, suspek telah berjaya ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 


Nordin yang mengalami kecederaan di bahagian rusuk mengakui bimbang sekiranya suspek pulang ke rumah untuk membalas dendam. Hal itu menyebabkan dia berasa trauma dan mengesa pihak polis menahan suspek lebih lama. 


"Sampai sekarang saya masih trauma, takut dia datang ke sini balas dendam" katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, suspek akan direman sehingga esok untuk membantu siasatan. Ujian saringan air kencing suspek juga didapati negatif dadah. 


Beberapa individu yang dirakam memukul suspek turut dipanggil untuk memberi keterangan. Polis meminta orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan suspek kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2012. 


Sumber: Harian Metro



Sumber : CiteMalaya

No comments

Powered by Blogger.